AUTHOR'S WORDS

Assalamualaikum wbt. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Note - These stories are not related to anybody. Kalau ada yang sama, tak disengajakan. Hohoho. 100 percent from my thoughts, my imagination. Copy right reserve goes to me. :) Nama dan watak, fictions. I got the photos from Google before I'm using it as my novels' cover. Thank you and credits to the owners of the pictures. :)

21, a daughter, a little sister. And I have a big dream :')

Selamat membaca~ ;)

Wednesday, March 20, 2013

Semua Untukmu 5


FINALLY! Dapat pun update. Eh lupa, assalamualaikum and selamat sejahtera. Kalau ada typos, sorry okay? DL nak cepat. Taknak you all tertunggu tunggu! Hihi. Anyway, layan kan je SU ni! Enjoyyyy!

BAB 5

“GOOD morning, Abang!”

Sapaan Khairinna mematikan lamunan Nazhan. Dia tersenyum kemudiannya.

“Awal Erin bangun hari ni? Bukan ke selama hari ni Erin just akan bangun bangun bila matahari tegak atas kepala ke? Bukan sampai Mama Erin membebel baru Erin nak bangun?”

Khairinna mencebik.

“Mama ni.. suka malukan Erin. Suka cerita benda yang tak penting pada orang lain. Apa pun, hari ni Erin bangun awal sebab Abang ada dekat sini. Erin nak breakfast dengan Abang lagi!”

Nazhan tersenyum cuma. Pagi-pagi lagi dia sudah berdiri tegak menghadap laut, melihat burung-burung berterbangan di dada langit. Sesekali, beberapa ekor burung akan terbang rendah sebelum menjunamkan kepala mereka demi mendapatkan makanan.

“Abang, Erin ada bawak katalog yang Mama suruh tunjuk pada Abang. Kalau Abang free, bolehlah Erin tunjuk pada Abang.”

Nazhan menjungkit kening.

“Katalog?”

Khairinna sudah menjeling Nazhan dengan ekor matanya. Asyik-asyik lupa!

“Benda penting macam ni pun Abang boleh lupa? Majlis pertunangan kita!”

Nazhan menepuk dahi.

“Sorry. Abang memang selalu macam ni. Hari ni Abang masuk shif petang. Lepas breakfast ni Erin ikut Abang balik, ya? Ibu Abang nak sangat jumpa dengan Erin.”

Khairinna mengangguk laju. Segera tangan kanannya diangkat, lalu ibu jari dan jari telunjuknya membentuk huruf ‘O’. Nazhan tersenyum lagi.


“OPAH, Lea nak pergi pantai. Opah nak pesan apa-apa tak?” soal Azzalea dari muka pintu.

Semangat benar dia pagi itu ingin mengikut jiran-jiran mereka ke laut, untuk mengutip kerang-kerangan. Setiap kali air surut, pasti paras air laut menurun. Dan kawasan-kawasan yang surut itu akan berselut dan berlumpur. Pasti banyak hidupan laut yang dapat ditangkap di kawasan berselut itu.

“Lea tolong hantar kain dekat rumah Mak Cik Ramlah boleh tak? Mintak jahitkan baju kurung Lea dengan Opah,” jawab Nek Limah yang sedang sibuk melipat cadar-cadar chalet.

Azzalea menggaru kening.

“Bolehlah, ya? Nazhan bukannya ada dekat rumah. Tentu-tentu dia sibuk dekat chalet.”

Pujukan Nek Limah berjaya juga melembutkan hati Azzalea.

“Tapi.. kalau Lea hantar lepas Lea balik dari pantai, boleh?”

Nek Limah mengangguk perlahan menjawab pertanyaan cucunya yang satu itu.

Azzalea segera menanggalkan selipar Jepun yang dipakainya sebelum masuk ke dalam rumah. Dia masuk ke dalam bilik neneknya sebelum keluar dengan membawa kain-kain pasang yang masih belum berjahit.

“Lea jangan lupa pulak pergi hantar kain-kain tu,” laung Nek Limah apabila Azzalea sudah mencapai basikalnya.

“Baik, Opah,” balas Azzalea sambil mengangkat tabik kepada neneknya.

