SEJAK
melihat Azeem menyuarakan hasrat hatinya kepada Sabrina, Zara selalu berusaha
menjauhi Azeem. Dia tidak mahu lagi mendekati Azeem. Dia sedar, dia yang
bersalah kerana dia yang menyimpan perasaan terhadap Azeem biarpun dia tahu
bahawa Azeem hanya menganggapnya sebagai adik, dan tidak lebih daripada itu.
Di
minggu orientasi sewaktu Zara menjejakkan kaki ke Kolej STAR setahun yang lalu,
Azeem yang banyak membantunya. Azeem yang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah
selalu sahaja membantu Zara menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.
Tetapi, tidak pernah sekali pun Azeem bercerita tentang perasaannya terhadap
Sabrina. Sabrina adalah rakan sekuliah Zara dalam modul Sistem Elektrik. Dia
hanya kenal Sabrina berdasarkan nama gadis itu memandangkan dia tidak rapat
dengan Sabrina. Bertegur sapa juga tidak pernah.
“Hai,
Zara. Kenapa termenung ni?” tanya Azeem. Beg sandangnya diletakkan ke meja,
lalu dia duduk berhadapan dengan Zara.
Zara
yang sedang menongkat dagu menurunkan tangannya. Dia mengukir senyum tawar buat
Azeem. Baru tadi dia ingin lari daripada Azeem, kini Azeem datang untuk
mendekatinya pula.
“Zara,
okey tak?” tanya Azeem.
Senyuman
di bibir Azeem kembali mengganggu fikiran Zara. Tanpa sedar, dia turut tersenyum
pada Azeem.
Nama
sebenar Azeem ialah Meor Muhammad Azeem Taufiq bin Meor Khusyairi. Azeem berada
di tahun ketiga dalam kos Teknologi Maklumat di kolej itu. Azeem merupakan
salah seorang pelajar terbaik di kolej itu dan dia adalah anak kepada salah
seorang orang kanan Kolej STAR. Jika berlaku sesuatu, pasti pelajar-pelajar di
kolej itu akan mencari Azeem untuk membantu menyelesaikan masalah sekiranya
mereka tidak mahu pihak pengurusan kolej turun padang. Azeem memiliki susuk
tubuh yang sasa dan tinggi. Azeem memang merupakan pelajar yang yang menjadi
kegilaan ramai selain Ryan.
“Zara
okey.”
“Hmm..
kalau okey, tak apalah. Tapi kenapa Zara dah lama tak contact Abang? Zara tak
ada masalah ke dalam buat assignment?” soal Azeem lagi.
Zara
hanya menggeleng untuk menjawab pertanyaan Azeem.
“Awak!”
Zara
dan Azeem menoleh, merenung ke arah gadis yang berdiri betul-betul di sebelah
meja yang diduduki mereka. Sabrina tersenyum memandang ke arah lelaki pujaan
hatinya. Pandangan matanya beralih pula kepada Zara yang berseluar slack
kuning. Baju kemejanya hari ini bercorak-corak polkadot warna merah dan hitam.
Cermin mata besar berbingkai hitam seperti biasa melekat pada batang hidungnya
yang mancung. Sebahagian wajah Zara tertutup dek kerana cermin mata yang
dipakainya terlalu besar.
“Hai,
Zara,” sapa Sabrina, cuba berbasa-basi. Dalam hati, dia ketawa melihat baju dan
seluar yang dipakai Zara.
Zara
hanya tersenyum memandang Sabrina.
“Zara,
Abang nak keluar makan dengan Sabrina. Take care,” pesan Azeem sebelum berlalu.
Zara
membuang pandang apabila bebola matanya menangkap pelukan erat pada lengan
Azeem.
“Hannah
Mentadak!”
Zara
mengemas buka-buku dan pen yang berada di atas meja, lalu dimasukkan ke dalam
beg galasnya. Dia ingin cepat-cepat meninggalkan kafe itu. Dia tahu siapa yang
sedang berjalan menghampirinya.
“Dah
nak balik ke, Hannah Mentadak?” tanya Ryan sambil mengukir senyum menggoda.
Zara
berpura-pura tidak mendengar. Buku-buku yang berada di atas meja dicapai lalu
didakap ke dadanya.
“Tunggulah
dulu. Nak kemana kelam-kabut sangat ni?”
Ryan
duduk di sebelah kerusi Zara. Zara yang ingin bangun dari duduknya ditarik agar
dia kembali duduk. Zara menarik nafas panjang.
“Kau
nak apa, hah?” tanya Zara geram. Sudahlah dia sakit hati melihat sikap dan
tingkah laku Sabrina dan Azeem, kini Ryan pula yang datang mengganggu.
“Aku
nak ajak kau berbual. Betul tak Aiman, Nazril?”
Aiman
dan Nazril mengangguk, lalu mereka duduk di kerusi yang masih kosong. Kelihatan
beberapa orang pelajar datang ke kafe itu dan duduk mengambil tempat di
meja-meja yang agak jauh daripada mereka.
“Dahlah.
Jangan kacau aku!” bentak Zara.
Dengan
pantas, Zara bangun berdiri. Ryan ikut bangun dan dengan tidak sengaja, dia
terlanggar buku-buku yang berada di tangan Zara. Buku-buku itu jatuh
berselerakan.
“Oppss..”
ujar Ryan sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya.
Zara
mengetap gigi. Wajah Ryan ditenung lama sebelum dia tunduk mengutip
buku-bukunya. Zara terus meninggalkan Ryan dan rakan-rakannya.
Ryan
duduk kembali di tempatnya. Bibirnya mengukir senyum mengejek. Semakin lama,
semakin seronok pula dia mengejek Zara. Tiada siapa pun yang pernah menghalang
Ryan apabila Ryan membuli Zara. Maka, Ryan bermaharajalela cuba untuk mengusik
dan mencerca Zara.
Mata
Ryan menangkap sehelai kertas putih yang berada di bawah kerusi yang diduduki Zara
sebentar tadi. Adakah itu kertas milik Zara? Dia membongkok untuk mencapai
kertas itu. Tertulis ayat, ‘I love you, MMATMK. Thanks for everything. Love, NZSJ.’
Kertas itu diterbalikkan. Ryan tersenyum kemenangan.
“Jagalah
kau, budak nerd!” gumamnya perlahan sebelum gambar itu dimasukkan ke dalam
begnya.
“APA?!”
jeritan yang sungguh kuat itu sudah cukup untuk memenuhi segenap ruang dalaman
villa dua tingkat itu.
“Betul,
Zarif. Papa nak Zarif masuk ke STAR College. Papa dah uruskan semuanya. Tinggal
Zarif masuk kelas je,” ujar Tan Sri Khalid, memberitahu anak tunggalnya itu.
“Papa
suruh Zarif balik ke sini, tak habiskan study sebab Papa nak Zarif belajar
dekat kolej tu? Papa, come onlah. Kolej apa tu?” tanya Zarif dalam nada yang
sudah diperlahankan. Sebentar tadi dia terlalu terkejut, jadi dengan tidak
sengaja dia menjerit.
Tan
Sri Khalid mengangguk, menandakan apa yang dimintanya adalah benar.
“Kolej
tu kolej baru, tapi tak adalah baru sangat. Adalah dalam lapan tahun beroperasi.
Setakat ni, semua lepasan diploma dan ijazah dari STAR Colloge tu adalah antara
tenaga pekerja yang baik. Daripada Papa habiskan duit hantar Zarif ke luar
negara, baik Papa suruh Zarif belajar dekat sini.”
Zarif
terdiam. Rupanya inilah perkara penting yang ingin disampaikan oleh bapanya.
Zarif keliru. Pelajarannya masih belum ditamatkan, bapanya pula ingin dia
menyambung pelajaran di sini?
“Tapikan,
Pa.. maknanya Zarif kena belajar dari semester satulah? Tahun satu?” tanya
Zarif.
Tan
Sri Khalid menggeleng.
“Papa
dah minta pihak kolej masukkan Zarif ke semester tiga. Samalah tu dengan apa
yang Zarif dah belajar..”
Zarif
menarik nafas panjang. Sejujurnya dia sudah tidak mahu belajar dan ingin
bekerja sahaja, membantu Tan Sri Khalid di pejabat. Umurnya sudah menjangkau
dua puluh tiga tahun. Bapanya berdegil menyuruh Zarif melanjutkan pelajaran.
Apabila usianya dua puluh satu tahun, barulah dia mengambil kelas persediaan
sebelum terbang ke Jepun, melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan
Komputer.
“Kalau
macam tu, tengoklah nanti,” balas Zarif perlahan.
“Apa
pulak tengoknya? Zarif kenalah habiskan belajar cepat-cepat. Mama dan Papa cuma
ada Zarif je. Zarif tak ada abang, kakak atau adik yang nak tolong Papa dekat
pejabat,” sampuk Puan Sri Aisyah.
Zarif
menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Papa
tak sekat belanja Zarif, Zarif boleh bawak kereta semula, asalkan Zarif nak
sambung belajar,” usul Tan Sri Khalid, cuba memancing anak bujangnya itu.
Sebenarnya,
Tan Sri Khalid terpaksa menarik kemudahan Zarif demi memaksa Zarif menyambung
pelajaran. Zarif selalu berbelanja dengan boros. Dia seorang lelaki yang
mementingkan penampilan, jadi duitnya selalu habis ke arah pakaian dan
kelengkapan lain sebagai seorang lelaki. Dia menjadi kegilaan ramai gadis sejak
di bangku sekolah lagi memandangkan dia memiliki wajah yang kacak. Keningnya
agak tebal, matanya tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar, berkulit cerah
dan tinggi lampai. Ke mana sahaja dia melangkah, dia pasti akan menjadi buruan.
Mendengar
sahaja umpan bapanya, Zarif tersengih.
“Okey,
Papa! Zarif setuju,” jawab Zarif sambil mengukir senyum lebar.
Tan
Sri Khalid tersenyum. Begitu juga dengan Puan Sri Aisyah. Tidak mudah untuk
memujuk Zarif. Dia memang anak yang mendengar kata. Mendengar kata bila bersyarat dan syarat itu haruslah memberi keuntungan kepada pihaknya sendiri.
ZARA
mengerling jam di pergelangan tangan kanannya. Sudah lebih setengah jam dia
menunggu Rasya, tetapi kelibat kakaknya masih belum jua muncul. Waktu rehat
tadi Rasya ada menghubunginya. Kata Rasya, dia akan menjemput Zara pulang ke
rumah. Jadi, tidak perlulah Zara menunggu bas.
“Baik
tunggu bas daripada tunggu Kakak,” getus Zara sendirian.
Zara
menunggu Rasya di tempat menunggu bas untuk memudahkan Rasya untuk
menjemputnya. Tidak perlulah Rasya tercari-cari akan adik kesayangannya itu.
Nampaknya
pagar kolej sudah ditutup separuh. Maknanya waktu pengajaran dan pembelajaran akan
tamat sebentar lagi. Zara menanggalkan kaca matanya yang agak kabur disebabkan
asap kereta yang lalu-lalang. Zara mengelap cermin matanya dengan lengan baju,
lalu dengan tidak sengaja ada seseorang yang melanggarnya. Cermin mata yang
berada di tangan terlepas.
“Awak
siapa?” tanya Zara apabila dia dapat merasa ada seseorang yang berdiri di
hadapannya. Dia tidak mampu mengecam pemilik wajah itu. Dia tidak kenal lelaki
itu. Matanya yang kabur digosok-gosok. Kelihatan seorang lelaki berdiri dan
melihat ke arahnya. Mungkin pelajar di kolej, bisik hati Zara.
“Cermin
mata saya!” ujar Zara separuh menjerit. Dia tunduk lalu tangannya meraba-raba
mencari cermin matanya.
Zarif
hanya melihat perlakuan gadis itu yang sedang mencangkung di lantai dan mencari
sesuatu. Zarif merasakan kakinya terpijak sesuatu ketika dia ingin berlalu
meninggalkan gadis itu sendirian. Zarif terdiam. Alamak!
“Awak..
awak pijak cermin mata saya?” tanya Zara.
Telinganya
dapat menangkap bunyi derapan kaki seseorang yang memijak sesuatu. Dia pasti
itu adalah kaca matanya. Zara mencapai kaca mata itu. Walaupun pandangan begitu
kabur, dia masih dapat melihat apa yang ada di hadapan matanya.
“Awak..?
Berani awak?” marah Zara. Dia berdiri merenung lelaki di hadapannya. Kaca mata
yang hanya tinggal bingkai patah itu disuakan pada muka lelaki itu.
