RANIA INSYIRAH
berjalan menuruni anak tangga, menuju ke stokis Harvey Norman yang berada di lower ground floor. Pagi tadi dia sudah bersusah-payah mengemas
bilik abangnya, Ameer. Ameer akan pulang ke Malaysia esok. Sudah tiga tahun Ameer
tinggal di Amsterdam buat empat tahun sebelum pulang bekerja dengan datuk
mereka.
Langkah kakinya dihalakan ke pintu utama stokis itu. Usai sahaja
mengemas apa yang patut, Rania teringat akan speaker di dalam biliknya yang sudah rosak. Sudah lama dia ingin
mencari speaker itu, namun dia tidak mempunyai masa memandangkan dia sibuk
dengan urusan syarikat datuknya, Tuan Haji Ihsan. Selepas kepulangan abangnya,
mungkin bebanan yang dirasakan oleh datuknya pasti akan berkurangan. Rania
tersenyum senang.
Baru sahaja ingin melangkah ke arah tempat
yang mempamerkan pelbagai jenis speaker, kakinya terlanggarkan kotak-kotak yang
tersusun rapi. Cepat-cepat Rania mengimbangi tubuhnya. Kalau tidak, sudah tentu
dia dijadikan bahan ketawa. Jatuh tersungkur di hadapan pelanggan-pelanggan
lain. Kalau benar itu terjadi, di manalah dia mahu menyorakkan muka nanti? Menyedarkan
kotak-kotak radio itu sudah bersepah di lantai, Rania membongkok, cuba
mengemaskan kembali kotak-kotak itu.
“Tepilah!”
jerit seorang lelaki dari belakang.
Rania
lekas-lekas berdiri tegak, terkejut dengan sergahan itu.
“Maafkan
saya, Encik. Saya tak sengaja,” pohon Rania.
Kelihatan
jejaka itu mengenakan sehelai kemeja berwarna putih dan hijau berlengan pendek.
Pekerja di situ barangkali. Wajahnya nampak garang. Rambutnya yang panjang
tidak melepasi bahu diikat di bahagian belakang. Bang di bahagian depan rambutnya disikat kemas. Rania menelan air
liur sebaik sahaja matanya berlaga dengan pandangan seperti singa lapar itu.
“Kau
kenapa, Samad?” tanya seseorang. Mungkin juga salah seorang pekerja di situ. Tetapi,
lelaki berkaca mata ini mengenakan sepasang jaket kulit di bahagian luar
uniform pekerja.
Samad?
Rania tersengih.
“Ada
orang berjalan tak pakai mata,” balas ‘Samad’ sambil tangannya ligat menyusun
kotak-kotak itu ke tempat asalnya.
Rakannya
itu tergelak.
“Yang
kau garang sangat tu, kenapa? Semua yang dekat sini customer kita. Kenalah
layan baik-baik. Sabar,” nasihat rakannya.
“Aku
bukan apa, Sameon. Aku letih sebenarnya. Hari ni je dah tiga kali aku susun
tempat yang sama. Hisyy! Geram aku,” marah Samad. “Lagi payah kalau ada
customer yang macam ni. Kalau rosak, nak ganti?” marahnya pada Rania.
“Encik..
kan saya dah mintak maaf?” Rania pula bersuara. Geram apabila digertak-gertak
oleh Samad.
“Ingat
cukup ke minta maaf? Eee..” Samad sudah berdiri, menggenggam penumbuk. Nasib
baik perempuan. Kalau tak, dah lama aku debik.
“Eh,
eh! Gila ke apa? Takkan nak pukul perempuan? Bawak bersabar, Samad,” ujar Sameon
pula, cuba menenangkan sahabat baiknya itu.
“Apa
hal ni, budak berdua?” tegur satu suara.
Seorang
lelaki berkemeja lengan panjang datang menghampiri mereka bertiga. Tangannya
dimasukkan ke dalam saku seluar. Mungkin berpangkat lebih tinggi daripada mereka
berdua.
“Tak
ada hal, bro. Kotak-kotak radio jatuh je,” jawab Samad tanpa memandang ke arah
lelaki tersebut.
“Itulah,
lain kali hati-hati. Jenuh aku nak menjawab dengan Si Misai. Tak pasal-pasal
kita bertiga kiok.”
Lelaki
itu membantu Samad dan Sameon mengemas kotak-kotak itu kembali.
“Yes, Miss. What can I help you?” tanya
lelaki yang memakai tanda nama Azli itu setelah mereka selesai meletakkan
kotak-kotak radio di tempat yang sepatutnya.
“Oh..
saya nak cari speaker. Home theatre,”
balas Rania setelah beberapa ketika.
“Jom ikut saya,” ajak Azli ramah.
Sebelum
melangkah pergi, sempatlah Rania menghulurkan sekeping kad kepada Samad, namun
tidak bersambut.
“Nak buat apa dengan kad kau ni?” tanya Samad dengan nada sombong.
“Tadi
awak cakap, kalau rosak, awak nak
saya bayar balik harga radio-radio ni
semua, kan? So, kalau ada yang rosak, call
saya.”
Sekeping
kad berwarna putih diletakkan ke atas salah satu kotak memandangkan Samad dan
Sameon langsung tidak menghiraukannya.
Rania
melangkah pergi, meninggalkan dua orang manusia yang mungkin berasal dari
planet Pluto. Sebenarnya, bukan mereka berdua. Cuma seorang sahaja. Siapa lagi
kalau bukan si Samad?
“IRFAN!
Sini!” panggil Azli pada Irfan. Dia sudah pun memilih tempat duduk dengan
Shamer di kawasan food court itu.
Seperti
biasa, tiga sekawan ini pasti akan makan bersama. Sudahlah tinggal bersama,
kerja bersama, dan segala yang dilakukan pasti akan dibuat bersama. Usia
perkenalan mereka baru sahaja mencecah tiga tahun, namun lagaknya seperti sudah
kenal selama tiga belas tahun.
Tadi
Irfan ke tandas dan dia sudah memesan kepada mereka berdua untuk membelikan
nasi goreng tom yam kegemarannya. Irfan berjalan ke arah Azli dan Shamer. Dia mengambil
tempat duduk di sebelah Shamer.
Irfan
duduk dan mula makan perlahan-lahan. Lapar benar dirasakan memandangkan dia
tidak makan apa-apa sejak pagi lagi.
“Eh,
tadi boss panggil kau, dia nak apa?”
tanya Shamer pada Azli. Teh ais disedut dengan straw.
“Tak
ada apa-apalah. Dia suruh aku tanya Irfan, ada masalah ke? Sebab lately Irfan nampak penat, selalu
marah-marah katanya,” jawab Azli.
Shamer
mengangguk.
“Aku
okey je. Just kadang-kadang aku rasa macam banyak benda nak kena buat. Tak
tahulah apa dia,” jawab Irfan jujur. Sesak dadanya memikirkan masalah yang
silih berganti.
“Ye
ke okey? Aku tak rasa kau okey. Kau dengar sini. Aku tak tahu sangat nak bagi
nasihat dekat orang. Hidup aku pun tunggang-langgang. Tapi kau kena ingat, keluarga
tu segalanya untuk kita. Sabar. Allah takkan bagi ujian pada manusia yang tak
mampu nak going through dengan dugaan yang bakal dihadapinya,” nasihat Shamer.
Ahmad
Shamer bin Abdul Halim. Dia yang lebih senang digelar Sameon adalah seorang
lelaki yang baik hati dan dilahirkan dalam keluarga sederhana. Disebabkan
sifatnya yang suka menasihati, dia menjadi tempat mengadu rakan-rakannya. Dia
tidaklah berkopiah mahupun bersongkok, tetapi cukuplah sekadar menjadi pengingat
mereka untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim yang sempurna. Shamer
pernah menyambung pelajaran sehingga ke peringkat ijazah dalam bidang business
management di Universiti Teknologi MARA. Atas sebab tidak mahu menjadi
penganggur, Shamer lebih rela menjadi seorang pekerja biasa demi membantu
keluarganya. Di antara mereka, dialah yang paling kelakar. Sikapnya yang ada
kala lurus bendul itulah yang membuatkan Irfan dan Azli tidak kering gusi
apabila mereka berkumpul.
Azharul
Azli bin Aman. Ya, itulah nama pengurus mereka yang merangkap kawan baik
mereka. Dia lebih gemar dikenali dengan nama Azli. Azli merupakan anak yatim
piatu dan umurnya baru shaja mencecah dua puluh enam tahun. Dia pula memiliki
ijazah dalam perakaunan. Azlilah yang paling cool di antara mereka semua.
Samad
pula? Nama penuhnya Tengku Hariz Irfan bin Tengku Azhar. Sebenarnya, Samad
adalah gelaran rakan-rakan sekerja buat Irfan kerana dia suka memanggil orang
lain dengan nama Samad. Akhirnya, dia sendiri yang dapat nama Samad. Mereka
bertiga masing-masing berusia dua puluh enam tahun. Irfan baru sahaja
menamatkan pengajian dalam bidang Business Administration di peringkat Master.
Sejak kecil, dia sudah hidup sendirian tanpa bantuan sesiapa. Dan itulah yang
menjadikan dia seorang lelaki yang kental dan berdikari. Segalanya dirahsiakan
dari pengetahuan semua orang, termasuklah Azli dan Shamer. Rahsia yang rasanya
tidak perlu diceritakan. Dia memang malas membuka mulut tentang keluarganya.
Bagi Irfan, dia tidak lagi punya keluarga.
“Aku
tahu. Tapi, aku still belum boleh
terima semua ni,” jawab Irfan lemah
setelah nasi di pinggannya sudah habis dimakan.
“Kau
kena terima suratan takdir, Irfan. Allah SWT Maha Agung. Mungkin kau yang kena
bawak family kau ke jalan yang betul. Aku bukan nak paksa kau buat benda yang
kau tak suka. Tapi, aku yakin kau dah
cukup matang nak hadapi dugaan macam ni,” tokok Azli, cuba memberi galakan pada
sahabatnya itu.
