BAB 13
BAGASI hitam itu ditolak ke tepi pintu bilik.
Memandangkan dia seorang lelaki, barang-barangnya tidaklah sebanyak
pelajar-pelajar perempuan yang merungut hendak membeli beg tambahan. Datang
dengan satu beg, pulang pula dengan tiga beg. Mujurlah barang-barangnya muat
ditempatkan ke dalam bagasi bersaiz sederhana besar itu.
Imran bangun dari duduknya sebelum bergerak ke
katil. Beg sandang yang terletak elok di meja belajarnya dicapai. Imran duduk
di birai katil sebelum buku-buku notanya dimasukkan ke dalam beg sandang. Laci
meja sisi katilnya dibuka perlahan. Sebuah kotak empat segi sama diambil. Kotak
itu juga dimasukkan ke dalam beg sandangnya.
Bingkai gambar yang terletak cantik di meja sisi itu
pula diambilnya. Tersungging senyum kecil di bibirnya. Rasa rindu mula
membuak-buak apabila teringatkan Zara. Kedinginan layanan Zara itulah yang
telah memenangi hati lelaki Imran.
Mata Imran beralih pada katil bujang Nizam. Inilah
malam terakhir dia dan Nizam berkongsi bilik. Empat tahun sudah berlalu,
bermakna tempoh menyambung pelajaran di Pennsylvania ini sudah tamat. Empat
tahun jugalah dia menjadi sahabat kepada Nizam yang gila-gila itu. Sesungguhnya
kenangan di bumi asing ini akan dibawa bersama dalam meniti jalan hidupnya yang
mungkin masih panjang atau pun tidak. Dan empat tahun ini jugalah yang
mengajarnya apa itu erti kesabaran, kerinduan dan cinta. Mungkin juga..
mengajarnya untuk bersedia sebelum kehilangan Zara.
Gambar Zara disimpan ke dalam beg. Imran merebahkan
tubuhnya ke katil, berharap agar esok bakal memberikan cahaya yang baru ke
dalam hidupnya. Beberapa jam sahaja lagi sebelum penerbangan pulang ke
Malaysia. Dan hatinya kian tidak keruan apabila memikirkan pelbagai
kemungkinan.
ZARA meregangkan otot-otot yang sudah kendur akibat
sudah tiga jam duduk tanpa sebarang gerakan selain daripada melukis pelan
litar. Sudah jam lima petang. Dia harus segera pulang memandangkan malam ini
Durrani akan pulang ke rumah. Janjinya dengan Puan Saidah, dia akan membantu
memasak di dapur.
Kertas-kertas yang bertaburan di mejanya disusun
sebelum dimasukkan ke dalam sebuah fail khas. Pen-pen dan pensel yang sudah
digunakan disimpan ke dalam tempat yang sepatutnya. Usai mengemas mejanya, Zara
bangun dan bergerak ke pintu. Kelihatan hanya ada beberapa orang pekerja sahaja
yang masih tinggal di pejabat itu.
“Amani, awak tak balik lagi ke?” soal Zara kepada
Amani yang sedang berdiri di sisi mesin photostat.
Amani menggelengkan kepalanya. Sejenak, matanya
jatuh pada pakaian yang dipakai Zara. Blaus hitam bercorak polkadot kuning
dipadankan dengan skirt labuh berbunga warna merah. Cermin mata berbingkai
hitam terletak elok di batang hidung.
“Saya balik dulu,” ujar Zara sebelum menolak pintu
pejabat mereka.
Amani mengangguk perlahan. Kasihan Zara. Kehadirannya
selalu tidak disenangi oleh pekerja-pekerja lain, termasuklah sahabat baik
Amani sendiri, iaitu Adilla. Setahu Amani, Zara seorang yang baik hati walaupun
pakaiannya selalu pelik.
Langkah demi langkah diatur menuju ke tempat letak
kereta. Sampai sahaja di hadapan sebuah Perodua MyVi putih susu, Zara menekan
alarm sebelum masuk ke dalam keretanya. Enjin kereta dihidupkan sebelum dia
meninggalkan pejabatnya.
