AUTHOR'S WORDS

Assalamualaikum wbt. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Note - These stories are not related to anybody. Kalau ada yang sama, tak disengajakan. Hohoho. 100 percent from my thoughts, my imagination. Copy right reserve goes to me. :) Nama dan watak, fictions. I got the photos from Google before I'm using it as my novels' cover. Thank you and credits to the owners of the pictures. :)

21, a daughter, a little sister. And I have a big dream :')

Selamat membaca~ ;)

Monday, July 16, 2012

Hadirnya Cinta Terindah 4


RYAN duduk berteleku di meja yang terletak dalam kafe itu. Sudah tiga hari dia tidak melihat kelibat Zara. Semalam, dia ada bertemu dengan Zara. Tetapi, Zara lekas-lekas menjauhinya apabila terlihatkan dirinya. Mungkin Zara semakin membenci dirinya. Tetapi, itu bukan masalahnya. Masalahnya sekarang Ryan tidak senang duduk dek kerana dia tidak dapat membuli Zara seperti selalunya. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia tidak senang duduk. Bukankah lebih baik jika dia langsung tidak berjumpa dengan Zara?

“Ryan, kau kenapa? Apa hal?”

Suara Nazril yang garau itu mematikan lamunan Ryan. Dia mengangkat bahu sambil matanya merenung ke arah Nazril dan Aiman.

“Kenapa kitorang tengok kau ni macam diam je? Kau ada masalah ke?” soalan Aiman yang agak mengambil berat akan keadaan dirinya membuatkan Ryan tersengih.

“Tak adalah. Saja je aku nak termenung. Tak boleh ke?” tanya Ryan kembali.
Aiman dan Nazril ketawa terbahak-bahak.

“Mana ada orang sengaja nak mengelamun. Lagi pun sejak bila kau ni suka termenung?” tanya Aiman lagi.

Ryan hanya mencebik mendengar gurauan dua sahabatnya itu.

“Eh, itu!”

Ryan yang tadinya hanya duduk bersilang kaki berpaling, mencari arah yang ditunjukkan oleh Nazril. Kelihatan Zara dan Azeem sedang berjalan beriringan menuju ke arah kafe itu. Ryan mengukir senyum. Dia sendiri tidak tahu senyumnya itu untuk apa.

“Hai, Zara!” tegurnya apabila Zara dan Azeem berjalan melalui meja yang didudukinya.

Zara berjalan terus tanpa menghiraukan teguran daripada insan yang sungguh dibencinya itu. Zara menarik sebuah kerusi sebelum melabuhkan punggung di hadapan Azeem. Jarak di antara mejanya dengan meja Ryan tidaklah begitu jauh. Cuma selang tiga buah meja sahaja.

Ryan sakit hati apabila Zara seolah-olah tidak nampak akan kewujudannya. Tangan kanannya menumbuk permukaan meja bulat yang diperbuat daripada kaca tebal itu.

Aiman dan Nazril yang sedang asyik menulis berhenti. Mata mereka tidak lepas-lepas menatap wajah bengang Ryan. Apa sudah jadi dengan Ryan? Mungkinkah.. Jadi, inilah sebabnya mengapa Ryan asyik termenung sejak tadi.

“Ryan.. aku nak tanya sikit boleh?” tanya Nazril serius.

Ryan hanya menjungkitkan kening.

“Kau.. err.. kau suka Zara ke?”

Ketawa Ryan pecah apabila otaknya dapat memproses soalan yang keluar daripada mulut sahabatnya itu. Terasa soalan itu sungguh kelakar di pendengarannya.

“Aku suka si badut tu? Aku?” tanya Ryan sambil jari telunjuk kanannya menuding muka sendiri.

Suara Ryan yang kuat itu mengganggu semua pelajar yang sudah pun memenuhi segenap ruang dalam kafe. Ketawa Ryan semakin galak apabila matanya dapat menangkap renungan sinis Zara yang jatuh padanya.

“Kawan-kawan! Pengumuman!” jerit Ryan tiba-tiba.

Semua pelajar yang berada di situ segera memandang ke arahnya.

“Korang nak tahu tak, Hannah Mentadak ni tengah mabuk cinta,” ujar Ryan dengan suara yang masih kuat.

Zara yang mendengar langsung tidak mengangkat muka. Apa maksud Ryan?

“Kalau korang nak tahu.. dia tengah seronok bercinta dengan anak Pengarah Kolej STAR,” ujar Ryan, masih mencuba untuk menarik perhatian kesemua pelajar sekali lagi.