Sejak
akhir-akhir ini, Irfan sudah banyak berubah. Dahulu, dia seorang lelaki yang
penyabar dan banyak membantu orang lain. Tetapi kini, semuanya sudah berubah.
Seolah-olah Irfan yang dahulunya sudah menghilangkan diri dan digantikan dengan
Irfan baru yang pendiam dan cepat naik angin. Salah sedikit sahaja, pasti orang
itu ditengking dengan kuat tanpa memikirkan perasaan mereka.
Irfan
menarik nafas panjang.
“Entahlah.
Berjuta kali aku try cari mana
silapnya dengan diri aku yang sekarang ni. Tapi semua sia-sia,” balas Irfan,
cuba berterus-terang.
Azli
dan Shamer berpandangan sesama sendiri. Ada riak kecewa dalam nada suara
sahabat mereka itu.
“Sebenarnya,
aku pelik dengan kau. Kenapa kau tinggalkan rumah without any reason? Kalau kau jadi aku pun, mesti kau pelik. Yelah,
anak orang kaya macam kau ni kerja biasa-biasa je. Pada hal family kau ada syarikat sendiri. Kau
boleh kerja dengan family kau je,” Shamer pula bersuara. Cuba mengorek
sesuatu dari dalam diri Irfan.
Irfan
memandang rakan-rakannya silih berganti. Kalaulah korang berdua tahu macam mana
pedihnya hidup aku, mesti korang takkan percaya, bisik Irfan dalam hati.
Seketika kemudian, dia mengangkat bahu.
Azli
menggeleng perlahan. Peristiwa beberapa hari lepas kembali mengganggu
pancainderanya.
“Kenapa
Irfan perlu patuh dengan cakap Papa?” bentak Irfan geram. Tin yang masih berisi
minuman 100 Plus itu digenggam sedikit kuat. Wajahnya merah padam, menahan
marah yang mula meresap ke seluruh pelusuk jiwanya.
“Sebab
Irfan anak Papa. Irfan bukan anak orang lain. Irfan anak Papa dan Mama,” balas
lelaki yang berkaca mata itu. Rambutnya sudah mula ditumbuhi rerambut bewarna
putih. Namun, dia masih kelihatan segak.
“Anak
Papa? Papa kata Irfan ni anak Papa? Bukan. Irfan bukan anak Papa dengan Mama.
Irfan ni tak ubah macam anak pungut, kan?” suara Irfan mula bergetar menahan
marah, namun nada suaranya dikawal agar dia tidak mengganggu pengunjung pusat
membeli-belah itu. Kalau diikutkan hati, sudah lama dia menjerit, melepaskan
rasa sakit hatinya.
“Irfan,
maafkan Papa dengan Mama. Baliklah, nak. Ya?” lelaki itu masih belum puas
memujuk.
Biarlah dia dijerkah, dimarah ataupun dimaki hamun. Dia layak menerima
itu semua.
Irfan
menggeleng perlahan. Bibirnya mengukir senyuman sinis.
“Apa
gunanya kalau Irfan balik ke sana pun? Kalau betul Papa kata Irfan ni anak
Papa, Papa nak tengok hidup Irfan hancur? Hancur sebab balik ke rumah tu? Irfan
cuma beban pada Mama dan Papa. Kan? Irfan ni anak yang tak berguna. Anak
kesayangan Papa dan Mama ke mana? Mana dia?” soal Irfan bengang.
Tengku
Azhar tunduk merenung cawan yang berisi kopi panas. Bibirnya seakan-akan
terkunci untuk menjawab persoalan anaknya itu.
“Papa
pun tak boleh nak jawab, kan? Sebab Papa nak lindungi Fariz? Tak payahlah, Pa.
Rasanya dia dah boleh pikul tanggungjawab tu. Bagi ajelah jawatan itu pada dia.
Irfan tak layak untuk itu semua. Assalamualaikum.”
Sempat
dia berjabat tangan dengan bapanya sebelum melangkah pergi dengan perasaan yang
bercampur-baur.
“Hoi,
Azli. Jomlah,” suara Shamer mematikan lamunan Azli. Azli mendongak, mencari
wajah Irfan dan Shamer yang sudah pun berdiri.
“Ke
mana?” soal Azli bingung.
Ketawa
Irfan dan Shamer pecah apabila melihatkan aksi Azli yang nampak blur.
“Solatlah
kawan. Ke mana lagi,” jawab Irfan dalam tawa.
Azli
bingkas bangun, mengekori langkah Irfan dan Shamer. Macam mana nak tanya pada
Irfan ni? Nak cakap aku terdengar ke perbualan dia dengan bapak dia? Kalau dia
marah macam mana? Nak tanya atau tak? Soalan-soalan itulah yang menemani Azli
sehingga dia tiba di pintu surau pusat membeli-belah itu.
No comments:
Post a Comment