“Saya
minta maaf. Saya tak sengaja. Saya nak cepat ni. Ada hal. Nanti jumpa lagi,
saya ganti. Promise!” ujar Zarif.
“Saya
takkan jumpa awak lagi! Kalau saya jumpa awak, siaplah! Saya akan ingat muka
awak!” marah Zara.
Zarif
kaku. Garangnya! Tetapi dia harus cepat. Dia ingin mendaftarkan diri di
bahagian Hal Ehwal Pelajar. Zarif terus melangkah meninggalkan Zara.
Zara
mengetap gigi.
“Zara!”
Zara
berpaling melihat ke arah pemilik suara yang memanggil namanya. Kelihatan Rasya
yang berseluar denim biru dan t-shirt putih tanpa kolar sedang berdiri
merenungnya. Sebuah senyuman melekat pada bibirnya.
“Apa
tengok-tengok?” soal Zara sambil mendahului kakaknya masuk ke dalam kereta.
“Kenapa
Zara pakai baju ni?” tanya Rasya sambil ketawa besar. Dia duduk di tempat
pemandu dan menghidupkan kembali enjin keretanya.
Zara
tersengih mendengar soalan kakaknya. Sehelai tisu muka ditarik dari dalam kotak
lalu pemerah pipi, pembayang mata yang berwarna terang itu dilap tanpa melihat
ke arah cermin. Rambutnya yang bertocang dua seperti selalu dibebaskan semula.
Kemeja berwarna merah bersaiz besar itu ditanggalkan dari tubuh. Mujurlah dia
ada memakai t-shirt hitam di dalam baju besar itu tadi. Jeans merahnya masih
melekat di kaki seperti tadi.
“Macam
biasalah Akak,” balas Zara. Tangannya masih ligat mengesat pemerah pipi yang
masih berbaki di pipinya.
“Macam
clown,” balas Rasya selamba.
Zara
tergelak kecil.
“Akak
nak tahu, tadi ada budak sorang ni langgar Zara. Habis tercampak spec mata
Zara. Dah tu, dia pijak pulak,” adu Zara sambil mengangkat cermin matanya yang
sudah pun pecah.
Rasya
tersengih.
“Zara
ada banyak spec mata tu, kan? Pakai jelah mana-mana pun.”
Zara
tersenyum kecil. Terasa lega apabila tiada lagi contengan-contengan dan calitan
pada wajahnya.
“Zara..
kenapa Akak tengok Zara selalu macam ni? Dari sekolah menengah lagi. Apa
salahnya kalau Zara pakai apa yang Zara pakai sekarang ni? Zara cantiklah.”
Zara
tergelak kecil mendengar soalan jujur kakaknya.
“Akak..
Zara nak belajarlah. Zara ke kolej bukannya sebab Zara nak bergaya. Biarlah.
Pakai baju macam tu pun dah kira okey apa. Akak tengoklah, tak ada sesiapa pun
yang ajak Zara keluar. Sebab apa? Sebab orang ingat Zara ni pelik. Jadi, boleh
la Zara tumpu study. Tak adalah ikut kawan-kawan Zara pergi melencong ke tempat
lain tu,” jawab Zara.
Sebenarnya,
Zara sedikit pun tidak berniat untuk membohongi orang di sekelilingnya. Dia ada
sebab mengapa dia sanggup berpakaian pelik serta tidak bergaul dengan orang
lain. Hanya Azeem sahaja yang selalu mendekatinya. Dia ingin sekali menunjukkan
diri sebenarnya di hadapan rakan-rakan lain, tetapi disebabkan kebanyakan pelajar
di Kolej STAR itu cukup sombong dan selalu mengejeknya, biarlah. Dia sudah
malas untuk mempedulikan mereka.
Jika
hendak dibandingkan dengan Sabrina, sudah pasti dialah yang lebih cantik. Tetapi,
Azeem tetap memilih Sabrina. Mungkin kerana Azeem masih belum mengenali Zara
dengan sepenuhnya.
“Akak
rasa, baik Zara tak payah berlakon macam ni. Zara pakai macam tu semua, orang
sibuk nak mengata. Ryan tu, kan? Selalu nak buli Zara. Sudahlah. Eh?” pujuk
Rasya. Sejak dahulu lagi dia tidak suka apabila orang mengutuk adik
kesayangannya. Mujurlah dia bukan Durrani. Durrani lebih lantang dan garang. Jika
ada orang yang cuba melakukan sesuatu yang buruk terhadap adik-adiknya, Durrani
tidak akan segan-segan mencari siapakah orang tu. Maklum sajalah, dia pemegang
tali pinggang hitam dalam taekwondo.
“Nantilah,
Akak. Dah tak ada sebab untuk Zara buang semua baju-baju ni,” ujar Zara
perlahan.
“Maksud
Zara?”
Rasya
mengerling adiknya yang duduk di sebelahnya. Kelihatan Zara sedang asyik
merenung ke luar tingkap. Zara tidak bersuara.
“Oh,
Azeem dah ada orang lain?”
Zara
menoleh ke kanan, melihat ke wajah kakaknya.
“Mana
Akak tahu?” tanya Zara seakan-akan tidak percaya.
“Baru
kejap tadi, Akak nampak Azeem dengan sorang budak perempuan ni. Bukan main
rapat lagi. So, Akak assume Azeem dah ada girlfriend la,” jelas Rasya.
Kasihan
Zara. Dia tahu, adiknya pasti sedih. Sepanjang dua puluh satu tahun gadis itu
hidup, dia hanya pernah menyukai seorang lelaki sahaja, iaitu Meor Muhammad
Azeem Taufiq bin Meor Khusyairi. Tapi nampaknya Azeem sukakan orang lain,
bukannya Zara. Disebabkan itulah dia ingin Zara bersikap normal. Jika dia
berpakaian seperti biasa, pasti ramai pilihan yang menanti.
Sudah
berkali-kali keluarga mereka berusaha memujuk Zara agar tidak berpakaian
pelik-pelik seperti itu lagi. Tetapi dia masih berdegil. Kononnya dia tidak
mahu mereka menyukainya kerana rupa. Zara.. Zara..
“NAMA
awak siapa?”
“Err..
Muhammad Zarif Ihsan bin Khalid,” jawab Zarif apabila ditanya oleh kerani yang
hanya berbaju kemeja T tanpa kolar. Lagaknya tidak nampak seperti seseorang
yang bekerja di sebuah kolej ternama.
Betul
ke Papa ni? Betul ke kolej ni berprestij tinggi? Tapi kenapa pekerja kolej yang
sorang ni just pakai t-shirt? Segala macam soalan mula bermain di benak Zarif.
Lelaki
itu bangun dan menuju ke mesin fotostat di belakangnya. Zarif hanya menjadi
pemerhati.
“Esok
awak dah boleh mula masuk kolej. Awak dah tentukan senarai modul yang awak akan
ambil, jadi awak bukak website yang ada pada kertas ni, pilih mana satu kelas
yang awak boleh masuk. Terpulanglah pada awak ni pilih kuliah mana satu pun,”
ujar lelaki itu bersahaja.
Zarif
mengangguk perlahan.
“Terima
kasih banyak, ya Encik,” ucap Zarif sebelum berlalu.
Zarif
mengangkat bahu. Lantas fikirannya teringatkan gadis yang dilanggarnya tadi. Zarif
berlari keluar menuju ke arah pondok tempat menunggu bas. Kelihatan sudah ramai
pelajar yang memenuhi setiap sudut pondok itu. Wajah yang dicari tidak
dijumpai. Akhirnya Zarif menuju ke arah Mercedes Benz SLR silvernya yang
diletakkan di seberang jalan.
Zarif
menghidupkan enjin keretanya.
“Ke
manalah budak tu hilang? Aku nak bagi duit ganti rugi ni,” ujar Zarif sendirian.
Dia
akhirnya bergerak meninggalkan kawasan kolej yang nampak seperti hanya untuk
anak-anak orang berada sahaja. Dalam perjalanan, Zarif mula berasa tidak sedap
hati untuk datang ke kelas esok. Dia tidak tahu mengapa, mungkin kerana hatinya
benar-benar tidak mahu meneruskan pelajaran di kolej itu. Zarif menarik nafas
panjang. Mungkin lama-lama nanti dia akan berasa lebih selesa selepas
menyesuaikan diri.
1 comment:
bestlah cepatlah sambung ya tq
Post a Comment