Lebih lima minit berada di dalam kereta, telefon
bimbitnya berdering minta diangkat. Dengan pantas, handsfree yang sudah sedia
terpasang pada telefon bimbit dicapai lalu disumbat ke telinga kiri.
“Ya, Ma. Ada apa?” soal Zara setelah salamnya
dijawab Puan Saidah.
“Zara tolong singgah rumah Auntie Mar. Tolong
ambilkan kain pasang yang Auntie Mar minta Mama jahitkan. Mama terlupa sangat.
Mama dah call Auntie Mar. Beritahu nanti Zara datang ambil,” ujar Puan Saidah.
“Okay, Ma. InsyaAllah. Zara dah on the way balik ni.
Kejap lagi sampailah. Assalamualaikum, Ma.”
Talian diputuskan. Zara kembali fokus dengan pemanduannya.
Dengan rasa berat hati, Zara membelokkan keretanya ke kanan jalan, menuju ke
rumah Dato’ Musa. Sambil itu, beberapa helai tisu dicapai sebelum dilapkan ke
muka.
“ASSALAMUALAIKUM!” laung Zara dari luar. Keretanya
sudah diparkirkan di seberang jalan.
Baru sahaja Zara ingin memberi salam sekali lagi,
kelihatan pembantu rumah Dato’ Musa, Kak Tipah sudah pun terkocoh-kocoh
mendekatinya.
“Masuklah, Zara. Datin ada dekat dalam,” ujar Kak
Tipah, mengajak Zara masuk.
Zara tersenyum dan mengangguk. Dia mengikut langkah
Kak Tipah menuju ke dalam rumah mewah milik keluarga Imran. Imran? Zara
mematikan langkah. Matanya terarah pada Mitsubishi Lancer merah yang terletak
elok di tempat biasanya. Sudah empat tahun berlalu. Adakah dia sudah pulang?
“Zara..”
Teguran Kak Tipah itu mematikan lamunan Zara. Riak
wajahnya dikawal sebaik mungkin. Bimbang pula sekiranya Kak Tipah dapat
menghidu sesuatu.
Masuk sahaja ke dalam rumah, Kak Tipah membawa Zara
ke dapur. Kelihatan Datin Marlia sedang sibuk mengupas bawang merah. Ingin
memasak untuk makan malam barangkali.
“Assalamualaikum, Auntie,” sapa Zara sebelum berdiri
di sebelah Datin Marlia.
“Waalaikumussalam! Eh, duduklah. Tak boleh nak salam
Auntie. Nanti bau bawang pulak tangan Zara,” ujar Datin Marlia ramah.
Zara mengukir senyum nipis.
“Zara kejap je ni, Auntie. Zara nak ambil kain yang
Mama pesan tu.”
“Rumah Zara dengan rumah Auntie dekat je. Berapa
minitlah sangat. Duduklah dulu. Dah lama Auntie tak berborak dengan Zara,”
pujuk Datin Marlia. Dia faham benar apa yang sedang terbuku di hati Zara. Sudah
lama dia mengenali Zara. Bukannya baru semalam atau hari ini.
Dengan rasa berat hati, ditarik juga kerusi di
sebelah Datin Marlia.
“Nak Zara tolong ke, Auntie?”
Datin Marlia tersenyum.
“Tak payah, Zara. Duduk aje dekat sini. Tipah,
tolong potong kek yang saya buat tadi. Lepas tu awak letak dalam tupperware kek
yang belum berusik tu. Boleh Zara bawak balik,” kata Datin Marlia kepada
pembantu rumahnya itu.
Tanpa teragak-agak, Kak Tipah bangun menurut arahan
majikannya itu.
“Auntie ni buat susah-susah je,” ujar Zara.
Bagaimana agaknya cara untuk dia menolak budi Datin
Marlia sekeluarga? Dia tidak mahu terhutang budi dengan keluarga ini. Mereka
sudah cukup baik terhadap Zara dan ibu bapanya.
“Tak susah, Zara. Auntie memang saja buat lebih.
Lagipun Durra balik, kan? Tak payahlah Mama Zara buat dessert dah.”
Zara kehilangan kata-kata. Akhirnya dia tersenyum,
membalas senyuman yang bergayut di bibir Datin Marlia.
“Ma! Mana baju Im yang..”