Semua mata yang berada di situ menoleh, melihat ke arah dua orang manusia yang sedang duduk bertentangan. Dari riak wajah Azeem, dia nampaknya tidak suka dengan apa yang diperkatakan oleh Ryan. Semua pelajar di kolej itu tahu bahawa Azeem merupakan anak kepada pengarah The STAR College. Zara hanya tunduk sambil berpura-pura membaca buku walaupun telinganya dapat menangkap setiap butir bicara Ryan dengan jelas.

Apabila semua orang mula fokus dengan apa yang diperkatakannya, Ryan bangkit lalu dia berdiri di atas kerusi sambil bercekak pinggang. Itulah Ryan. Kaki buli di kolej itu.

“Ryan! Bukan ke anak Pengarah tu bercinta dengan orang lain. Macam mana dia boleh bercinta dengan badut?” jeritan salah seorang pelajar lelaki yang berada di situ mengundang tawa mereka semua.

Zara menggenggam jari-jemarinya di bawah meja. Azeem diam sambil matanya merenung wajah kelat Zara.

“Bercinta kau kata? Takkanlah. Badut dengan anak Pengarah tu dah keluar dating,” ujar Ryan, semakin rancak mengutuk Zara.

“Apa lagi? Badut bertepuk sebelah tanganlah kawan!” jerit Aiman yang sedang duduk bersilang kaki.

Sekali lagi, kafe itu gamat dengan ketawa daripada pelajar-pelajar lain.
“Zara?”

Suara Azeem membuatkan Zara semakin tidak senang duduk. Apa yang sedang dilakukan oleh Ryan sekarang ini? Zara tidak mampu mengangkat muka, membalas renungan Azeem.

“Zara, Abang cakap dengan Zara ni. Betul ke apa yang Ryan cakapkan tu?” tanya Azeem serius.

Zara melarikan pandangan ke arah lain. Saat ini, dia terasa begitu malu dengan apa yang sedang berlaku. Apa salahnya dia pada Ryan sehingga Ryan sanggup melakukan ini semua padanya? Tetapi, dia tidak kisah dengan itu semua. Dia hanya bimbang akan kehilangan Azeem yang selalu ada dengannya.

“Hey, badut! Aku ada simpan gambar kau keluar dating dengan Azeem. Nak aku tunjukkan pada semua orang?” soal Ryan sambil mengukir senyum sinis.
Zara mengeluarkan buku teks yang dibelinya beberapa bulan lalu. Satu demi satu helaian diselak. Tiada! Nampaknya Ryan tidak bergurau. Zara bingkas bangun lalu datang mendekati Ryan.

“Pulangkan gambar tu! Bagi balik!” marah Zara. Wajahnya merah padam menahan marah dan rasa malu yang teramat.

Ryan tersenyum sinis. Sekeping gambar dari dalam kocek seluar jeansnya dikeluarkan lalu diangkat dengan agak tinggi di udara. Dia turun dari kerusi sambil memegang lengan Zara.

“Ini dia gambar yang aku cakap tu! Korang tengoklah ni!” ujar Ryan sambil menunjukkan gambar itu kepada semua pelajar yang ada di kafe itu.

Aiman mencapai gambar itu dari tangan Ryan. Zara yang masih belum berpuas hati mencuba untuk merampas gambar yang menjadi miliknya.

“Eh, ada something la dekat belakang gambar ni. I love you, Meor Muhammad Azeem Taufiq Meor Khusyairi. Thanks for everything. Love, Nur Zara Sofea Jamaluddin a.k.a. Badut!” jerit Aiman. Sengaja ditambah perkataan ‘badut’ itu.

Azeem bangun dari tempat duduknya lalu segera dia merampas gambar itu dari tangan Aiman. Gambarnya sedang duduk dengan Zara di sebuah kerusi taman. Mereka berdua mengenakan baju yang sama! Azeem masih ingat lagi waktu itu. Dia dan Zara terpaksa membeli baju itu disebabkan mereka baru sahaja pulang dari sebuah karnival anjuran kolej. Dek kerana baju mereka basah disebabkan hujan lebat pagi itu, merekaterpaksa membeli baju itu.
Azeem tidak marah jika gambar itu tersebar. Tetapi, perkataan-perkataan yang tertulis pada bahagian belakang gambar itu membuatkan dia terasa ingin marah.

“Apa semua ni Zara? Apa ni?” marah Azeem. Gambar yang berada di tangan dilemparkan ke lantai.

“Kenapa ni awak?”

Entah dari mana pula datangnya Sabrina. Gambar yang sudah pun berada di lantai dicapai. Satu demi satu bait perkataan dibaca oleh Sabrina. Bulat matanya menikam wajah Zara. Gambar yang berada di tangannya direnyukkan.

Pangg! Tanpa sebarang signal, sebuah tamparan hinggap di pipi mulus Zara. Zara terasa ingin menangis. Pipinya yang mula terasa pijar dilekap dengan tapak tangan.

Sabrina terus berlalu meninggalkan mereka semua. Dia berlari meninggalkan kafe yang sudah sunyi sepi itu. Sunyi bagaikan dilanggar garuda.

“Abang tak sangka Zara macam ni. Abang tak pernah sukakan Zara. Zara ingat Abang layan Zara elok-elok sebab Abang sukakan Zara?”

Zara yang tunduk mengangkat wajah. Inilah kali pertama dalam hidupnya dia dapat melihat wajah marah Azeem. Wajah Azeem merah padam.

“Zara.. Zara..”

“Sudahlah! Tak guna kau nak cuba jernihkan keadaan, Hannah Mentadak! Kau tu memang teruk. Ada hati nak bercinta,” sampuk Ryan.

Berdesing telinga Zara mendengar hinaan daripada Ryan. Pegangan tangan Ryan yang kejap menggenggam lengannya direntap kasar.

“Betul cakap Ryan tu, Zara. Cerminlah diri tu dulu sebelum sukakan seseorang. Zara tengok. Kalau Abang keluar dengan Zara, Abang rasa orang takkan gelakkan Abang ke? Abang malu kalau Zara jadi girlfriend Abang! Abang malu! Tengoklah apa yang Zara pakai. Zara tak ubah macam badut!” ujar Azeem sinis.

Akhirnya, mengalir jua air mata yang ditahannya sejak tadi. Dia tidak kisah jika orang yang menghinanya adalah Ryan, Aiman ataupun sesiapa sahaja. Tetapi kali ini, Azeem yang menghinanya.

Azeem berlalu dan ingin mencapai beg galasnya di meja yang didudukinya tadi.

“Zara ingat, dalam dunia ni masih ada manusia yang boleh terima kehadiran manusia pelik macam Zara. Zara ingatkan orang tu Abang! Ya, memang Zara sukakan Abang. Tapi itu dulu! Sebelum Abang beritahu dekat semua pelajar dekat kolej ni yang Abang sukakan Sabrina. Zara pun manusia. Zara ada perasaan. Setiap kali orang hina Zara, Abang yang selalu bagi Zara semangat. Zara tak tahu rupanya Abang pun sama! Kalau Abang malu berkawan dengan Zara, Zara sepuluh kali malu sebab Zara kenal dengan Abang! Zara dah tak perlukan orang macam Abang dalam dunia ni lagi! Kalau malu dengan Zara, jangan datang dekat dengan Zara lagi!” bentak Zara bengang. Nafasnya sudah tidak teratur dek kerana rasa sedih yang membuak-buak.

Azeem mematikan langkah. Mendengar bentakan Zara, dunianya bagaikan terhenti berputar. Tubuhnya kaku. Bibirnya seakan terkunci rapat. Kali ini, dia bakal kehilangan gadis yang dianggapnya sebagai adik itu. Zara yang pelik, Zara yang garang dan Zara yang pendiam.

Zara segera mencapai beg galasnya sebelum dia berhenti di hadapan Ryan. Ryan seboleh-bolehnya berlagak tenang. Zara membongkok lalu gambar itu diambilnya semula. Gambar yang sudah renyuk itu dibuka perlahan-lahan. Gambar itu disiat-siat di hadapan muka Ryan. Azeem hanya jadi pemerhati. Dengan rasa marah dan sedih yang bercampur-baur dicampakkan ke muka Ryan. Ryan mengetap gigi.

“Hey!”

Sergahan Ryan langsung tidak dihiraukan.

“Mulai hari ni, kau jangan berani tunjukkan muka kau depan aku! Kalau aku nampak lagi muka kau, aku takkan teragak-agak untuk malukan kau semula!” ugut Zara.

Ryan nyata terkejut mendengar ugutan Zara. Ah, sudah! Dia yang memulakan ini semua, jadi tidak hairanlah mengapa Zara bertekad akan membalas dendam. Sungguh. Dia agak takut mendengar ugutan Zara.

Zara terus berlalu meninggalkan kafe itu. Dia langsung tidak peduli akan pelajar-pelajar di situ yang sedang mengutuknya. Zara malu. Malu dengan semua pelajar di situ. Tetapi dia terpaksa menebalkan muka. Dia terpaksa berlagak tenang.


ZARIF yang hanya menjadi pemerhati sejak tadi segera menghayun langkah. Dia tahu apa yang sedang menunggunya. Tetapi dia tidak takut. Biarlah apa kata Zara. Biarlah Zara memaki hamunnya. Dia sanggup. Dia hanya ingin mendekati Zara. Semuanya gara-gara cerita yang disampaikan kepadanya tentang sikap Zara. Siapa tahu kalau-kalau gadis itu luarannya sahaja begitu, tetapi dalamannya tidak seperti itu.

“Zara!” laungnya pada gadis yang berada beberapa meter di hadapannya.

Zara berpura-pura tidak mendengar, dan hanya berjalan terus hingga ke pagar utama kolej itu.

“Zara!”

Zara merengus apabila lengannya yang bertutup dengan baju kurung kain kapas itu direntap oleh Zarif. Zarif yang sedar Zara sedang marah padanya lekas-lekas melepaskan pegangannya.

“Awak nak apa, hah?” marah Zara.

Kali ini, Zarif hanya mampu menelan air liur. Mengapa gadis ini begitu dingin? Bukan dia yang menaikkan darah Zara sebentar tadi.

“Sorry. Saya cuma nak tanya, awak okey ke?”

Zara berpaling merenung ke arah wajah kacak Zarif.

“Awak baru kenal saya, baru sekali je awak tegur saya, awak dah pandai nak sibuk hal saya? Awak siapa?” herdik Zara. Semakin panas pula hatinya apabila Zarif cuba mencampuri urusannya.

“Saya nampak orang dekat kafe tadi malukan awak. Jadi, saya datang sebab saya nak tolong awak. Bukannya sebab saya nak sibuk! Tak ada sesiapa pun pedulikan awak tadi, walaupun orang yang awak sayang-sayangkan tu. Awak sepatutnya bersyukur bila ada orang datang dan cuba pujuk awak. Bukannya herdik-herdik saya macam ni,” tegur Zarif. Riak wajahnya sedikit tegang.

Ya, mungkin dia baru sahaja mengenali Zara. Bukan. Baru ingin mengenali Zara. Patutlah tiada siapa yang pedulikan Zara. Rupanya sikap sombong Zara itu benar-benar keterlaluan. Dia sepatutnya menghargai apabila ada orang datang untuk berkawan dengannya. Ini tidak. Diherdik dan dimarahinya pula. Zara, Zara..

“Saya peduli apa? Saya boleh hiduplah walaupun awak campak saya ke hutan Amazon sekalipun,” balas Zara. Air matanya semakin mengering dilap dengan tapak tangan. Pipinya masih terasa pedih akibat penangan Sabrina.
Zarif menggelengkan kepala.

“Baiklah. Saya takkan campur lagi urusan awak. Awak memang sombong! Bongkak! Awak hiduplah dalam dunia pelik awak tu,” marah Zarif.

Zarif terus berjalan masuk semula ke dalam kawasan kolej. Sakit hatinya apabila kebaikannya tidak disambut baik oleh Zara. Mulai hari ini, dia sudah tidak mahu bertegur sapa dengan gadis itu. Biarkan!


“ZARA.. kenapa dengan pipi tu? Bukan man merah lagi Papa tengok,” tegur Encik Jamaluddin.

Zara yang sedang duduk melekapkan tapak tangan ke pipinya sejak tadi menurunkan tangan.

“Tak ada apalah, Papa. Zara terlanggar pintu bilik air dekat kolej tadi. Lantai licin. Sedar-sedar, Zara dah terlanggar pintu,” bohong Zara.

“Merah sangat Papa tengok tu,” sambung bapanya.

Dia selalu risau akan keadaan Zara. Semuanya kerana Zara yang suka berpakaian pelik di luar rumah. Sudah pasti anaknya itu selalu menjadi bahan ketawa. Pernah suatu ketika Zara pulang ke rumah dengan pakaian yang kotor dilumuri lumpur dan becak akibat dibuli oleh rakan sekelasnya sewaktu di sekolah menengah. Encik Jamaluddin marah benar dengan budak-budak yang membuli Zara. Tetapi puas dipujuk Zara dan Puan Saidah agar tidak mengendahkan itu semua. Semuanya berpunca dek kerana pakaian dan gaya Zara yang pelik.

“Zara!”

Zara menoleh ke belakang. Kelihatan Rasya sedang berdiri di belakang sofa yang didudukinya. Sebiji telur rebus yang masih suam-suam disuakan pada adiknya. Zara hanya mencapai huluran kakaknya, lalu telur itu digolek-golekkan ke pipi kirinya.

“Itulah. Lain kali jalan hati-hati,” pesan Puan Saidah sambil duduk di sebelah kiri Zara. Bahu Zara dipicit-picit perlahan.

“Yalah, Mama. Nanti Zara hati-hati. Janganlah risau,” ujar Zara, cuba menenangkan hati ibu dan bapanya.

Rasya hanya menjadi pendengar. Dia sudah tahu akan hal sebenar yang berlaku. Tetapi tidak mungkin dia akan menceritakan hal itu kepada kedua orang tua mereka. Zara tidak mahu ibu dan bapanya jatuh sakit disebabkan apa yang berlaku pada Zara.

“Zara tu asyik ‘ya, ya’ bila bercakap. Buatnya tidak,” kata Puan Saidah. Rambut lurus Zara yang berwarna perang itu diusap penuh kasih sayang.

“Kali ni, Zara janji. Zara akan lebih berhati-hati,” ujar Zara sambil mengangkat tangan kanannya.

“Jangan pakai pelik-pelik lagi dah, Zara. Papa hairan dengan Zara. Apa salahnya Zara pakai macam ni ke kolej? Zara tak kisah ke orang mengata Zara?” tanya Encik Jamaluddin.

Zara menggaru-garu kepalanya. Apa lagi yang hendak dijawab pada bapanya kali ini? Sudah jenuh dia memberitahu Encik Jamaluddin bahawa dia sengaja berpakaian seperti itu untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran. Alasannya agak pelik, tetapi itulah hakikatnya. Dia tahu, pasti dia akan menjadi kegilaan di kolej sekiranya dia berpakaian seperti biasa memandangkan dia mempunyai darah campuran. Biasalah, tiada seorang pun pelajar di kolej itu yang sebumbung dengannya.

“Papa, kalau Papa nak tengok Zara jadi macam biasa, terlepas dari sumpahan, Papa kenalah carikan Zara ni cinta sejati. Barulah dia boleh keluar dari kepompong,” gurau Rasya. Dia mengambil tempat di atas lantai. Tangannya memeluk lutut.

Sumpahan? Zara tersenyum. Itulah perkataan yang sering digunapakai oleh Rasya apabila soal berpakaian menjadi topik perbualan mereka anak-beranak.

“Cinta sejati?” tanya Puan Saidah.

“Mana adalah Mama. Akak ingat Zara ni dalam cerita The Beauty And The Beast ke?” soal Zara. Sebiji bantal selamat mendarat di belakang badan kakaknya.

“Betul, Ma. Semalam Zara ada cakap dengan Sya. Dia nak tunggu prince charming dia datang and terima dia seadaanya. Masa tu, barulah si katak hodoh menjadi puteri yang cantik.”

Kata-kata Rasya disambut dengan hilaian tawa daripada Zara. Encik Jamaluddin dan Puan Saidah hanya tersenyum melihat keakraban dua beradik itu. Kalaulah Durrani ada, pasti lebih gamat.

4 comments:

Anonymous said...

ahh babe just found ur blog..i like it muchos..hehe..
bru abis bce 3 stories..di sampingmu, tapi bukan aku n hadirnya cinta terindah..seriously best kot..hope u will keep those updated..for this time being i 'll follow those three..hehe..
wishing u da best..

~adda~

baby mio said...

bila nak update lamanya.

Anonymous said...

kesian zara,napa lah ryan tu busuk ati ek,adakah zarif prince charming zara ??? hehehe cik writer cepat2 upload next chap..x sbr.best sgt.

EL

Ila Aleeya said...

Adda - thanks! I'll try my best. Thank you, thank you. And jangan takut nak kritik. Pedas ke, tak pedas ke, I'll take it. Thanks again. :D

Baby Mio - sorry la baby! Leeya busy la. Sekarang baru cuti. Hehehe. Don't worry. Leeya try update sekerap yang mungkin. Thanks sebab selalu singgah sini. :D

EL - Leeya pun tak tau siapa prince charming tu. HAHAHA. :P Kalau nak tau kenapa Ryan jahat dengan Zara, sape prince charming tu, terus la baca HCT ni. Anyway, thanks. I'll try my best. Thanksssss! :DDDDD