AUTHOR'S WORDS

Assalamualaikum wbt. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Note - These stories are not related to anybody. Kalau ada yang sama, tak disengajakan. Hohoho. 100 percent from my thoughts, my imagination. Copy right reserve goes to me. :) Nama dan watak, fictions. I got the photos from Google before I'm using it as my novels' cover. Thank you and credits to the owners of the pictures. :)

21, a daughter, a little sister. And I have a big dream :')

Selamat membaca~ ;)

Wednesday, June 27, 2012

Tapi Bukan Aku 4


ROMBONGAN menghantar peminangan keluarga Ezral diterima baik oleh keluarga Darlina. Baru sebentar tadi rombongan itu pulang. Keadaan rumah Tuan Haji Ihsan sudah sunyi dengan tetamu. Yang ada hanyalah ahli keluarga Tuan Haji Ihsan, keluarga Dato’ Mustaza dan beberapa orang teman rapat yang lain. Pekerja-pekerja katering sedang sibuk diuruskan oleh Ameer dan suami Zarina, Eizlan.

“Dah nak kahwin, Alin ya? Tahniah,” ujar Dato’ Mustaza sambil tersenyum.

Darlina yang tersipu-sipu malu hanya tersenyum. Tidak disangkanya dia bakal menamatkan zaman bujang dalam tempoh enam bulan sahaja lagi. Dia berdoa agar tiada halangan yang akan menimpa sewaktu dia masih menjadi tunangan Ezral.

“Kakaknya dah nak lepas, adik bila lagi?”

Soalan Dato’ Mustaza itu membuatkan Rania hampir tersedak. Mujurlah air di dalam mulutnya sudah ditelan habis. Danny yang duduk di sebelah bapanya tersenyum. Matanya terarah pada Rania.

“Lambat lagilah, uncle. Tunggu Abang dulu kot,” balas Rania.

“Lambat lagi? Nak tunggu sampai bila ni? Danny dah dua puluh tujuh tahun. Nia dah dua puluh empat. Baik kahwin time muda-muda macam ni,” sampuk Datin Faridah. Semakin galak mereka mengusik apabila wajah Rania semakin memerah.

Rania hanya menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Itulah, Ma. Danny dah cakap dengan Nia. Nak kahwin dalam setahun dua lagi. InsyaAllah. Kalau ada jodoh, tak ke mana,” celah Danny.

“Oh.. dah bincang, tapi senyap je ya?” usik Tuan Haji Ihsan.

Rania hanya tunduk apabila mereka mula mengusiknya. Jauh di sudut hati, dia begitu bahagia. Begitu juga Danny.


“IRFAN, ayah kau datanglah.”

Irfan menalakan pandangan pada Shamer. Dengan rasa malas, Irfan bangun dan menuju ke pintu. Tangan bapanya disalam penuh hormat biarpun hatinya masih bengkak.

“Masuklah,” pelawanya sambil bergerak mendahului bapanya.

Tengku Azhar duduk di sofa yang berada di bahagian ruang tamu itu. Rumah itu tidaklah terlalu teruk. Kemas dan lengkap.

Shamer kembali ke ruang tamu dengan jug berisi sirap sejuk dan dua biji gelas.

“Minumlah, pak cik. Air bujang je ni. Saya ada kerja nak buat. Saya masuk dulu, ya,” Shamer meminta diri setelah mempelawa Tengku Azhar minum. Tengku Azhar hanya tersenyum apabila melihatkan Irfan berkawan dengan orang yang baik.

“Minumlah, Pa,” pelawa Irfan setelah air dituangkan ke dalam gelas.

Tengku Azhar meneguk air dari dalam gelas itu perlahan.

“Ada apa Papa nak jumpa Irfan?”

Tengku Azhar menarik nafas panjang.

“Irfan dah fikirkan apa yang Papa cakap pada Irfan hari tu?”

Irfan mengeluh. Bapanya masih belum berputus asa, memintanya agar pulang ke rumah. Melihatkan kebisuan anaknya itu, Tengku Azhar seolah-olah sudah berputus asa. Jika inilah balasan kepada orang sepertinya, dia sanggup. Baru sahaja dia ingin bangun dari duduknya, suara Irfan membuatkan dia kaku di sofa itu.

“Irfan mintak tempoh sebulan. Irfan kena uruskan hal berhenti kerja tu dulu sebelum Irfan balik ke rumah,” Irfan memberikan kata putus.
 
Tengku Azhar tersenyum. Rasa syukur ke hadrat Illahi dipanjatkan dalam hati. Ingin sahaja dipeluk anaknya itu.

“Terima kasih, Irfan. Terima kasih,” ucap Tengku Azhar.

Irfan tersenyum tawar.

“Irfan balik sebab ini permintaan kawan-kawan Irfan. Bukannya Irfan sendiri yang nak balik,” balas Irfan bersahaja.

Tengku Azhar terdiam. Walaupun dia sedih mendengar kata-kata Irfan, namun dia masih bersyukur memandangkan Irfan ingin pulang. Tidak mengapa jika hati Irfan masih belum lembut. Dia hanya ingin pulang dan selalu ada di depan matanya. Itu sudah memadai.

“Tapi, Irfan nak ada rumah sendiri. Irfan dah biasa hidup sendiri. Bila Irfan ada masa, Irfan baliklah ke rumah Papa,” pinta jejaka itu dalam nada tenang.

Perkataan hidup sendiri itu mencucuk-cucuk tangkai hati Tengku Azhar. Rasa bersalah kembali menguasai dirinya. Biarpun Irfan hidup sendirian sehingga kini, dia tidak pernah meminta apa-apa daripada keluarganya. Biarlah dia menuruti kehendak Irfan. Asalkan Irfan ingin pulang ke rumah.

“Baiklah, Irfan. Nanti Papa belikan untuk Irfan.”

“Tak payahlah. Irfan ada duit sendiri. Irfan boleh beli rumah sendiri,” tolak Irfan.

“Walaupun Papa ni bukan papa yang baik untuk Irfan, Irfan masih anak Papa. Biarlah Papa dapat rasa lega. Papa dah cukup lega kalau dapat belikan Irfan rumah,” balas bapanya.

Duit bukan segalanya, Pa.

“Kalau itu kata Papa, Irfan ikut. Lagi satu, Irfan harap ada tempat kosong untuk dua orang kawan Irfan dalam company Papa.”

“Kalau macam tu, hantarlah resume kawan-kawan Irfan pada Papa. Papa akan berikan tempat yang sesuai untuk kawan-kawan Irfan, tanda terima kasih Papa kepada kawan-kawan Irfan. Sebab mereka dah jadi kawan Irfan.”

“Baiklah, Pa. Nanti Irfan hantarkan.”

Tengku Azhar tersenyum lega. Sukarnya untuk dia memujuk Irfan. Apapun permintaan Irfan, pasti akan ditunaikan, janji Tengku Azhar pada diri sendiri.


SAMPAI sahaja di rumah, Tengku Azhar memanggil-manggil nama isterinya. Datin Azyan yang dari tadi berada di dapur datang menghampiri suaminya.

“Kenapa, Bang? Apa kata Irfan?” soal Datin Azyan gembira.

“Dia nak balik ke sini, Yan. Tapi..”

“Tapi apa, Bang?” Datin Azyan yang tadinya baru mengukir senyum gembira kembali tenang.

“Dia nak beli rumah lain,” Tengku Azhar berterus-terang.

Datin Azyan mula berasa sedih. Terasa ingin menangis. Setitik demi setitik air mata mula mengalir di pipi.

“Tapi Yan janganlah risau. Katanya, dia ada rumah lain tapi nanti dia tetap akan balik ke sini,” pujuk Tengku Azhar.