Imran terdiam apabila terpandangkan Zara yang sedang
duduk di sebelah ibunya. Kini, kematangan semakin terserlah di wajah gadis itu.
Rindunya pada Zara seakan terubat apabila wajah Zara menjadi santapan matanya.
Dia kemudiannya melarikan pandangan apabila Zara merenungnya.
“Baju apa, Im? Semua baju Im Mama dah letak dalam
closet Im. Cari elok-elok,” ujar Datin Marlia tanpa melihat ke arah anaknya.
Zara segera tunduk apabila menyedari Imran hanya
bertuala sahaja, tanpa baju. Terselah tubuhnya yang berotot. Namun begitu,
tubuhnya tidaklah terlalu tegap.
Imran yang hairan dengan pandangan Zara merenung ke
tubuhnya. Patutlah muka Zara merah. Dengan pantas, Imran berlari naik ke
biliknya. Malu pula dia apabila Zara melihatnya dalam keadaan begitu.
“Kenapa Zara?”
“Tak ada apa-apa, Auntie,” bohong Zara.
Datin Marlia tersenyum sebelum Kak Tipah menyuakan
sepotong kek kepada Rania. Zara mencapai piring yang dihulurkan sambil
tersenyum kecil. Kek pisang coklat disudu perlahan sebelum dikunyah. Sungguh
lembut. Tidak hairanlah. Bukankah Datin Marlia memang pandai memasak?
“Auntie, Zara rasa Zara kena baliklah. Kejap lagi
Along balik. Nanti risau pulak Mama dengan Papa kalau Zara tak ada. Zara balik
dululah,” ujar Zara, meminta diri setelah sepotong kek selamat dimakannya.
Datin Marlia turut bangun.
“Kejap, Auntie ambilkan kain tu, ya.”
Datin Marlia segera menghilang di balik pintu. Kak
Tipah datang mendekati Zara dengan sebuah Tupperware segi empat tepat.
“Zara, ini kek Datin suruh bungkus tadi,” ujar Kak
Tipah sebelum menghulurkan bekas itu kepada Zara.
Zara tersenyum.
“Thanks, Kak Tipah,” ucap Zara sebelum berlalu ke
ruang tamu.
“Zara, ini kainnya. Cakap dengan Mama Zara, lambat
sikit pun tak apa,” ujar Datin Marlia. Beg plastik yang berisi kain pasang itu
diberikan kepada Zara.
“Okay, Auntie. Zara balik dulu, ya?”
Tangan Datin Marlia dikucup lembut sebelum pipinya
dicium lembut oleh Datin Marlia. Tersipu-sipu Zara dibuatnya.
Sampai sahaja di keretanya, Zara membolos masuk ke
dalam. Baru sahaja enjin kereta dihidupkan, kelihatan Imran yang kacak
berkemeja Polo warna merah berseluar hitam sedang berpeluk tubuh, bersandar
pada pintu rumah. Zara berpura-pura tidak melihat. Laju sahaja MyVi putih Zara
meninggalkan kawasan perumahan elit itu.
“IM, bukan main lagi tenung anak dara orang?”
Imran yang sedang bersandar tadi segera berdiri
tegak. Dia sudah biasa mendengar usikan ibunya tentang Zara. Berbunga hatinya
apabila wajah gadis itu yang dilihatnya semasa dia turun dari biliknya sebentar
tadi.
“Nak buat macam mana, Ma. Nak pegang tak dapat.
Pandang jelah,” balas Imran dalam senyuman.
“Mama hairanlah dengan Im. Sejak balik dari Amerika,
Im asyik senyum je. Dah lain benar dari dulu.”
Imran tersengih. Dia berjalan ke bahagian ruang tamu
luar diikuti dengan ibunya. Dia duduk di kerusi kayu jati yang menghiasi ruang
itu.
“Agaknya sebab Im pernah duduk sekali dengan Nizam.
Mama tahulah si Nizam tu. Kalau Im diam, tak sah. Dah terbawak-bawak.”
Datin Marlia tersenyum kecil.
“Mama ingatkan anak Mama ni nak kahwin dah. Itu yang
happy semacam je Mama tengok. Kalau Im nak, Mama boleh ajak saudara-mara kita
ke rumah Zara. Dia tu single lagi. Macam dulu-dulu. Mama risaulah, Im. Zara tu
budak baik. Ramai orang nakkan dia. Mama risau Mama kempunan nak bermenantukan
dia,” ujar Datin Marlia.
Sebenarnya, sejak Imran berada di Philadelphia lagi
Datin Marlia sudah bercadang untuk merisik Zara untuk Imran. Tetapi, Rasya
masih belum tahu akan hal yang sebenar. Bimbang pula Datin Marlia sekiranya
ketiadaan Imran di tanah air akan menyebabkan pergaduhan di antara Zara dan
Rasya. Dia kenal benar dengan Zara dan Rasya. Zara lebih bersopan dan pendiam
berbanding dengan Rasya yang lincah dan lantang. Berbeza sungguh dua beradik
itu.
“Entahlah, Ma. Im pun tak ada cakap apa-apa dengan
Zara. Kalau boleh, Im nak sangat jadikan dia menantu dalam rumah ni. Im pun dah
nak masuk dua puluh sembilan tahun. Tapi itulah.. Zara. Dia tu muda lagi.”
Datin Marlia mengangguk perlahan.
“Tapi.. kalau Im belum cuba, macam mana Im nak tahu?
Im pun bukannya muda lagi. Itu yang Mama risaukan. Macam inilah.. nanti Mama jumpa
dengan emak Zara, cuba bincangkan,” usul Datin Marlia.
Imran menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Kalau dia terima. Mama pun tahu, Zara tu degil,”
balas Imran.
Jauh di sudut hati, dia gembira dengan kata-kata
ibunya. Namun, ada kerisauan yang bertapak di dasar hatinya. Adakah Zara akan
menerimanya? Ya, dialah si pengkhianat cinta Rasya. Pasti Rasya akan berasa
marah kerana gadis yang dicintai Zara adalah adik kandungnya sendiri. Dia tidak
kisah jika Rasya membencinya, asalkan bukan Zara yang menjadi mangsa
kemarahannya.
“Im jangan risau ya.”
Imran mengangguk.
ZARA melunjurkan kakinya sambil matanya merenung
kaca televisyen. Hampir tembus kaca televisyen itu dek kerana renungannya. Sudah
hampir dua jam Zara berkeadaan begitu. Semua ahli keluarganya sudah pun tidur, kecuali
dia.
“Adik! Tembus TV tu!”
Sergahan Durrani membuatkan Zara mengurut dada. Segera
dia menurunkan kakinya. Durrani duduk di sofa yang bertentangan dengan adiknya itu.
“Along tak tidur lagi?” soal Zara.
Durrani tersenyum sebelum menggelengkan kepalanya.
Kasihan Durrani. Sudah dua tahun dia mendirikan rumahtangga
bersama lelaki pilihannya iaitu Naim. Namun panas yang disangka ke petang rupanya
hujan di tengah hari. Kasih yang disulam sejak bertahun lagi disangka akan kekal
sehingga ke nafas terakhir rupanya ternoktah di sini sahaja. Kini, Durrani sudah
pun berpisah dengan Naim. Semuanya gara-gara Naim yang terlalu mendengar kata-kata
ibunya. Durrani tahu, taraf hidupnya yang datang dari keluarga sederhana yang membuatkan
keluarga Naim membencinya.
“Along tak mengantuk lagilah,” balas Durrani.
Zara mengangguk. Buat kesekian kalinya, dia hanyut lagi
dalam emosinya.
“Zara.. kenapa ni? Ada masalah?”
Zara terdiam.
“Ada, Along,” jawab Zara lemah.
Zara bangun dan duduk di sebelah kakaknya. Kepala dilentokkan
ke bahu Durrani.
“Now, cerita dekat Along apa masalah Zara.”
Perbualan di antara dua beradik itu berterusan buat beberapa
jam.
DL's words - hi semua! Hihik. Zara dah rindu nak appear dalam blog DL. So, ini story Zara pulak! :') Thanks for reading. Hope sudi tinggalkan komen. Really needed your comments. :') Thank you in advance. Take care sweethearts! :')
1 comment:
Cpt2 la sambg encik wtiter....best :) ...nk zara ngn im hehe
Post a Comment