Basikal dikayuh sedikit laju meninggalkan kawasan rumah. Tiba sahaja di persisiran pantai, Azzalea menyandarkan basikalnya ke sepohon pokok gajus yang tumbuh merendang. Kelihatan ada dalam sepuluh orang mak cik-mak cik sedang berjalan membawa baldi di sekitar pantai itu.

Azzalea menghayun langkah mendekati wanita-wanita yang agak berusia itu dengan senyuman.

“Assamualaikum!” sapa Azzalea ramah.

Salam Azzalea bersambut. Azzalea berjalan mendekati Suzana, rakan sebayanya.

“Dah mula ke?”

“Kami baru nak mula,” jawab Suzana.

“Nasib baik,” balas Azzalea, tersengih.

Suzana menjegilkan biji matanya ke arah Azzalea.

“Kau ingat kami nak kutip kerang ni semua sampai habis ke?”

Azzalea ketawa mendengar kata-kata Suzana. Tanpa mahu membuang masa, tangannya pantas memaut lengan Suzana. Kedua-dua gadis itu memulakan rutin mengutip siput-siput dan pelbagai jenis kerang seperti biasa.


“MACAM mana kerja dekat chalet tu, Lea?”

Azzalea meneguk air masak milik Suzana. Terasa hilang sedikit lelahnya apabila air mengalir di kerongkong.

“Macam biasalah, Zana. Penat. Kesian dekat opah aku,” balas Azzalea. Belakang tapak tangannya mula mengesat peluh yang merenik di dahi. Seteguk lagi air ditelan.

“Kenapa kau tak kerja je dekat chalet tu? Lagi senang. Tak payahlah opah kau susah-susah buat kerja berat-berat lagi.”

Azzalea mengangguk, mengenang keadaan neneknya. Tutup botol dipusing sebelum botol diletakkan di sisi.
Selain Sarah, Suzana merupakan sahabat baik kepada Azzalea. Sama seperti Azzalea, Suzana juga perlu mengorbankan peluang untuk menyambung pelajaran. Bagaimana dia mahu menyambung pelajaran sedangkan hidupnya tidak ubah seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang? Dia tidaklah sebijak Azzalea yang mendapat tajaan biasiswa. Suzana bekerja sebagai tukang masak di salah sebuah kedai di pekan. Mujurlah dia pandai memasak. Mudahlah mendapat kerja.

“Tapi kalau aku kerja dekat chalet tu, time aku balik tak tentu, Zana. Kesian dekat Opah. Bukannya larat sangat. Aku risaulah. Takkan nak harapkan jiran aku je, Acik Minah? Acik Minah pun ada anak-anak nak kena jaga. Nak hantar anak-anak pergi sekolah lagi. Lagipun aku takutlah nak balik sorang-sorang. Tambah-tambah kalau aku balik malam.”

Suzana menarik nafas dalam-dalam.

“Fasal opah kau, aku boleh mintak emak aku tolong tengok-tengokkan. Aku balik kerja, aku boleh singgah kejap. Kalau kau takut nak balik malam, Abang Nazhankan ada? Kau tumpanglah dia. Kan senang.”

Mendengar sahaja nama Nazhan disebut, Azzalea menepuk dahi.

“Eh, Zana! Nantilah kita sambung lagi. Aku terlupa something. Opah suruh aku hantar baju dekat rumah Abang Nazhan. Aku pergi dulu!"

Azzalea bingkas bangun dan berlari mendekati pohon gajus tempat dia meninggalkan basikalnya tadi.
Suzana hanya menggelengkan kepalanya. Semoga hidup sahabatnya itu dipermudahkan, doa Suzana dalam hati.


“CANTIKNYA Erin. Bertuah Nazhan dapat bakal isteri macam Erin ni,” puji Mak Cik Ramlah sambil mengusap rambut Khairinna.

Khairinna hanya tersenyum senang. Bangga apabila dipuji oleh bakal mertuanya.

“Erin makan dekat sini, ya? Nak tidur sini pun boleh,” pelawa Mak Cik Ramlah lagi.

Khairinna menganggukkan kepalanya.

“Mestilah, Mak. Dah lama tak rasa masakan Mak,” balas Khairinna.

Mak Cik Ramlah tersenyum kecil.

“Belajarlah masak daripada Mak.”

Entah dari mana datangnya Nazhan, Mak Cik Ramlah dan Khairinna langsung tidak perasan. Nazhan melabuhkan duduk di salah sebuah sofa yang kosong. Khairinna mencebik.

“Erin belajar masak bila kita dah kahwin nanti. Tak pun kita duduk dengan Emak.”

Akhbar yang ingin dibaca ditutup semula.

“Amboi.. karang tak nak kahwin karang, baru tahu!” ugut Nazhan.

Khairinna hanya menjelirkan lidahnya ke arah Nazhan.

“Assalamualaikum!”

Mak Cik Ramlah segera menjawab salam tetamunya sebelum bergerak ke pintu. Dia tersenyum apabila senyuman manis Azzalea menyapa pandangannya.

“Lea! Naiklah!” pelawa Mak Cik Ramlah.

“Tak apalah, Mak Cik. Lea baru balik dari laut ni. Kotor. Lea nak hantar kain, Opah pesan,” balas gadis itu. Pada mulanya dia ingin juga masuk ke dalam, namun kehadiran Toyota Hilux hitam milik Nazhan mematikan hasratnya.

“Bukannya tak boleh cuci kalau kotor. Naiklah,” pelawa Mak Cik Ramlah.

Biarpun dia tidak ingin bertemu dengan Nazhan, dia tetap mahu melihat wajah Nazhan. Rindulah katakan. Dengan perasaan yang bercampur-baur, dia melangkah satu persatu anak tangga lalu masuk ke dalam rumah Mak Cik Ramlah.

“Lea, duduk dulu. Mak Cik buatkan air.”

Belum sempat Azzalea menahan Mak Cik Ramlah, wanita separuh abad itu terus menuju ke dapur. Tinggallah Azzalea, Nazhan dan juga gadis yang tidak dikenali itu di ruang tamu.

Apabila masuk sahaja ke dalam rumah sebentar tadi, wajah ceria Nazhan dan gadis yang duduk di sisinya diperhatikan. Namun, dia masih menahan dirinya daripada diserang rasa sedih. Mungkin juga gadis itu saudara-mara Mak Cik Ramlah.

“Lea datang.. nak hantar.. err kain? Nak suruh Mak jahit?”

Azzalea mengangkat muka. Dia mengangguk perlahan. Bila pula Nazhan berada di sebelahnya? Hairan.
Nazhan menarik kerusi sebelum duduk di sebelah Azzalea. Azzalea cuba mengawal degupan jantungnya.

“Lea dari mana?” soal Nazhan, cuba membuka bicara.

“Dari pantai. Ikut Suzana kutip kerang,” balas Azzalea. Kepalanya masih ditundukkan, menekur permukaan meja makan kayu yang beralas plastik jernih.

Nazhan senyap. Azzalea juga begitu.

“Tak nak kenalkan Erin?”

Serta-merta Azzalea mendongak. Kelihatan gadis yang membahasakan dirinya sebagai Erin berdiri di sisi Nazhan.

Nazhan tersenyum pahit. Dia sendiri juga tidak tahu mengapa dia berkelakuan begitu.

“Itulah Erin, Lea. Bakal isteri Abang Nazhan,” sampuk Mak Cik Ramlah yang sedang menatang dulang berisi teh panas.

Hampir sahaja Azzalea menangis di situ. Air liur ditelan. Terasa kesat dan pahit. Kelopak matanya dikelip-kelipkan beberapa kali, mengelakkan air mata yang sudah bertakung di tubir mata daripada menitis. Jadi, inilah Erin yang menelefon Nazhan beberapa hari yang lalu.

“Mak Cik.. Opah mintak jahitkan baju ni. Bila-bila siap pun tak apa. Bukan nak cepat sangat. Lepas tu guna ukuran lama tu, ya?”

Azzalea bangkit setelah menyampaikan pesanan Nek Limah.

“Lea balik dulu ya, Mak Cik? Risau pulak tinggal Opah dekat rumah sorang-sorang,” bohong Azzalea.

“Tak nak minum dulu ke?”

Azzalea segera menggeleng. Setelah bersalaman dengan Mak Cik Ramlah, Azzalea segera meninggalkan rumah Nazhan. Tidak betah rasanya berlama-lama di situ. Air matanya mengalir laju sebaik sahaja basikal uzurnya dikayuh laju. Dia menangis semahu-mahunya apabila mengingatkan kata-kata Mak Cik Ramlah.

“Bakal isteri? Kenapa tak pernah cakap?!” jerit Azzalea sendirian.

Air mata semakin laju mengalir, membasahi pipi mulusnya. Tersedu-sedu dia di atas basikalnya. Air mata yang bertakung di kolam mata mengaburkan pandangan. Namun dia tidak peduli. Sampai hati Nazhan!


EMIR berdiri sambil bercekak pinggang.

“Maafkan kami, Tuan. Kami.. err..”

“Apa kami, kami? Mana tukang masak lain? Mana?” jerkah Emir.

Pelayan lelaki itu segera berlari masuk ke dapur sebelum memanggil tukang masak di cafe itu.

“Kenapa dia nak jumpa dengan aku?” soal tukang masak itu kehairanan. Terdengar juga dia bunyi bising-bising sewaktu di dapur tadi. Tidak pula disangka suara yang membingitkan telinga itu rupa-rupanya adalah milik anak pemilik BaySide Chalet.

Pelayan itu menjungkit bahu. Panas hatinya apabila ditengking-tengking begitu.

“Tuan.. ada apa-apa masalah ke?” sapa tukang masak itu sopan. Bimbang pula Emir semakin naik angin.
Emir yang sedang bercekak pinggang berdiri membelakangi mereka berdua. Dia kemudiannya berpaling apabila terdengar suara tukang masak itu.

“Awak tukang masak dekat sini, kan? Ada lagi yang lain?”

Tukang masak itu segera menggeleng.

“Yang lain cuma pembantu saya. Sayalah yang masak,” jawab tukang masak.

Anak mata Emir mencerun memandang ke anak mata si tukang masak yang bernama Megat itu.

“Kenapa rasa nasi lemak sambal sotong awak hari ni rasa lain macam?”

Megat memandang pelayan yang berdiri tegak di sebelahnya. Kemudian, mereka sama-sama menggelengkan kepala.

“Sama je, Tuan. Bahan-bahan sama, resepi sama. Dan jugak cara masak pun sama. Kami dah rasa. Memang sama je rasa nasi lemak sambal sotong tu, Tuan,” balas Megat yakin.

Emir mengerut dahi.

“Awak yakin? Kenapa hari tu..”

Emir tidak jadi meneruskan kata-kata.

“Tak apa, sambung kerja!” arahnya sebelum berlalu meninggalkan pekerja-pekerjanya terkulat-kulat.

Sekali lagi, Megat dan rakan sekerjanya berpandangan sebelum mengangkat bahu. 

Thursday, March 14, 2013

A Part Of Tapi Bukan Aku & Hadirnya Cinta Terindah

Assalamualaikum, selamat sejahtera.

Hey semua! DL nak share kan a part of TBA & HCT. Yelah.. a present for you guys. Ada yang suka HCT, ada yang suka TBA. So, DL combined kan dua dua cerita. Means, watak watak dalam TBA akan jadi cameos dalam HCT and begitu la sebaliknya.

Since 13 Mac yang lepas umur DL genap 22 tahun, tahun ni.. DL murah hati la nak share sikit apa yang jadi pada diorang semua. Beware! Ini entry sependek pendeknya. Haha. Happy reading, lovelies.


"TAPI BUKAN AKU yang menanti saat HADIRNYA CINTA TERINDAH."


TBA



“Sabarlah, Irfan. Pak Su kenal sangat dengan Nia tu. Nanti okeylah dia tu,” ujar Eizlan, demi mententeramkan hati Irfan yang sedang dilanda badai.

Irfan mengangguk perlahan. Dia tidak tahu bagaimana seluruh ahli keluarga Rania faham akan perasaannya terhadap Rania. Tetapi nampaknya mereka menyokongnya untuk terus mencintai Rania.

Buat beberapa saat, kawasan di sekitar ruang itu sunyi dan sepi. Masing-masing melayan perasaan sebelum seorang doktor lelaki yang segak dan memakai tanda nama Imran keluar daripada bilik kecemasan itu. Tangan kirinya menyeluk saku jubah putih yang dipakainya, manakala tangan kanannya memegang steteskop. Bibirnya mengukir senyum apabila melihat semua ahli keluarga pesakitnya bangun apabila terpandangkannya.

Melihatkan senyuman itu, pasti semuanya berjalan lancar, bisik Irfan dalam hati.

“Alhamdulillah. Tuan Haji Ihsan dah stabil. Saya dah buat check up. Saya tak tahu bila Tuan Haji akan sedar dari koma, tapi kita doakan supaya Tuan Haji sihat semula. Nanti, bila Tuan Haji dah sedar, harap jangan banyak sangat bercakap dengan dia. Biarkan dia berehat dulu. Dia perlukan masa untuk pulih. Jangan push sangat,” ujar Doktor Imran tersenyum.

Mereka masing-masing tersenyum lega mendengar kata-kata doktor kacak itu.

“Saya cuma sampaikan apa yang Doktor Chua mintak saya sampaikan. Jadi.. kalau ada apa-apa masalah, bolehlah cari Doktor Chua,” beritahu Doktor Imran.

Keluarga Tuan Haji Ihsan menganggukkan kepala.

“Doktor! Doktor! Cik Zara, Doktor! Cik Zara!”

Seorang jururawat lelaki berpakaian seragam biru berlari mendekati Doktor Imran dalam keadaan yang termengah-mengah. Sebahagian bajunya basah, seolah-olah terkena air.

“Relaks, relaks. Kenapa dengan Cik Zara?” soal Doktor Imran.

“Cik Zara.. dia.. dia dah tahu perkara sebenar! Dia mengamuk. Dia tak boleh terima hakikat, Doktor,” jelas jururawat itu lagi.

Wajah Doktor Imran jelas berubah. Wajahnya nampak panik apabila mendengar cerita daripada jururawat itu.

“Maafkan saya. Patient saya ada masalah. Sekejap lagi nurse akan pindahkan Tuan Haji Ihsan ke dalam wad biasa. Saya pergi dulu, ya,” ujar Doktor Imran. Kakinya dihayun laju, mengikut langkah jururawat itu. Jelas kelihatan kerisauan dalam riak wajahnya.


HCT

IMRAN duduk di kerusinya seperti biasa. Matanya masih tertancap pada kertas putih yang baru sahaja ditandanya. Ya, rekod kesihatan Zara. 

Melihat keadaan Zara yang hanya terlantar itu membuatkan hati Imran dijentik rasa hiba. Apa yang mampu dilakukannya adalah mencuba merawat Zara agar hidup gadis itu ceria seperti dulu. Dia tahu, dia tidak pernah melihat senyuman Zara, tetapi dia yakin bahawa hidup Zara tidak seperti kini yang asyik berendam air mata.

“Zara, perasaan Abang pada Zara takkan pernah mati,” ucap Imran sendirian.

“Im!” sergahan itu membuatkan Imran memanggung kepala. Berdiri di hadapannya wanita cantik yang sedang tersenyum. Imran juga turut tersenyum.

“Duduklah, Marian. Kenapa datang tak beritahu I?” soal Imran setelah mempelawa Marian duduk.

Marian menarik kerusi di hadapan Imran, lalu dia duduk menghadap Imran. Bibirnya masih mengukir senyum.

“I dah call you, nak ajak you lunch, tapi you tak jawab call I. Tak perasan lagi ke?” duga Marian.

Imran tersengih lalu menggeleng-gelengkan kepalanya. Buat masa dan ketika ini, hanya Zara Sofea sahaja yang berada di fikiran.

“Apa ni? Zara Sofea? Zara.. Sofea? Is this..? Oh my god, Im! She’s here?” soal Marian sambil tangannya mencapai helaian kertas putih di antara dia dan Imran.

Nur Zara Sofea binti Jamaluddin.  Ya, dia kenal benar dengan nama ini. Selalu sahaja nama ini menjadi sebutan acap kali Imran membuka mulut.  Setiap hari, pasti nama itu akan meluncur dari bibir Imran.

“She’s sick,” balas Imran perlahan. Bibirnya bergetar apabila meluahkan kata-kata itu.

“Sick? What do you mean?” soal Marian kehairanan. 

To be continued.. I'm on my way to finish these books. May you'll meet them dalam versi cetak. InsyaAllah.

Tuesday, March 5, 2013

Cinta 8 Tingkat 1


Finally! Siap jugak first chapter Cinta 8 Tingkat ni! Urghhh! HAHA. Anyway.. this is for you guys. Macam biasa.. for DL, intro DL biasanya tak funny neither funky. Sebab DL sengaja jadikan premiere as the pengenalan. Sorry if you guys tak suka ;( Also, DL tukar nama Dania Keisha to Keisha Hanna. Before anda semua scroll ke bawah untuk baca, read this synopsis dulu! :) 

Keisha Hanna.. hidupnya terasing, namun tidak pula dia mencari jalan keluar daripada keasingan itu. Dibiarkan dirinya terkurung di dalam sangkar emas ciptaannya sendiri. Saban hari, tugasnya sebagai seorang penulis serta pengarang langsung tidak membosankan. Adanya Izz Rayyan di depan mata membuatkan dia semakin bersemangat. Dia tidak pernah jemu memerhatikan lelaki itu.
Wan Muhammad Hazrill.. si jiran yang sering menggelarkan Keisha Hanna sebagai Rapunzel. Biarpun dia jarang mendapat balasan daripada Rapunzel, dia tetap ingin menjadi putera yang bakal menyelamatkan Rapunzel daripada menara yang memisahkan sang puteri dengan dunia luar. Wan Hazrill dan teman-teman serumahnya Ammar Firdaus, Aizul Adami dan juga Syahmi sentiasa mencuba untuk mewarnai kehidupan Keisha Hanna biarpun seringkali mereka tidak diendahkan. 
Kehadiran Faliq Izham, Harith Hakim dan juga Amirul Zaffuan benar-benar menggugat kedudukan Wan Hazrill serta teman-temannya. Apatah lagi apabila tiga sahabat itu tinggal di sebelah kiri rumah yang diduduki Keisha Hanna. Rasa cemburu apabila jiran baru itu sering sahaja mencuri perhatian Keisha Hanna membuatkan Wan Hazrill dan rakan-rakannya sering bertikam lidah dengan mereka bertiga. Dan Keisha Hanna pula yang tersepit di tengah-tengah.  
Ibarat teh dengan kopi, kedua-dua rumah itu sering membaling bom ke arah masing-masing demi satu harapan, mendapatkan sekotak krim yang bakal menyempurnakan rasa secawan teh dan kopi. Hanya seorang pemenang sahaja yang akan mendapatkan krim itu.. hanya seorang..


So, how? Please anticipate in this brand new story from me. Haha. Hope you'll like it! :) Enjoy your reading!


BAB 1

‘ADA kalanya kesepian yang mampu mengajar kita untuk lebih menghargai sesuatu. Namun, kesepian juga yang memisahkan seseorang itu dengan dunia. Tanpa mengetahui apa akhirnya, aku memilih untuk hidup dalam kesepian. Kesepian tidak mungkin mengkhianati seseorang.’ – K.

Komputer ribanya ditutup setelah luahan hatinya sudah disimpan di dalam folder rahsianya. Permukaan komputer riba itu digosok dengan jemarinya yang halus. Matanya melekat pada komputer riba yang sudah lama berkhidmat untuknya. Sejak zaman dia di universiti lagi dia sudah memiliki komputer itu. Itulah harta yang sangat disayanginya.

Keisha bangun dari duduknya sebelum meletakkan komputer ribanya ke meja. Dia berpeluk tubuh sambil berjalan mendekati beranda. Bola matanya bergerak-gerak, melihat ke arah langit biru yang dihiasi kepulan awan yang memutih.

Keisha Hanna.. hidupnya hanya di dalam sebuah apartment itu sahaja. Tiada rakan untuk diajak berbual, tiada keluarga menjadi tempat mengadu mahupun tempat meluahkan perasaan. Dia hidup sendiri di dunia ini. Dia lebih selesa begitu. Rasanya hidup terasing begini lebih selamat dan yang paling penting, dia tidak mengganggu sesiapa pun. Hidupnya adalah untuk dirinya.

Keisha bergerak ke belakang sedikit apabila terasa kakinya seolah-olah digeletek sesuatu. Dia tersenyum apabila Snowball kesayangan sedang menggesel-gesel tubuhnya ke kaki Keisha. Keisha membongkok sebelum mengangkat Snowball ke dalam dakapannya.

“Snow lapar ke?” soalnya apabila kucingnya itu mula mengiau.

Keisha ketawa kecil apabila Snowball menghidu-hidu baju yang dipakainya. Segera dia berjalan masuk ke dalam rumah dan meletakkan Snowball ke lantai. Kemudian, makanan Snowball dituang ke dalam bekas makanan Snowball. Sempat bulu gebu Snowball diusap perlahan.

“Makan banyak-banyak, tahu?”

Keisha kembali ke beranda. Anak matanya berhenti pada sesusuk tubuh yang berada di apartment bertentangan dengan miliknya. Lelaki itu sentiasa kemas dengan kemeja yang dilipat sehingga ke paras siku. Itulah satu-satunya manusia yang dia ingin kenali, Izz Rayyan. Namun dia sedar, impiannya itu tidak ubah seperti pungguk rindukan bulan. Dia tidak akan mampu mendekati Izz Rayyan tidak kira betapa dia ingin mengenali lelaki itu.

Dua tahun. Dua tahun adalah tempoh yang lama bagi Keisha. Dua tahun itu adalah tempoh dia sudah mengenali Izz Rayyan. Selepas terpandangkan Izz Rayyan yang tinggal berhadapan dengan rumahnya, Keisha sudah jatuh hati. Tanpa diduga, Izz adalah doktor haiwan tempat dia selalu menghantar Snowball untuk mendapatkan vaccination. Dan sejak itu, dia sering memerhatikan Izz Rayyan. Tetapi dia tahu Izz Rayyan langsung tidak mengenalinya. Walaupun begitu, bagi Keisha, ini semua merupakan satu kebetulan yang sungguh indah.

Bunyi deringan telefon bimbitnya mematikan lamunan Keisha. Dia masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan telefonnya. Memandangkan Izz Rayyan sudah keluar ke beranda, Keisha berdiri di tepi tingkap sambil mencuri-curi pandang ke arah Izz Rayyan. Dia memerhatikan Izz Rayyan dari sebalik langsir.

“Waalaikumussalam. Ya, Nek.”

“Keisha dah lama tak datang rumah Nenek. Keisha tak sihat ke?” soal seseorang di hujung talian.

Keisha menggaru kepala. Alasan apa lagi yang ingin diberi kepada Dato’ Maryam? Sudah banyak kali dia menolak untuk berjumpa dengan keluarga Dato’ Maryam. Tumpuan Keisha masih lagi terarah pada Izz Rayyan yang sedang berdiri bercekak pinggang. Kacaknya dia.

“Keisha sihat, Nek. Cuma.. Keisha busy. Err.. Keisha kena siapkan buku Keisha dulu, Nek. Company dah tanya dah tu. Sebab dah lama Keisha tak publish apa-apa buku,” balas Keisha, cuba menghindar daripada keluar rumah. Sebenarnya memang benar syarikat penerbitannya sudah bertanya akan karya terbarunya.

“Oh.. Nenek ingat ada apa-apa jadi pada Keisha tadi. Kalau Keisha ada masa, datanglah ke rumah Nenek. Dah lama sangat Keisha tak datang sini. Auntie Lina, Auntie Ima, Sufyan, Uncle Norman semua tanyakan Keisha. Kalau Keisha tak datang sini lepas buku Keisha siap, Nenek yang datang sana,” ujar Dato’ Maryam.

Keisha menggaru-garu kepalanya.

“Okey, Nek. Kalau Keisha dah siapkan buku tu, Keisha janji Keisha datang sana,” putus Keisha.

“Keisha jaga diri baik-baik. Kalau ada apa-apa, cepat-cepat call Nenek, ya?”

“Baik, Nek,” balas Keisha.

Talian sudah dimatikan. Itulah Dato’ Mariam. Seseorang yang sudah menganggapnya sebagai cucu sendiri biarpun tiada talian darah di antara mereka. Budi baik Dato’ Mariam sungguh dia tidak akan lupakan sepanjang hayatnya.

Keisha keluar ke beranda apabila menyedari Izz Rayyan sudah tiada. Keluhan dilepaskan apabila menyedari Izz Rayyan sudah kembali ke klinik. Ya, lampu rumahnya akan dipadamkan setiap kali dia tiada di rumah. Keisha kembali merenung langit. Alangkah indahnya cuaca hari ini, getusnya sendirian.


IZZ RAYYAN menolak daun pintu apabila menyedari dia terlupa membawa kunci keretanya. Salahnya juga apabila meninggalkan kunci itu di atas mejanya tadi. Setelah mendapatkan kuncinya, Izz Rayyan segera berpaling.

Baru sahaja beberapa langkah diatur, dia menoleh. Anak matanya menyorot bayangan seorang gadis yang sedang berdiri di beranda, di sebuah rumah yang betul-betul menghadap rumahnya.

Gadis itu sibuk dengan pokok-pokok bunganya. Daun-daun pokok ditilik sebelum air disiram ke permukaan tanah dalam pasu.

Izz Rayyan tersenyum sendiri. Tidak disangka ada juga sekuntum bunga yang mekar berdekatan dengan rumahnya. Tanpa disedari, dia kaku di hadapan kaca tingkap rumahnya.


KEISHA masuk ke dalam rumah sebelum duduk kembali di meja kerjanya. Hidupnya adalah untuk kerja, kerja dan kerja. Workaholic? Mungkin juga. Dia lebih senang begitu. Dengan hanya duduk di rumah dan menaip, itu sudah lebih daripada memadai bagi Keisha. Dia tidak suka berada di luar rumah. Duduk di dalam rumahnya sekarang ini lebih seronok baginya. Dia tidak perlu memikirkan apa-apa mahupun sesiapa.

Tiga helai kertas diambil dari printer. Jurnal yang baru sahaja disiapkannya. Maldives. Sebuah pulau yang terletak di Lautan Hindi. Pulau yang dia langsung tidak pernah sampai, namun dia mampu menyiapkan jurnal berkaitan dengan pulau itu. Tempat-tempat untuk dikunjungi ketika berada di sana juga turut disertakan. Dek kerana keinginannya yang ingin melancong terlalu kuat, dia mengambil tahu akan tempat tempat yang ingin dikunjunginya. Namun, apartment yang didudukinya sekarang ini seolah-olah penjara yang menjarakkan dia dengan dunia luar. Penjara yang diciptanya sendiri.

Andai saja suatu hari nanti dia mampu menyentuh sendiri pasir pantai di pulau itu mahupun merasai oksigen di situ. Keisha tersenyum. Mana mungkin dia akan sampai ke sana. Dirinya ibarat burung yang terkurung di dalam sangkar. Tidak tahu ke mana dia harus terbang, mencari jalan keluar daripada sangkar itu.

Jurnal tentang Pulau Maldives itu dimasukkan ke dalam sampul surat bersaiz A3. Sebatang pen dicapai. Setelah dia selesai menulis alamat sampul surat itu untuk dihantar, dia bersiap-siap ingin ke pejabat pos.

Keisha bukan sahaja penulis novel, malah dia juga seorang editor dan turut menulis artikel-artikel untuk media cetak tempatan. Sekiranya dia hanya menulis novel tanpa melakukan kerja-kerja lain, bagaimana dia ingin meneruskan hidup? Jadi, dia memilih untuk menerima tawaran menjadi pengarang oleh syarikat-syarikat penerbitan. Maka, bayaran yang diterimanya saban bulan lebih daripada cukup untuk menampung perbelanjaan bulanannya.

Keisha mencapai sampul surat sebelum megambil kunci rumahnya.