AUTHOR'S WORDS

Assalamualaikum wbt. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Note - These stories are not related to anybody. Kalau ada yang sama, tak disengajakan. Hohoho. 100 percent from my thoughts, my imagination. Copy right reserve goes to me. :) Nama dan watak, fictions. I got the photos from Google before I'm using it as my novels' cover. Thank you and credits to the owners of the pictures. :)

21, a daughter, a little sister. And I have a big dream :')

Selamat membaca~ ;)

Monday, April 15, 2013

Semua Untukmu 7


GomGomdori : Hadiah! DL bagi dua bab sekali. Hihi. Enjoyyyy! :)

BAB 7

PAGI-PAGI lagi pekerja BaySide Chalet sudah bersedia dengan peralatan mendaki masing-masing. Beg galas pelbagai saiz sudah tersangkut di bahu masing-masing. Seramai lebih kurang lima belas pekerja-pekerja BaySide Chalet bakal mengikuti program jungle trekking bersama dengan Emir.

“Sementara kita tunggu Encik Emir, apa kata kita stretching dulu? Takut kejang pulak bila kita dah ada dekat atas nanti,” ujar ketua ekspedisi, Iqram.

Yang lain mula menanggalkan beg galas masing-masing dan mengikut rutin senaman yang diketuai oleh Iqram.

Emir hanya muncul setelah pekerja-pekerjanya selesai melakukan senaman. Fikir mereka, pasti Emir sudah melakukan senaman secara bersendirian memandangkan dia tiba lewat daripada waktu yang sudah ditetapkan. Setelah mereka semua bersedia dan selesai membaca doa, perjalanan dimulakan.

“Kalau Encik Emir nak tahu, perjalanan untuk sampai ke puncak bukit atas sana tu just ambil masa 45 minit. Untuk turun pun ambil masa yang sama. Normally, kita akan ikut jalan lain untuk turun, bukan jalan yang sama. Kita akan tengok flora dan fauna yang hidup dekat sebalik bukit sana. So, program ni kita khaskan untuk orang dewasa je,” terang Iqram sambil tangannya ligat menebas pokok-pokok yang menghalang perjalan mereka.

“Sejam setengah?” soal Emir.

Iqram mengangguk.

Emir sudah mengeluh. Kenapalah lama sangat?

Kemudian, mereka meneruskan perjalan ke puncak bukit. Makin lama berjalan, perut Emir sudah mula terasa lapar.

“Iqram, saya rasa saya dah tak larat ni. Saya nak balik chalet dululah,” ujar Emir tiba-tiba.

“Encik tahu ke jalan balik? Biar saya suruh budak-budak temankan Encik balik,” cadang Iqram.

“Eh, tak payah. Saya boleh balik sendiri ni. Awak jangan risau. Kalau ada apa-apa hal, kita jumpa dekat chalet je nanti.”

Tanpa menunggu balasan daripada Iqram, Emir segera melangkah meninggalkan kumpulan ekspedisi merentas hutan itu. Bimbang juga Iqram sekiranya Emir sesat jalan. Namun, dia sudah menanda jalan untuk kembali ke chalet dengan meletakkan papan-papan tanda serta anak-anak panah menuju ke chalet. Seketika kemudian, Iqram kembali bergerak dengan diikuti oleh anak-anak buahnya.


AZZALEA berjalan perlahan melewati kawasan chalet. Hari ini dia sengaja ingin berjalan-jalan di pantai kawasan BaySide Chalet.

“Lea?”

Azzalea mematikan langkah. Tanpa disedari, dia sudah berjalan melepasi Nazhan. Dia kemudiannya meneruskan langkah. Tidak kuasa berbual dengan Nazhan.

Langkah Azzalea diikut dari belakang. Tanpa disedari, dia berjalan di atas kesan tapak kaki Azzalea. Dia tersenyum sendiri.

“Don’t have anything to tell me today?’ soal Nazhan setelah Azzalea berdiri berpeluk tubuh menghadap laut.

Azzalea menggeleng.

Nazhan kekok apabila Azzalea melayannya dengan cara begitu. Selalunya, petah sahaja mulut Azzalea bercerita itu dan ini. Namun, berbeza pula dengan hari ini. Gadis itu diam dan nampak gusar.

“Abang!”

Azzalea dan Nazhan sama-sama menoleh. Azzalea segera berpaling semula ke depan apabila tubuh Nazhan didakap oleh Khairinna. Erat.

“Erin.. kan Abang dah kata jangan macam ni,” tegur Nazhan sambil menolak tangan Khairinna yang melingkari pinggangnya. Sempat juga dia mencuri pandang pada Azzalea. Namun, tiada langsung riak di wajah mulus itu.

Khairinna mencebik.

“Encik Nazhan, ada tak Encik Emir balik sini?” soal Iqram dengan ditemani oleh dua orang rakannya. Tercungap-cungap mereka datang mendekati Nazhan.

Nazhan menggeleng.

“Tak ada pulak. Bukannya dia ikut awak naik ke bukit ke tadi?”

“Itulah masalahnya, Encik Nazhan. Tadi dia balik dulu. Saya dah suruh budak-budak saya temankan dia tadi, tapi dia kata tak payah. Kami dah periksa bilik dia, merata-rata tempat tapi tak ada.”


“Mungkin dia sesat tak?” sampuk Azzalea.

“Eh, Lea pun ada kat sini? Itulah, saya pun rasa macam tu,” balas Iqram lagi.

“Apa kata kalau awak ajak anak-anak buah awak naik balik, cari Encik Emir? Saya tak boleh tinggalkan chalet ni,” cadang Nazhan.

“Kalau macam tu, baiklah. Biar saya panggil budak-budak saya sekarang. Risau pulak saya. Kejap lagi gelap la hutan tu,” putus Iqram tanpa berfikir panjang.

“Encik Iqram!”

Iqram menoleh semula.

“Err.. saya ikut!”

Iqram terdiam seketika. Kesemua anak buahnya adalah lelaki. Bagaimana dia akan membenarkan Azzalea menyertai pencarian ini? Bahaya buat gadis seperti Azzalea.

“Lea.. bahayalah. Macam mana kalau Lea pulak yang sesat?”

Azzalea berpura-pura tidak mendengar kata-kata Nazhan.

“Saya dah lama duduk sini. Saya selalu ikut trip jungle trekking dekat hutan tu. Manalah tahu kalau saya boleh tolong,”ujar Azzalea, masih berdegil.

“Okey.”

Iqram terpaksa akur dengan permintaan Azzalea. Manalah tahu kalau-kalau Azzalea boleh membantu.
Baru sahaja Azzalea menghayun langkah, lengannya ditangkap Nazhan.

“Kenapa degil sangat? Tahu tak hutan tu bahaya?” marah Nazhan. Namun nada suaranya hanya mendatar.

Azzalea merentap kasar tangannya sehingga pegangan Nazhan terlepas. Nazhan sedikit terkejut dengan tindakan Azzalea. Buat seketika, bebola matanya tajam memandang Nazhan. Dia kemudiannya melangkah pergi meninggalkan Nazhan dan Khairinna begitu sahaja.

Nazhan menelan air liur. Inilah kali pertama dia melihat Azzalea bersikap begitu. Adakah dia pernah menyakiti hati Azzalea tanpa disedari? Terluah juga keluhan di bibirnya.

Di sebelah Nazhan pula, Khairinna sedang berdiri sambil menggenggam erat jari-jemarinya.


“SEKARANG kita semua kena berpecah. Semua tahu jalan keluar hutan ni kan? Lea tahu, kan?”

Azzalea tersenyum sambil mengangguk. Biarpun dia bukan anak jati di kampung itu, dia sudah mahir tentang selok-belok hutan itu.

Setelah memberitahu perkara-perkara penting kepada kumpulan mencari itu, Iqram mengarahkan mereka semua mula mencari Emir.

Azzalea mengambil jalan untuk naik ke bukit sambil tertanya-tanya siapakah Emir. Dia langsung tidak mengenali siapakah pemilik nama Encik Emir itu. Namun, dek kerana ingin melepaskan diri daripada berada dengan Nazhan, dia menawarkan diri.

“Encik Emir!” laung Azzalea sambil melewati denai kecil menuju ke puncak bukit. Sesekali, dia tertinjau-tinjau ke kawasan jurang yang berada di sekeliling kawasan itu. Azzalea mencapai sebatang dahan kecil yang sudah pun jatuh ke tanah. Daun-daun kering yang masih melekat di dahan sepanjang dua kaki lebih itu dibuang.

“Encik Emir!” laung Azzalea lagi.

Setelah hampir lima belas minit berjalan, mata Azzalea menangkap beberapa pokok renek yang lebat berbunga. Ada papan tanda yang dipacakkan di kawasan itu. ‘Wild Azaleas’. Itu yang tertulis pada papan tanda itu. Semakin Azzalea berjalan menuju ke arah pokok-pokok itu, dia tergamam. Mengapa ada begitu banyak pokok bunga azalea di sini, fikirnya. Sungguh dia kagum melihat pokok-pokok azalea dengan bunga-bunga pelbagai warna. Ada yang berwarna putih, merah jambu dan juga ungu.

Bunyi daun kering seperti dipijak seseorang menyedarkan Azzalea kembali.

“Encik Emir?”

Azzalea memberanikan diri mendekati jurang yang berada di hadapannya. Semakin dekat dengan bunyi itu, hatinya mula berdebar.

“Encik Emir?”

“Siapa tu?” kedengaran suara seorang lelaki dari bawah.

Azzalea menjenguk. Kelihatan seorang lelaki sedang terduduk di atas tanah beralaskan daun-daun kering. Eh.. macam kenal je? Azzalea mencebik.

“Buat apa dekat bawah tu? Nak tunggu kena makan dengan harimau ke?” soal Azzalea selamba.

Biji mata Emir sudah bulat.

“Boleh tak kalau jaga sikit mulut kau tu?” marah Emir.

Azzalea ketawa geli hati.

“Sini banyak harimau. Kalau tak nak kena makan, naiklah. Harimau tu suka lelaki badan macam kau, kulit cerah macam kau,” sambung Azzalea tanpa mempedulikan kata-kata Emir.

Emir cuba berdiri dan cuba memanjat kawasan tanah yang sedikit berbukit itu. Baru sahaja beberapa langkah menapak, kakinya mula terasa sakit. Dia sudah hampir dengan tebing itu, namun kecederaan di kaki kirinya menghalang pergerakannya.

Azzalea menggelengkan kepala. Segera tangannya dihulurkan. Darurat. Kawasan dalam hutan itu sudah mula gelap. Bimbang juga Azzalea jika mereka terpaksa bermalam di dalam hutan itu. Demi mengelakkan neneknya berasa risau, dia harus segera membantu Emir.

Huluran tangan Azzalea dipandang Emir dengan pandangan sinis.

“Cepatlah! Ke kau nak tidur dalam hutan ni? Aku tak nak. So.. aku gerak dulu,” ucap Azzalea selamba.

Emir hanya memerhatikan Azzalea yang sudah pun berpaling.

“Hoi! Tunggu kejap!”

Azzalea tersenyum mengejek sebelum menghulurkan tangan. Dengan perlahan, huluran itu disambut Emir.

Semua Untukmu 6


GomGomdori : assalamualaikum, selamat sejahtera. Sorry semua. DL lambat update. Haha. Enjoyyyy!

BAB 6

“HEY! Hey! Hey!”

Gedebukkk!

“Aduhhhh!”

Kedengaran suara lelaki dan perempuan saling mengaduh. Jika orang hanya mendengar namun tidak melihat, pasti mereka salah faham.

“Sakitnya! Buta ke?”

Azzalea menjegilkan biji mata.

“Macamlah kau sorang je yang sakit. Aku pun sama. Sakit mata, sakit hati, sakit jiwa. Siapa suruh kau duduk tengah jalan?”

Buat seketika, Emir dan Azzalea saling berpandangan. Berkelip-kelip mata masing-masing merenung ke dalam anak mata satu sama lain.

“Lea?”

Azzalea segera berpaling. Bibir bawah digigit apabila dia terpandangkan wajah Juan sedang berdiri di belakangnya. Pelik. Kenapa Juan nampak tiunggi semacam je ni?

“Abang Juan?”

Emir sudah mencebik. Bukan main lagi. Juan yang jauh lebih muda daripadanya dipanggil ‘abang’, sebaliknya gadis itu hanya ber’aku’ dan ‘kau’ sahaja dengannya. Melampau!

“Lea.. I mean.. your posture..”

Azzalea ternganga.

“Apa Abang Juan cakap..”

Terlopong mulut Azzalea apabila menyedari kedudukannya. Emir juga dalam keadaan yang sama. Mereka sama-sama terkejut. Dek kerana terkejut dengan keadaan mereka berdua, Emir bertindak dengan menolak tubuh Azzalea. Tindakan refleks Emir itu menyakitkan tubuh ramping Azzalea.

Azzalea tidak jadi memarahi Emir dek kerana adanya Juan di situ. Segera basikalnya dicapai sebelum menegakkan semula basikal itu.

“Err.. Abang Juan.. Lea.. Lea balik dulu! Mesti Opah tengah tunggu dekat rumah.”

Juan hanya mengangguk. Mulutnya sudah separa terbuka. Masih lagi terkejut dengan babak yang baru dilihat. Dia hanya menghantar langkah Azzalea dengan pandangan mata sahaja. Masih terkejut. Blank.

Emir berdiri sambil menepuk-nepuk sebahagian seluar yang terkena pasir-pasir halus. Sudah terasa miang-miang kaki serta belakang badannya ketika ini. Dia harus pulang ke suite untuk membersihkan diri.
Tanpa pamitan, dia segera berlalu meninggalkan Juan termangu-mangu sendirian. Meninggalkan seribu tanda tanya dalam benak Juan.


AZZALEA menepuk-nepuk pipinya yang masih terasa hangat. Teringat akan peristiwa awal petang tadi. Bagaimana agaknya dia boleh landing di atas tilam semulajadi itu, dia sendiri tidak sedar. Tetapi dia tidak sengaja jatuh di atas lelaki itu. Yang pelik tu, boleh pulak dia pandang si mangkuk hayun seolah-olah menghayati keindahan ciptaan Tuhan.

Yang lebih mengejutkan adalah kehadiran Juan di situ. Pasti Juan akan berfikir yang buruk-buruk tentangnya. Dia tidak tahu berapa lama Juan sudah berada di situ. Bagaimana sekiranya Juan menyampakan cerita itu kepada Nazhan? Masaklah!

“Eh, kenapa nak fikir fasal dia ni? Dia kan dah nak kahwin?” soal Azzalea kepada dirinya.

Akhirnya, kepala dilentokkan ke meja. Malas sudah mahu memikirkan soal itu lagi. Namun, dia harus menerangkan hal yang sebenar kepada Juan. Bimbang juga dia sekiranya cerita itu sampai ke telinga orang kampung. Ya, dia tidak bersalah. Yang bersalah, itu! Si mangkuk tu! Kenapa duduk tengah jalan?


JUAN duduk termenung. Dahinya berkerut-kerut seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Kemudian, kepalanya digeleng-gelengkan.

“Kau apa hal, Don Juan?” tegur Shahir. Mug berisi Milo ais diletakkan ke mejja. Dia duudk berhadapan dengan Juan.

Juan hanya menggelengkan kepala.

“Tak ada apa-apalah, bro,” balas Juan.

Shahir mencebik.

“Baru semalam ke aku kenal kau? Dari kita kecik lagi, aku dah kenal kau. Tengok muka macam ayam berak kapur ni pun aku tahu, mesti ada benda tak kena. Stroylah sikit.”

“Kan aku cakap, tak ada apa-apa. Maksudnya tak adalah. Yang kau duduk sini, buat ap? An nampak nanti, marah pulak dia. Nanti dia kata kau curi tulang,” ujar Juan, cuba menukar arah topik perbualan.

“Dah, dah. Kau jangan cuba nak tukar tajuk. Kau jawab dulu soalan aku. Kau ada masalah ke?”

Juan menarik nafas panjang.

“Bukan aku, tapi Lea. Lea dengan Encik..” Juan menutup mulut. Alamak! Terlepas cakap!

Shahir pula sudah mengerut dahi.

“Maksudnya? Encik apa? Encik Emir? Apa kena mengena Lea dengan Encik Emir? Diorang kenal satu sama lain ke?”

Juan menggelengkan kepala, menyalahi dirinya kerana tidak berjaya menyimpan rahsia. Buat apa dihebahkan sekiranya dia sediri tidak tahu sejauh mana hubungan Azzalea dan juga anak majikan mereka.

“Bukanlah. Kalau aku cerita pada kau, kau jangan cakap dekat sesiapa pun fasal hal ni. Especially An. Kau pun tahu, An tu tak suka kalau ada cerita tak elok tentang Lea. So, buat sementara ni, kita je yang tahu fasal ni.”

“Cerita jelah! Takkanlah aku nak sampaikan dekat orang pulk,” balas Shahir tidak sabar.

“Masa aku baru masuk tadi, aku nampak Lea dengan Encik Emir,” beritahu Juan.

“Lepas tu?”

Juan tidak membuka mulut, sebaliknya hanya mendepangkan tangannya lalu dibawa ke dada.

“Diorang berpeluk?!”

“Hoi.. diamlah sikit. Ni yang aku malas story dekat kau ni!” marah Juan.

“Sorry, sorry. Aku terkejut. Lepas tu apa jadi?”

Juan menjungkit bahu.

“Aku masuk dalam scene. Scene habis!” balas Juan sambil menepuk tangannya sekali.

Buat beberapa saat, mulut Shahir terlopong sambil memikirkan cerita yang disampaikan oleh Juan.


EMIR berpeluk tubuh sambil merenung ke arah laut yang dia sendiri tidak tahu di mana penghujungnya. Dia berdiri di anjung suite yang didiaminya sambil berfikir. Entah apa yang mengganggu fikirannya, dia sendiri tidak tahu.

Kocek seluar yang dipakainya diseluk. Seutas rantai emas terletak di atas tapak tangannya. Jauh dia mengelamun sambil menggenggam rantai itu. Satu keluhan terlepas dari bibirnya. Kemudian, rantai itu disimpan kembali. Bilalah agaknya rantai itu akan kembali kepada tuannya?

Sunday, April 7, 2013

Cinta 8 Tingkat 2

Assalamualaikum uolls! Haha. Sihat? Sorry sebab dah lama tak update blog! DL pegi Far Far Away, jumpa Shrek. Haha. DL pegi bercuti kejap. So, mood nak menaip pun cuti gak, sorry! Haha. Anyway, enjoyyy!


BAB 2

“GOOD morning, Rapunzel!”

Keisha yang sedang menyidai pakaian di ampaian segera menoleh. Kelihatan seorang jejaka sedang berdiri tegak di beranda rumah yang terletak di sebelah kanannya. Jejaka itu tersenyum lebar.

Keisha hanya menganggukkan kepala sambil menghadiahkan senyuman kecil buat lelaki itu. Kemudian, dia segera menyambung kerjanya. Baju T di tangan dikibas-kibas sebelum disangkut ke penyangkut baju.

Di sebelah sana pula, Wan Muhammad Hazrill sedang berdiri memerhatikan Rapunzel pujaan hati. Seorang gadis terkurung di dalam menara itu tidak ubah seperti Rapunzel fikirnya. Dan sudah pasti sang puteri sedang menunggu putera idaman datang menyelamatkannya. Dia yakin dia yang bakal menjadi putera idaman Keisha.

“Dah breakfast?” cuba Wan Hazrill lagi.

Keisha hanya menganggukkan kepalanya. Langsung tidak melihat ke arah jirannya itu.

Wan Hazrill tersenyum sendiri. Biarpun bibir Keisha langsung tidak mengukir senyum, wajah itu tetap nampak manis di matanya.

Pergerakan Keisha diperhatikan dengan penuh minat. Kalaulah ibunya melihat Keisha, pasti ibunya menyukai Keisha. Keisha rajin, cantik dan juga pandai melakukan kerja-kerja rumah. Seperti mana Keisha memerhatikan Izz Rayyan, begitu jugalah Wan Hazrill memerhatikan Keisha. Kali pertama dia terpandangkan Keisha adalah tiga tahun yang lalu. Namun, Keisha bukanlah cinta pandang pertamanya. Perasaannya mula berputik terhadap Keisha bermula apabila Keisha membantunya untuk memasak makanan sempena potluck yang dilakukan di pejabatnya. Nampak ringkas, namun itulah kali pertama dia mula belajar menyukai Keisha.

“Wan! Ada orang call!”

Panggilan Koya atau pun nama sebenarnya Ammar Firdaus membuatkan babak yang baru sahaja bermula dipotong begitu sahaja. Wan Hazrill mendengus kasar.

“Siapa?” soalnya apabila Ammar Firdaus sudah turut muncul di beranda itu.

Ammar Firdaus menjungkit bahu.

“Assalamualaikum, Rapunzel. Busynya pagi-pagi ni,” tegur Ammar Firdaus sambil berjalan mendekati penghadang beranda.

Keisha menjawab salam Ammar Firdaus dengan suara yang perlahan. Dia kemudiannya mengangguk lagi.

“Hari-hari dok mengangguk. Nak jugak dengar suara tuan puteri,” usik Ammar Firdaus.

Keisha tertunduk malu.

“Err.. ha’ah. Tak kerja?” soal Keisha.

Ammar Firdaus tersenyum bangga sambil mengangkat dagu ke arah Wan Hazrill. Menunjuk-nunjuk apabila Keisha menjawab pertanyaannya. Wan Hazrill pula sudah mengetap gigi. Nasib baiklah si Koya ni kawan aku. Kalau tidak, dah lama aku debik, kutuknya dalam hati.

“Finally. Dengar jugak suara. Patutlah tak banyak bercakap, rupanya suara kalah buluh perindu. Taklah. Kan hari ni Sabtu. Macam mana nak kerja?”

Semakin merah padam wajah Keisha. Setiap kali Ammar Firdaus bersuara, pasti ada sahaja ayat mengusik yang diselitkan.

“Wan! Ada call!”

“Siapa?” soal Wan Hazrill bengang.

Fokus Wan Hazrill beralih kembali kepada Keisha dan Ammar Firdaus. Wajah Keisha masih lagi merah padam, akibat penangan gurauan Ammar Firdaus.

“Wan!"

“Apa?!”

Jeritan Wan Hazrill nyata mematikan senyuman di bibir Ammar Firdaus. Keisha pula terkejut besar mendengar suara Wan Hazrill.

“Biasalah.. dia jealous saya bercakap dengan awak,” ujar Ammar Firdaus setelah Wan Hazrill sudah masuk ke dalam rumah.

Keisha hanya tersenyum.

“Err.. saya masuk dulu. Ada lagi kerja nak kena siapkan dekat dalam,” mohon Keisha setelah hampir seminit dia dan Ammar Firdaus hanya diam tanpa sebarang ayat.

Ammar Firdaus mengangguk sebelum menghantar langkah Keisha dengan pandangan matanya sahaja.



AKU pernah menutup pintu itu
Rapat..
Akankah pintu itu terbuka semula? 
Adakah aku sendiri yang akan membukanya? 
Andai sahaja aku mudah memberikan kemaafan
Namun, aku bukan siapa-siapa
Hanya seorang manusia..

kerdil dan tidak sempurna
Menanti agar lembutnya hati menghulur kemaafan.

Telefon bimbit berdering, menandakan ada pesanan yang masuk. Keisha mencapai Sony Ericsson Arc S miliknya. Tertera nama Cik Azlinda di skrin. Ibu jarinya menyentuh ikon sampul surat.

‘Salam, Keisha. Saya dah emailkan satu draf untuk awak. Kali ni awak kena tulis buku kanak-kanak. Hujung bulan due date. Slowly. 30 muka je.’

Keisha merenung kalendar yang tergantung di dinding. Hari ini baru sahaja 8 Mac 2012. Masih panjang lagi masa untuk dia menyiapkan buku itu. Mujurlah buku itu hanya memerlukan tiga puluh muka surat sahaja.

Tetikus digerakkan dengan tangan kanan. Cursor dibawa ke peti masuk emailnya. Email daripada syarikat penerbitannya diklik. Draf yang dihantar dibaca sepintas lalu. Dia harus menulis semula cerita-cerita dongeng dahulu kala. Mudahlah sedikit kerjanya.

‘Waalaikumussalam, Cik. Saya dah baca draf tu. Saya just perlu olahkan ayat-ayat je, kan?’

Butang send disentuh dengan ibu jari. Keisha sabar menanti balasan Cik Azlinda sambil mencari koleksi kisah-kisah dongeng yang disimpannya. Memandangkan dia adalah seorang editor dan juga penulis, dia harus menyimpan buku-buku seperti itu. Manalah tahu kalau tiba-tiba sahaja dia diminta menulis semula karya-karya itu semua, seperti sekarang.

Sebuah kotak besar ditarik dari tepi meja komputernya. Buku-buku yang mengandungi kisah-kisah dongeng kanak-kanak tersusun elok. Terbatuk sedikit Keisha apabila habuk-habuk dari dalam kotak itu berterbangan keluar. Dia sebuah buku yang agak tebal. Dibukanya buku itu. Isi kandungan buku itu lengkap dengan pelbagai jenis kisah dongeng. Namun ada sesuatu yang menarik perhatian Keisha. Tiada langsung gambar di mana-mana muka surat dalam buku itu.

Keisha mencapai sebatang pen dan kertas. Dia mencatat sesuatu. Kanak-kanak mudah bosan sekiranya mereka perlu membaca. Demi menarik minat kanak-kanak membaca buku, gambar-gambar perlu disertakan. Pasti mereka akan seronok membaca nanti. Itu baru satu point. Dia menyelak lagi helaian demi helaian buku itu. Point demi point di catatkan, bagi menambahkan elemen-elemen yang mampu menarik minat kanak-kanak untuk membacanya.

Setelah selesai menulis apa yang perlu, buku tebal yang berada di tangan ditutup. Rapat. Dia kemudiannya bangkit sebelum bergerak ke arah beranda. Rumah Izz Rayyan yang kosong dipandang sepi. Rumah itu gelap seperti biasa. Tugas Izz Rayyan sebagai doktor sering membawanya keluar dari rumah. Adakalanya berhari-hari Izz Rayyan akan tidur di klinik.

Keisha menarik nafas panjang lalu mendekati barisan pokok bunga yang ditanam di dalam pasu. Satu keluhan kecil terbit dari bibirnya. Dia duduk mencangkung sambil tangannya gatal ingin menyentuh kelopak bunga yang berwarna-warni. Buat beberapa saat, dia hanyut dalam angannya sendiri.


“WOI, Kim!”

Harith Hakim yang sedang berjalan sambil menarik bagasi mematikan langkah. Kaca mata hitam ditanggalkan, lalu disangkut ke ke baju. Keningnya diangkat.

“Tunggulah Que kalau ya pun,” ujar Amirul Zaffuan.

Harith Hakim mengangguk. Hampir terlupa pula dia dengan sahabat baik mereka itu, Faliq Izham. 

Kemudian, mereka berdua mencari kerusi yang masih kosong berdekatan dengan tempat mereka berdiri tadi. Buat seketika, kedua-dua jejaka itu sibuk berbalas pesanan kepada keluarga dan juga teman-teman rapat. Kepulangan mereka ke tanah air sungguh dinantikan. Namun, mereka sengaja pulang pada hari ini, lebih awal daripada jangkaan.

“Que ni.. tak habis-habis kena tahan,” bebel Harith Hakim.

“Biasa, bro! Bukan kau tak kenal budak tu. Cara dia pandang orang pun dah lain macam. Memang kenalah!” balas Amirul Zaffuan.

Harith Hakim menganggukkan kepala. Mengiakan kata-kata sahabatnya itu. Nak buat macam mana, memang itu sikap sebenar Faliq Izham. Renungannya tajam, seolah-olah menjemput orang lain menumbuknya. Suaranya apabila bercakap sentiasa sinis, manakala sikapnya dingin. Sedingin ketulan ais. Namun, hanya Harith Hakim serta Amirul Zaffuan sahaja yang mengenali sikap sebenar Faliq Izham. Selain Harith Hakim dan Amirul Zaffuan, layanan yang baik hanya diberikan kepada neneknya serta bapanya sahaja. Baginya, dia hanya punyai bapa dan neneknya sahaja di dunia ini.

“Miyul! Kim! Jom!”

Pandangan Harith Hakim dan Amirul Zaffuan jatuh pada Faliq Izham yang sedang berdiri di hadapan mereka. Seperti biasa, tubuhnya dibaluti dengan pakaian berwarna hitam dari hujung kaki ke hujung kepala. Kaca mata Ray Ban hitam melekat elok di batang hidung.

Akhirnya, ketiga-tiga jejakai itu bergerak meninggalkan lapangan terbang itu. Masing-masing melangkah dengan harapan agar kepulangan mereka ke tanah air ini bakal melengkapkan kekurangan yang selama ini dirasakan. Agar kepulangan mereka kali ini akan membawa seribu makna, terutamanya buat Faliq Fahmi.