“Kenapa dia tak nak balik ke sini? Dia masih belum boleh maafkan kita ke? Pujuklah dia, Bang. Suruhlah dia balik ke sini,” rayu Datin Azyan.

“Dah puas saya pujuk dia. Dia keras kepala. Tapi, kita tak bolehlah nak salahkan dia. Semua tu salah kita, Yan. Kita abaikan dia. Sekurang-kurangnya dia nak balik ke sini. Dia tak ada pun nak mintak yang bukan-bukan. Dari muka dia, saya tahu dia kasihankan kita. Sebab itulah dia nak balik.”

“Semua salah Yan. Dulu, Yan tak pernah pedulikan dia. Langsung tak pernah bercakap dengan dia sejak Yan lahirkan Fariz. Sikit pun Yan tak pernah ambil tahu fasal Irfan. Yan rasa bersalah sangat, Bang,” ucap Datin Azyan dalam sendu.

“Dahlah, Yan. Lama-lama lembutlah hati dia. Janganlah risaukan sangat. Walaupun kita tak besarkan dia dengan tangan kita sendiri, tapi Irfan membesar jadi manusia berguna. Walaupun dia marahkan saya, tapi dia masih hormatkan saya. Nanti awak tengoklah sendiri.”

Datin Azyan mengangguk.

“Bila dia balik ke sini?”

“Dalam sebulan lagi. Dia nak uruskan fasal permohonan berhenti kerja dengan majikan dia,” terang Tengku Azhar.

“Mana Fariz?” soal Tengku Azhar setelah beberapa ketika.

“Entahlah, Bang. Dari semalam tak balik lagi.”

Tengku Azhar menggeleng perlahan. Dia mula sedar akan perbezaan di antara Irfan dan Fariz. Maafkan Papa, Irfan. Papa bersalah sebab Papa abaikan Irfan. Maafkan Papa.


“KAU dah buat keputusan? Muktamad?”

Irfan dan Azli tergelak.

“Ingat aku dalam rancangan Who Wants To Be A Millionaire ke? Ya, aku dah cakap dengan Papa aku. Aku setuju nak balik ke rumah.”

“Sedihlah aku nanti. Kau dah pindah,” tambah Shamer.

“Aku pindah rumah je. Dekat tempat kerja, boleh jumpa,” balas Irfan.

“Aikk? Kau baru je siap print surat berhenti kerja, takkan tak jadi?” soal Azli kehairanan.

Irfan mengambil dua helai sampul surat dan diserahkan surat-surat itu kepada Azli dan Shamer.

“Surat perletakan jawatan. Merujuk perkara di atas, saya Azharul Azli bin Aman ingin meletakkan jawatan sebagai pengurus di Harvey Norman, cawangan Mid Valley,” Azli membaca isi kandungan surat itu perlahan-lahan. “Apa?!!”

“Eh, kenapa kau tuliskan untuk aku dengan Azli ni? Mana aku nak kerja kalau aku letak jawatan?  Aku nak bagi apa dekat mak ayah aku dekat kampung? Adik-adik aku sekolah lagi. Kau jangan buat lawak.”

“Hai.. hari tu suruh aku carikan kerja dekat company ayah aku. Ni aku dah tolong korang dapatkan kerjalah,” jawab Irfan sambil berbaring di lantai.

“Kau jangan main-main, Irfan,” marah Azli.

“Aku tak buat lawak. Sebulan lagi, korang berdua akan jadi eksekutif pemasaran dan ketua akauntan dekat Home Shopping Corporation. Tahniah.”

“Betul ke ni? Ya Allah, alhamdulillah. Terima kasih, Irfan!” seru Shamer gembira.

“Haa.. belanjalah! Aku dah tolong ni,” gurau Irfan.

“Tak ada hal!”

Azli dan Shamer bertepuk tangan sambil ketawa gembira.

No comments: