AUTHOR'S WORDS

Assalamualaikum wbt. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Note - These stories are not related to anybody. Kalau ada yang sama, tak disengajakan. Hohoho. 100 percent from my thoughts, my imagination. Copy right reserve goes to me. :) Nama dan watak, fictions. I got the photos from Google before I'm using it as my novels' cover. Thank you and credits to the owners of the pictures. :)

21, a daughter, a little sister. And I have a big dream :')

Selamat membaca~ ;)

Sunday, July 15, 2012

Tapi Bukan Aku 13


IRFAN memarkirkan keretanya di antara sebuah Toyota Frontier Hitam dan Mazda Forte putih dalam kawasan banglo dua tingkat itu. Kelihatan Datin Azyan dan Tengku Azhar berjalan menuju ke pintu utama, menyambut anak sulung mereka. Senyuman mereka berdua mekar menerima kedatangan Irfan. Dengan hati yang berat, Irfan melangkah keluar daripada BMW 352i Coupenya lalu bersalaman dengan Tengku Azhar dan Datin Azyan.

“Irfan, balik juga Irfan ya. Rindunya Mama pada Irfan.”

Usai sahaja berkata-kata, tubuh anaknya itu dirangkul erat. Irfan sedikit terkejut, namun hanya membiarkan sahaja perlakuan ibunya itu.

“Maafkan Mama ya, Irfan. Mama bersalah pada Irfan,” ujar ibunya dengan linangan air mata.

“Tak apa, Mama. Benda dah lepas,” balas Irfan bersahaja.

Gembira bukan kepalang Datin Azyan apabila Irfan memanggilnya ‘Mama’. Sungguh dia gembira dan bahagia saat ini. Tidak mengapa jika Irfan tidak memaafkannya, asalkan Irfan sudi pulang ke rumah, itu sudah cukup buatnya. Lambat-laun, pasti anaknya itu akan memaafkannya.

“Sudahlah, Yan. Mari kita masuk.”

Tengku Azhar masuk ke dalam rumah, mendahului mereka berdua. Irfan hanya mengikut langkah ibu bapanya masuk ke dalam rumah, dan bergerak ke ruang makan. Nasi dan lauk-pauk sudah tersedia dihidang.

“Mama tak tahu apa yang Irfan suka makan. Jadi, Mama masak ini aja,” kata Datin Azyan, apabila mereka bertiga sudah duduk mengambil tempat di meja makan itu.

“Tak apalah, Ma. Irfan suka makan masakan ni,” balas Irfan. Bukannya dia berbohong, tetapi memang itu adalah makanan kegemarannya.

“Ini makanan kegemaran Papa dan Mama. Tak sangka Irfan pun suka.”

Senyuman gembira menghiasi bibir Datin Azyan. Nasi disendukkan ke dalam pinggan, lalu dihulurkan kepada suaminya dan Irfan.

“Makanlah banyak sikit,” kata Tengku Azhar sambil menyudu ayam masak merah ke pinggan Irfan.

Irfan tersenyum tawar. Dikerlingnya ke kerusi yang kosong.

“Fariz mana? Dia tak makan sekali ke?” soal Irfan. Sudah bertahun lama dia tidak melihat wajah adik yang membenci dirinya. Kali terakhir dia bertemu dengan Fariz, tujuh tahun yang lalu. Semasa Fariz di tingkatan lima. Itupun bertemu secara tak sengaja.

Tengku Azhar dan Datin Azyan berpandangan sesama sendiri. Irfan masih mengambil berat akan Fariz, tetapi Fariz?

“Tak agaknya. Adalah dalam biliknya tu,” balas Datin Azyan.

“Dia tak nak makan sebab Irfan ada dekat sini ke?” tanya Irfan.

Sebenarnya dia hairan. Dalam tempoh dia bekerja di Home & Shopping Corporation, tidak pernah sekalipun dia melihat Fariz datang ke pejabat. Langsung tidak pernah.

“Bukan. Irfan janganlah cakap macam tu. Memang itu perangai dia. Dah, Irfan makanlah,” Datin Azyan lekas-lekas menanggapi andaian Irfan. Bimbang anaknya itu kecil hati.

Irfan meneruskan suapan tanpa memikirkan Fariz. Memang dia dibenci Fariz, namun baginya, dia masih abang kepada Fariz. Jika benar Fariz akan terus membencinya, biarlah. Dia tidak mahu ambil tahu akan hal itu.


“IRFAN, boleh Papa bercakap dengan Irfan?”

Suara Tengku Azhar mematikan lamunan Irfan. Sebenarnya dari tadi dia duduk di ruang tamu, termenung. Langsung tidak dipedulinya akan rancangan yang dimainkan di kaca televisyen. Kalau balik lepas makan tadi, nampak sangatlah dia tidak suka pulang ke rumah.

“Irfan tak ada hak untuk kata tak boleh,” balas Irfan tenang.

Tengku Azhar memandang wajah anak terunanya itu. Nampak tenang sahaja. Tidak disangka Irfan membesar menjadi jejaka kacak seperti sekarang. Akhirnya, Tengku Azhar duduk bertentangan dengan Irfan setelah Irfan membalas pandangannya.

“Sebenarnya, bukannya fasal Irfan atau syarikat. Tapi fasal Fariz,” Tengku Azhar memulakan cerita.

“Kenapa dengan Fariz?” tanya Irfan, seakan-akan berminat dengan cerita yang bakal disampaikan oleh Tengku Azhar.

“Sebenarnya, Irfan.. Fariz dah tak pedulikan Papa dan Mama.”

Irfan mengangguk. Kini barulah dia faham mengapa Tengku Azhar beria-ia mengajaknya pulang ke rumah dan bekerja di syarikat.

“Tapi Irfan janganlah salah faham. Papa tak minta Irfan balik sebab Fariz. Tapi sebab Papa rasa bersalah pada Irfan. Mama pun macam tu juga. Biarlah Irfan rasa hidup yang lebih baik,” jelas Tengku Azhar, bagaikan dapat menangkap tanggapan Irfan terhadapnya.

“Kalau betul macam tu pun tak apa. Irfan dah biasa dipergunakan,” jawab Irfan. Entah mengapa dia sanggup menuturkan kata-kata yang pedas itu, dia sendiri tidak tahu.

Tengku Azhar menghela nafas panjang. Langsung tidak terasa hati dengan kata-kata Irfan. Cuma, dia sedih. Kerana dia, hidup Irfan begitu sukar.

“Kenapa dengan Fariz?” tanya Irfan, cuba mengubah hala topik perbincangan ke arah yang sebenarnya.

“Hidupnya terlalu sosial, Irfan. Papa dan Mama langsung dia tak hormat. Keluar pagi, balik pun pagi. Balik rumah, mabuk pulak tu. Rumah ni dah macam hotel dibuatnya. Pantang ditegur, mulalah melenting. Mama yang sayangkan dia dari kecil pun dia sanggup lawan, apa lagi Papa? Dia tak mahu bekerja. Entahlah, Irfan. Sekarang Papa cuma harapkan Irfan aja untuk bawa syarikat kita ke depan. Satu hari nanti, Irfan juga yang akan ganti tempat Papa.”

Irfan terdiam. Begitu sekali keadaan Papa dan Mama? Sampai hati Fariz melakukan itu semua terhadap ibu bapa mereka?

“Oh, ada kau! Anak pungut,” suara itu membuatkan Irfan dan Tengku Azhar berpaling, mencari pemilik suara itu.

Fariz yang berseluar pendek paras lutut dan t-shirt pagoda berjalan ke arah bapa dan abangnya. Tengku Azhar dan Irfan hanya diam, memerhatikan gerak-geri Fariz yang seterusnya. Fariz dudul di sebuah kerusi yang masih kosong.

“Kau buat apa dekat rumah aku ni?” tanya Fariz kasar.

Irfan tersenyum sinis.

“Fariz, ini rumah Irfan juga, bukan rumah Fariz seorang,” sampuk Tengku Azhar.

“Papa diam, boleh tak? Riz tengah cakap dengan anak pungut ni. Apa yang dia buat dekat rumah kita?”

“Berani betul kau cakap macam tu dengan ayah kau sendiri, kan?” sindir Irfan.

“Kau sibuk kenapa? Suka hati akulah. Aku tanya engkau, apa kau buat dekat rumah aku? Pekak?”

Tengku Azhar sudah hilang sabar. Tapak tangannya mendarat di pipi anak bongsunya itu. Fariz mengesat darah yang keluar dari bibirnya dengan tapak tangan. Kini gilirannya pula tersenyum sinis.

“Papa sokong anak tak guna ni kenapa? Papa tahu, dia ni memang tak guna! Kenapa kau balik ke sini?” suara Fariz mendatar sahaja, sengaja ingin menaikkan darah Irfan dan Tengku Azhar yang mendengar.

“Aku ke kau yang tak guna sekarang ni? Ada hati nak bandingkan diri kau dengan aku. Cerminlah sikit diri tu,” Irfan memulangkan paku buah keras kepada Fariz.

Fariz yang berasa tercabar dengan kata-kata Irfan mencekak kolar baju Irfan.

“Ya Allah. Apa semua ni? Lepaskan abang kamu, Riz!”

Entah dari mana, Datin Azyan datang menerpa. Cuba menghalang anak-anaknya daripada bergaduh.

“Mama jangan masuk campur! Ini urusan Riz dengan si tak guna ni!” tangan Datin Azyan yang memegang lengannya ditepis kasar. Hampir terduduk Datin Azyan akibat terkena tolakan yang kuat. Mujurlah Tengku Azhar ada di belakang, membantu isterinya.

“Tak usahlah bergaduh lagi. Sudahlah,” ujar Tengku Azhar, cuba meleraikan pertelingkahan di antara Irfan dan Fariz.

“Tak apa, Pa. Papa dan Mama jangan risau,” balas Irfan tenang. Langsung tidak dihiraukan Fariz yang sedang mencekak kolar bajunya.

Datin Azyan sudah pun teresak-esak di kerusi apabila melihat pertelingkahan anak-anaknya. Tengku Azhar pula cuba menenangkan isterinya, bimbang isterinya itu akan jatuh sakit apabila terlalu memikirkan perihal anak-anak mereka.

“Apa kau cakap tadi? Kau suruh aku cermin diri? Kau sedarlah sikit. Aku ni belajar dekat overseas. Kau? Apa yang kau ada. Hidup merempat, belajar tunggang-langgang, ada hati nak sound aku? Alih-alih balik ke syarikat bapak aku, nak menghabiskan duit bapak aku,” lancang mulut Fariz berkata demikian.

Irfan masih lagi tersenyum sinis. Sengaja dia ingin menaikkan darah Fariz yang memang sudah menggelegak.

“Oh, kau belajar dekat overseas. Kau jangan ingat aku tak tahulah kau buat apa dekat belakang Papa dan Mama. Mana sijil yang kau bangga-banggakan tu? Kau lulus? Atau kau habiskan duit Mama dan Papa aja? Jangan cuba bandingkan diri kau dengan aku. Aku hidup merempat, tunggang-langgang, pernah ke aku mintak apa-apa daripada Mama dan Papa? Tak pernah, kan? Bukan macam kau! Anak tak sedar diuntung. Mabuk, keluar masuk hotel dengan perempuan! Aku tak ada dalam rumah ni pun, aku masih tahu apa yang jadi. Kau, kau tak layak nak hina aku. Sebab taraf kau dan aku berbeza. Aku masih hormatkan Papa dan Mama walaupun mereka tak besarkan aku! Tapi kau.. kau anak derhaka! Kurang ajar! Kalau sekali lagi aku nampak kau naikkan suara dekat Papa dan Mama, nahas kau aku kerjakan!”

Tubuh Fariz ditolak kasar, hingga dia jatuh terduduk di lantai. Fariz menggenggam penumbuk, lalu dia bangkit. Penumbuknya dilayangkan ke pipi Irfan. Tepat mengenai pipi kiri Irfan. Irfan yang tadinya masih tenang, berubah sedikit mukanya apabila ditumbuk oleh Fariz. Kali ini, gilirannya pula menumbuk Fariz. Dua tumbukan hinggap di tubuh Fariz. Di pipi dan perut. Bibir di bahagian kanan pecah apabila terkena tumbukan yang begitu kuat itu.

“Jangan cuba lawan aku! Jangan kau berani,” ugut Irfan sebelum mencapai kunci keretanya dan berlalu ke pintu utama.

Fariz masih berada di lantai. Pipinya terasa kebas. Siaplah kau. Hari ni hari kau. Tapi jagalah kau nanti!

Irfan meloloskan diri masuk ke dalam kereta lalu enjin keretanya dihidupkan. Kereta itu mula bergerak dan meninggalkan kawasan rumah Tengku Azhar. Irfan memandang cermin pandang belakang, meneliti pipinya yang juga terasa kebas. Esok, mungkin lebam akan timbul. Bibirnya berkali-kali melafazkan kalimah istighfar.

Sengaja Irfan keluar dengan segera, bimbang Fariz akan mati dikerjakan. Kemarahannya sudah sampai ke puncak apabila melihat Fariz dengan selamba mengherdik ibu dan bapa mereka. Tak apa, Fariz. Aku tunggu balasan kau. Jangan ingat aku tak tahu kau akan terus simpan dendam tu. Mungkin sekarang, dendam kau dah semakin membara, bisik Irfan dalam hati.


RANIA baru saja selesai mandi. Sebentar lagi, selepas makan malam, dia akan kembali ke rumah sewanya. Maklumlah, esok hari bekerja. Rania duduk di katilnya. Entah mengapa, dia tiba tiba teringatkan Danny.

“Nia, I ada sesuatu nak cakapkan dengan you,” ujar Danny, ingin memulakan perbualan. Ketika itu, mereka sedang duduk di halaman rumah Rania. Seperti biasa, Danny akan menjadi tutor Rania pada waktu petang. Danny baru sahaja pulang daripada melanjutkan pelajaran di University of Cambridge.

“Apa dia?” tanya Rania yang sedang sibuk menjawab soalan-soalan yang diberikan oleh pensyarahnya. Butang-butang kalkulator ditekan, demi mendapatkan jawapan yang betul.

I sukakan you.”

Pen di tangan Rania terlepas dari pegangan. Danny sukakan aku? Ini bagaikan sebuah mimpi indah buat Rania. Dia berharap agar ini realiti, bukannya mimpi.

“Mesti you terkejut, kan? Actually, lepas you dengan family you datang ke rumah I di England tiga tahun dulu, I tak ada rasa apa-apa. Tapi, lepas dua minggu you balik semula ke sini, I rasa hidup I kosong. I rindukan you. And when you asked me to be your tutor, I felt really happy. Maybe this is the only way I dapat rapat dengan you. Yelah, masa kita kecil-kecil dulu, kita rapat. Tapi bila I dah masuk form five, hubungan kita dah tak rapat macam dulu. That’s why I setuju jadi tutor you.”

Rania hanya diam. Wajah Danny yang putih kemerahan itu ditatap lama. Penuh rasa bahagia.

No, Nia. Its’s okay kalau you tak boleh berikan your heart to me. I masih boleh berkawan dengan you, kan? Maybe you should forget what that I’m telling you just now. I rasa lega sikit lepas beritahu you,” ujar Danny, tanpa perlu menunggu jawapan Rania.

Rania mengesat air mata yang sudah pun mengalir di pipi dengan tapak tangan. Kenangan itu sungguh indah. Indah sekali. Kenangan yang tidak mungkin boleh dijual beli. Jejaka yang sudah mencuri hatinya sejak kecil lagi sudah menyuarakan perasaannya yang sebenar. Itu, tiga tahun lalu.

Tiga tahun sudah cukup buat Rania menulis kisah cintanya dengan penuh rasa syukur. Tiga tahun itu juga telah mengajar Rania untuk menjadi seorang yang matang, biarpun adakalanya dia ingin menjadi seperti kanak-kanak. Dan tiga tahun itu jugalah yang mengukuhkan cinta dan kepercayaannya buat Danny. Tetapi, hanya sekelip mata sahaja yang diperlukan untuk meruntuhkan segalanya.

Rania akur. Jika inilah takdir untuknya, dia redha. Tetapi, jika Danny adalah Adamnya yang telah tertulis di Luh Mahfuz, dia akan menerima Danny kembali. Tetapi, biarlah masa yang menentukan segalanya. Biar masa yang memadamkan kecurangan Danny. Dan biar masa juga yang membuatkan dia lupa akan kepedihan hati yang ditanggungnya.

“Nia..”

Rania berpaling ke arah pintu biliknya. Kelihatan Zarina sedang berdiri memandang ke arahnya.

“Masuklah, Mak Su,” pelawa Rania dalam senyuman.

“Nia buat apa ni? Menung? Kak Alin dengan Kak Tiqah dah masak dekat dapur tu. Jom,” panggil Zarina yang masih berada di muka pintu.

Rania bangun lalu memimpin lengan Zarina. Bimbang akan terjadi apa-apa pada Zarina. Zarina hanya tersenyum melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh ahli keluarganya. Dia semakin bahagia dengan hidupnya kini.

No comments: