AUTHOR'S WORDS

Assalamualaikum wbt. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Note - These stories are not related to anybody. Kalau ada yang sama, tak disengajakan. Hohoho. 100 percent from my thoughts, my imagination. Copy right reserve goes to me. :) Nama dan watak, fictions. I got the photos from Google before I'm using it as my novels' cover. Thank you and credits to the owners of the pictures. :)

21, a daughter, a little sister. And I have a big dream :')

Selamat membaca~ ;)

Thursday, September 13, 2012

Kau Terindah 2


KRING! Kring! Kringgggggg!

Jam loceng yang tadinya menjerit memanggil tuannya terus membisu apabila tubuhnya menghempas lantai bilik mewah bersaiz master bedroom itu. Lelaki itu menarik selimutnya, menutupi kepala. Cahaya mentari yang sudah pun menerokai dasar biliknya dan sebahagian katilnya langsung tidak dipeduli. Dia hanya ingin tidur, tidur dan tidur! Bunyi pintunya terkuak juga langsung tidak mengganggunya.

“Tuan Muda, sarapan dah siap. Puan suruh Tuan Muda bangun,” ujar seorang gadis, menegurnya.

Kedengaran bunyi decitan keluar dari bawah selimut.

“Jangan kacau saya, boleh tak? Saya nak tidur,” marahnya tanpa melihat ke arah pembantu rumahnya itu.

Pembantu rumah yang masih muda itu tunduk lalu berjalan keluar daripada bilik tidur itu. Perlahan-lahan, meja makan yang terletak di ruang makan dihampiri.

“Mana Tuan Muda?” soal seorang lelaki yang sedang duduk di meja makan itu. Surat khabar yang sudah habis dibacanya diletakkan ke sisi. Cermin matanya juga turut ditanggalkan, lalu diletakkan ke atas surat 
khabar tadi.

Gadis itu masih tunduk.

“Belum bangun?” soal wanita yang turut duduk di meja itu.

Akhirnya, ada anggukan yang menjawab pertanyaan pemilik banglo mewah itu.

Puan Jang atau nama sebenarnya Kim Eun Seo bangun dari kerusi dan berjalan ke bilik anak terunanya itu. Seperti biasa, skirt separas lutut berwarna biru tua itu dipadankan dengan kot sama warna. Rambutnya yang panjang separas bahu disanggul kemas. Kalung mutiaranya terletak elok di leher. Kasut tumit tinggi setinggi tiga inci tersarung di kedua-dua belah kaki.

“Woo Hyun! Wake up!” ujar Puan Jang sambil bercekak pinggang.

Tiada reaksi.

Puan Jang mendekati katil anaknya yang satu itu, Jang Woo Hyun. Selimut Woo Hyun ditarik sekuat hati. Akhirnya terlepas juga selimut itu daripada membaluti tubuh Woo Hyun.

“Woo Hyun, bangun! Setiap hari Mak nak kena kejutkan kamu. Mak letih tau. Nak katakan kamu ni kerja sampai lewat malam, tak jugak. Tak habis-habis dengan main. Mak nak, hari ni kamu ikut Ayah ke pejabat,” bebel Puan Jang.

Woo Hyun masih berbaring seperti tadi, diam tidak berkutik. Cuma nafasnya sahaja kedengaran teratur.
Puan Jang akhirnya sudah hilang sabar dengan perangai anak terunanya itu. Entah di mana silapnya, dia sendiri tidak tahu. Anaknya itu kerap membuang masa. Ada sahaja tempat yang ditujunya bersama dua orang sahabatnya, Kang Ji Hyuk dan Oh Dae San. Mereka sudah berkawan sejak kecil lagi. Bersekolah rendah bersama, sekolah tinggi bersama dan menyambung pelajaran di universiti yang sama.

“Jang Woo Hyunnnnn!”

Jeritan ibunya membuatkan Woo Hyun membuka mata. Terkejut mendengar jeritan Puan Kim.

“Makkkk!” balasnya separuh menjerit sambil bangun dan duduk bersila. Matanya dipejam semula. 

Tangannya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Terasa sakit hatinya apabila tidurnya terganggu dek jeritan ibunya.

Puan Jang tersenyum kemenangan.

“In ten minutes, keluar ke dining room, pakai office suit. If not, no more car, no more allowance,” ugut Puan Jang sebelum keluar daripada bilik Woo Hyun.

Woo Hyun mencampakkan bantal-bantalnya ke lantai dengan rasa geram.

“Sae Ra, In Joo!” jerit Woo Hyun tiba-tiba.

Itulah dia Jang Woo Hyun. Apabila dia yang dimarahi ibunya, orang lain pula yang akan menjadi mangsa kemarahannya.

Kedua-dua pembantu rumah itu terkocoh-kocoh menemui tuan mereka.

“Bila saya keluar daripada bilik air nanti, saya nak katil saya dah kemas. Baju kerja saya pun saya nak tengok dah siap. Kalau tak ada, siaplah!”

Usai sahaja memberikan arahan, Woo Hyun bangun dari katilnya. Segera dia berjalan ke bilik air. Apabila soal kereta dan duit belanja disentuh oleh Puan Jang, Woo Hyun tidak boleh melawan kehendak ibunya. Yalah, kalau dia masih berdegil, pasti ibunya akan mengotakan kata-katanya. Biarpun Puan Jang adalah wanita yang lembut, tetapi dia tegas dalam menangani masalah anak lelakinya ini.

Langkah Woo Hyun terhenti apabila mendapati pembantu rumahnya masih membatu. Woo Hyun bercekak pinggang.

“Sekaranggg!”

Jeritan Woo Hyun membuatkan kedua-dua gadis itu kelam-kabut menyediakan apa yang diminta Woo Hyun. Woo Hyun segera masuk ke bilik air, bimbang dileter sekali lagi.


“WOO HYUN, hari ni ada board meeting. Tumpukan perhatian. Jangan asyik nak berchatting, main-main dalam bilik mesyuarat. Kalau Ayah tahu kamu main-main, siaplah kamu,” pesan Jang Min Hyuk, bapa kepada Woo Hyun.

Woo Hyun yang tadinya berjalan tegak, kini membongkok. Habis terbang segala keyakinannya sebentar lagi. Ayah ni mesti belajar mengugut daripada Emak, bebel Woo Hyun dalam hati.

Woo Hyun menegakkan badannya semula apabila mereka bertembung dengan salah seorang pemegang saham di syarikat gergasi milik bapanya itu, Royal Palace.

“Apa khabar, Tuan Jang?” soal lelaki yang memakai tanda nama Lee Woon Sik kepada Jang Min Hyuk.
Tuan Jang tersenyum kepada Tuan Lee. Mereka saling bersalaman dan masuk ke dalam bilik mesyuarat itu. Kesemua ahli dan pekerja yang berada di dalam bilik itu bangun tanda menghormati Tuan Jang sebagai ketua mereka.

Woo Hyun ingin mengambil tempat di bahagian hujung, tempat dia biasa duduk sewaktu menghadiri mesyuarat.

“Woo Hyun!” langkah Woo Hyun mati apabila Tuan Jang memanggil namanya.

Tuan Jang menarik kerusi yang masih kosong di sebelahnya. Dalam terpaksa, Woo Hyun akhirnya akur dengan arahan bapanya. Nampaknya Tuan Jang sengaja ingin memantaunya. Tak dapatlah nak chatting, Woo Hyun! Woo Hyun mula berkata-kata sendirian.

“Memandangkan semua ahli-ahli mesyuarat dah sampai, bolehlah kita mulakan mesyuarat kita kali ni,” ujar pengerusi majlis, Choi Suk Hyun.

Mesyuarat dimulakan dengan pembentangan dan masalah yang tertangguh daripada mesyuarat terdahulu. Woo Hyun menekup mulutnya dengan tapak tangan. Sabar Woo Hyun! Jangan tertidur, gumam Woo Hyun dalam hati.


“MACAM mana Min Hyuk? Kau rasa macam mana? Bagus tak cadangan Encik Kang tadi?” tanya Encik Lee Jang Woon kepada Tuan Jang. Encik Lee juga adalah salah seorang pemegang saham di Royal Palace.

Tuan Jang mengangguk beberapa kali.

“Aku rasa tak ada masalah. Lagipun cadangan tu menguntungkan kita, bukannya merugikan. Betul apa yang Encik Kang usulkan. Kita melabur dalam bidang agrikultur, lepas tu bukak homestay ataupun tempat berkhemah dekat sana. Menarik,” jawab Tuan Jang.

“Aku tahu, kau mesti suka. Aku pun suka. Biasalah, taste kita ni sama,” sahut Encik Lee.

Bagai hendak termuntah Woo Hyun mendengar kata-kata Encik Lee. Dari dulu sampai sekarang, Encik Lee asyik mengipas bapanya. Kalau kipaskan tak apa juga, ini kipas membodek. Naik muak Woo Hyun melihat karenah Encik Lee. Kenapalah Ayah tak perasan Encik Lee ni nak membodek Ayah je? Soal Woo Hyun kepada dirinya sendiri.

Akhirnya Woo Hyun berjalan ke arah kanan dan menuju ke arah sebuah bilik berpintu kaca. Di bahagian depan pintu bilik itu, tertulis namanya, CEO Jang Woo Hyun. Pintu bilik itu dikuak perlahan sebelum dia masuk ke dalamnya. Kot hitamnya ditanggalkan lalu disangkut pada kerusinya. Tali leher yang dirasakan menjerut lehernya dilonggarkan sedikit. Woo Hyun duduk di kerusinya sambil bersandar dan memejamkan matanya.

Ketukan kuat di mejanya membuatkan Woo Hyun membuka matanya luas-luas. Dadanya diurut perlahan.

“Jang Woo Hyun! Jangan nak curi tulang!”

Suara bapanya sekali lagi memenuhi gegendang telinganya. Telinganya digosok beberapa kali sebelum dia merenung ke arah bapanya.

“Mana ada saya curi tulang,” balas Woo Hyun selamba.

Telefon bimbit yang bergetar dari dalam kocek seluar dikeluarkan. Dae San! Segera logo yang berbentuk peti surat disentuh menggunakan ibu jarinya.

‘Woo Hyun, jom keluar! Aku dengan Ji Hyuk ada plan baik.’

Woo Hyun menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Apa yang harus dibalas agaknya ya? Mesej itu dibalasnya,

‘Plan apa? Constructing ke? Or mechanical?’

Butang send ditekannya. Bibirnya mengukir senyum setelah pesanan itu berjaya dihantar. Terlupa pula dia akan kehadiran bapanya di ruang pejabatnya kala ini.

Beberapa saat kemudian, pesanannya berbalas.

‘Mechanical. Automotive. Aku dengan Ji Hyuk tunggu dekat tempat biasa.’

Woo Hyun segera bangun daripada duduknya. Dia bangun dan menuju ke pintu sebelum terasa sesuatu mengenai kepalanya. Woo Hyun menoleh dan melihat ke lantai. Kelihatan kertas-kertas sudah bertaburan di lantai.

“Nak ke mana?” soal Tuan Jang.

Woo Hyun menggaru-garu kepalanya yang terasa sedikit sengal. Agak tebal juga sebenarnya kertas-kertas yang melayang ke kepalanya sebentar tadi. Apalah Ayah ni. Panggil anak dengan cara macam ni pun ada?

“Ada hal dengan Dae San, Ji Hyuk,” balas Woo Hyun sambil tersengih.

“Jangan kemana-mana. Hari ni kamu kena pergi hotel Royal Palace dekat Gangnam. Singgah rumah Pak Cik Seok Hun kamu. Balik rumah dulu, bawakkan sarang burung yang Emak kamu belikan semalam,” arah Tuan Jang.

Woo Hyun mengeluh berat. Macam mana ni? Dia sememangnya ingin melakukan kerja wiring dan pemasangan memandangkan itulah hobinya. Apabila dia ada masa lapang, dia akan membantu Dae San dan Ji Hyuk di workshop mereka. Dah namanya pun hobi, mestilah sanggup buka workshop sendiri.

“Kalau lain kali, tak boleh ke? Saya nak tolong Dae San dengan Ji Hyuk dekat workshop. Nanti saya singgah Gangnam, lepas siap kerja saya,” jawab Woo Hyun.

Tuan Jang tidak berkata apa-apa. Bagaimanalah agaknya dia akan menangani masalahnya dengan Woo Hyun? Woo Hyun memang degil dan banyak helah. Ada sahaja helahnya untuk melepaskan diri dalam satu-satu situasi.

Belum sempat Tuan menjawab kata-kata Woo Hyun, Woo Hyun sudah berlari meninggalkannya sendirian. Tuan Jang bercekak pinggang. Ya, dia harus berbincang dengan Eun Seo mengenai anak mereka ini. Bagaimana Woo Hyun akan menjadi pewaris Royal Palace dan segala kekayaan keluarga mereka jika Woo Hyun berterusan begini? Dalam diam, Tuan Jang mengeluh berat.

No comments: