BAB 1
“OPAH! Penatlah! Banyaknya benda yang nak kena cuci. Kenapa diaorang tak
hantar pergi dobi je?” keluh si gadis.
Peluh yang mula mengalir dikesat
dengan belakang tapak tangan.
“Cucu Opah ni.. Opah kan bekas pekerja kat sana. Lagipun diaorang kesian
tengok opah takde kerja. Tak apalah Lea, Lea kan ada. Boleh Lea tolong Opah,
kan?” ujar Nek Limah.
Azzalea memandang ke wajah neneknya. Kasihan. Sudah tua-tua begini masih
bekerja. Azzalea merupakan seorang gadis yang tinggal di kawasan kampung
bersama neneknya. Sejak ibubapanya meninggal dunia dalam sebuah kemalangan, dia
dibesarkan oleh neneknya, Nek Limah.
Azzalea juga seperti remaja lain yang ingin menghabiskan masa bersama
rakan-rakan dan mempunyai impian untuk menyambung pelajaran. Sebenarnya dia
telah ditawarkan untuk belajar di sebuah universiti tempatan dengan pembiayaan
biasiswa penuh kerajaan. Disebabkan keadaan neneknya yang sudah tua, dia
membatalkan hasratnya dan ingin tinggal bersama neneknya.
“Nasib baik ada Lea. Kalau Lea tak ada, tak taulah siapa yang nak tolong
Opah,” ujar Azzalea, tersengih.
“Yalah. Nasib baik ada Lea. Lea, nanti tolong hantar cadar yang Opah dah lipat
tadi ke chalet ye? Nanti Opah bungkuskan.”
Azzalea memandang ke arah basikalnya yang tersandar di tepi dinding
rumahnya. Memang kebiasaannya Azzela yang akan menghantar kembali cadar, tuala dan pakaian yang dihantar oleh
pihak chalet kepada neneknya untuk dibasuh. Mendengar perkataan chalet, Azzalea
rasa gembira. Gembira kerana dia pasti akan berjumpa dengan seseorang di chalet
itu. Dia tersenyum sendiri.
“Lea dah sampai ke mana tu?” suara neneknya mematikan senyuman Azzalea.
“Berangan!”
Azzalea tersengih malu.
“Mana adalah, Opah. Lea teringatkan Sarah. Kalau dia ada, mesti dia selalu
temankan Lea pergi hantar cadar,” Azzalea cuba menutup malu. Bimbang jika dapat
dikesan oleh neneknya.
“Opah, Lea angkat cadar yang dah kering ya?” cepat-cepat Azzalea bangun dan
berjalan menuju ke ampaian.
Neneknya hanya menggeleng kepala melihat tingkah Azzalea. Nenek dulu yang
makan garam, ujar Nek Limah dalam hati.
“EMIR, Papa nak Emir belajar selok-belok perniagaan keluarga kita je. Rasanya
dah lama sangat Emir enjoy. Apa kata kalau sekarang Emir ambil masa ni, belajar,”
Datuk Jamaluddin berkata sambil memandang ke arah anak keduanya itu.
Emir memuncung.
“Alahh Pa.. Emir baru je dua puluh tujuh. Belum sampai tiga puluh lagi. Tak
habis lagi zaman remaja,” rungut Emir.
“Kau ni Mir.. cuba dengar cakap papa. Masa mudalah nak kena belajar. Kalau
dah tua, nak belajar tak guna. Masa tu satu apa pun tak boleh masuk. Otak dah
beku. Memori pun dah tak boleh nak proses sebab dah berkarat,” sampuk Irman,
abang sulung Emir.
“Kalau Along je yang sambung bussines Papa tak boleh ke?”
“Emir, papa bukan ada satu chalet je. Papa ada lebih dari lapan buah
chalet. Anak-anak Papa ada kamu bertiga je. Adik kamu, Melissa dah ambik bidang
lain. Kamu berdua yang ambik bidang Papa. Takkan Papa nak bagi semua kerja pada Along
kamu ni? Apa salahnya kalau kamu belajar? Papa bukan nak kamu ambil alih
sekarang. Papa nak kamu belajar je dulu. Bila kamu dah bersedia, baru kamu
boleh ambik alih. Papa bukan nak paksa kamu kerja sekarang,” terang Datuk
Jamaluddin.
Emir menggaru kepala yang tidak gatal.
“Baiklah, Pa. Emir nak kena buat apa?”
“Kalau macam tu, mulai esok Papa nak kamu ikut Papa ke chalet.”
Emir dan juga Irman melangkah keluar dari bilik bacaan bapa mereka.
“Aku ingatkan kenapa papa panggil kita. Rupanya sebab chalet tu. Malasnya,”
keluh Emir setelah pintu bilik ditutup. Mereka duduk di ruang tamu. Emir duduk
disebelah abangnya. Remote televisyen dicapainya.
“Mir.. kau tak kesian ke tengok Papa? Takkan aku sorang je yang nak kena
handle semua? Bagilah muka sikit kat aku. Tolong aku. Lagipun Papa dah berumur,
sepatutnya dia kena duduk rumah, berehat. Ni tak, terpaksa hadap benda yang
macam-macam.”
“Sepatutnya papa dah ada cucu kan?” Emir cuba mengubah topik. Sebenarnya
dia bukan tidak mahu bekerja di chalet papanya, cuma dia masih belum bersedia.
“Tengoklah kau tu, cuba nak tukar topik.”
“Umur kau dah tiga puluh, Along. Aku rasa baik kau kahwin. Nanti kalau dah
tua, bila aku nak dapat anak saudara?”
“Kau ni kan, memang suka ubah topik. Suka kenakan aku, kan?”
“Aku gurau jela. Garangnya! Takuttttt…” ejek Emir.
“Aku cakap lain, kau cakap lain. Kau betul ke nak ikut papa esok?” Irman
kembali ke topik utama.
Emir hanya tersengih. Sebenarnya dia tidak mahu, tapi sudah terlajak kata.
Terpaksalah dia mengikut, kalau tidak, habislah dia.
“Haaa.. kau jangan tak jadi pulak.”
Irman memandang muka adiknya itu. Nasiblah, Emir. Siapa suruh kau
pandai-pandai setuju tadi? Terlajak perahu masih boleh diundur, brother!
Emir mengangguk. Nak buat macam mana, nasi dah jadi bubur.
AZZALEA memandang ke langit biru. Nampaknya cuaca hari ini baik. Dia
tersenyum sendiri. Basikal yang tersandar di dinding rumah segera diambil dan
dituntun ke pintu rumah.
“Hari ni ada sebungkus je. Nanti jangan lupa ambil yang kotor. Kalau banyak
sangat boleh mintak Pak Hussin bawakkan,” kata Nek Limah setelah dia meletakkan
bungkusan cadar di carry belakang basikal Azzalea.
“Baik Opah!” Azzalea mengangkat tabik seperti seorang tentera.
Neneknya hanya tersenyum melihat telatah cucu kesayangannya.
“Lea pergi dulu ya, Opah,” Azzalea mencium tangan dan pipi neneknya.
“Baik-baik Lea,” pesan Mak Limah.
Risau benar dia apabila setiap kali Azzalea keluar menghantar cadar dan
tuala ke chalet. Sudahlah banyak bungkusan yang perlu dibawa. Mujurlah sekarang
ini bukan musim cuti. Jika tidak, pasti berbakul-bakul pesanan yang dihantar
dari chalet.
Azzalea hanya tersenyum. Cepat-cepat dia naik ke atas basikal dan mengayuh
basikal kesayangannya.
Dia melewati jalan menuju ke chalet. Segaris senyuman terukir di bibirnya.
Pemandangan yang indah di kiri dan kanan jalan sering mendamaikan hati Azzalea.
Alangkah indahnya hidup ini! Kenangan indah bersama-sama temannya mula
terbayang. Ya.. dulu dia dikelilingi rakan-rakan yang sayangkannya. Tapi tidak
lagi sekarang.
Sejak ibu bapanya meninggal dalam kemalangan lima tahun lalu,
rakan-rakannya tidak mahu lagi berkawan dengannya. Mujurlah ada Sarah yang
sering menemaninya. Sarah tidak pernah kisah dengan kata orang tentang Azzalea.
Dahulu orang suka pada Azzalea kerana ibu bapa Azzalea kaya, sebelum mereka
diisytiharkan muflis. Kerana tidak mahu menanggung malu, mereka membawa Azzalea
pulang ke rumah ibu kepada Ilyas, bapa Azzalea.
Biarpun begitu, Azzalea masih lagi gembira dengan hidupnya. Nek Limah
menjaganya dengan penuh kasih sayang, menyambung tugas ibu dan bapa Azzalea
untuk membesarkan Azzalea. Azzalea juga begitu. Dia terlalu menyayangi Nek
Limah, bahkan lebih daripada segalanya.
Tanpa disedari, akhirnya Azzalea tiba di Chalet BaySide, tempat dia harus
menghantar barangan chalet yang baru siap dicucinya. Kelihatan beberapa orang
lelaki muda berjalan di tepi-tepi jalan di dalam kawasan chalet itu dengan
memakai uniform biru.
“Hai, Lea!”
Teguran daripada salah seorang daripada lelaki itu membuatkan Azzalea
menekan brek basikalnya. Dia tersenyum ceria.
“Hai!” balas Azzalea senang.
“Banyak kain nak kena hantar? Kalau banyak, boleh Abang Zam tolong.
Kitaorang berlima ni tengah free. Boleh ke bawak sorang-sorang?” soal lelaki
yang menegur Azzalea sebentar tadi.
Azzalea pantas menggelengkan kepala.
“Tak apa, sikit je. Lea boleh bawak sendiri. Abang-abang semua rehatlah,”
ujar Azzalea.
Dia seboleh-bolehnya tidak mahu mengganggu Azam dan rakan-rakannya yang
lain berehat. Pasti mereka penat menguruskan chalet, fikirnya.
Azam dan rakan-rakannya tersenyum. Kenal benar mereka dengan si cantik
manis Azzalea. Sudah hampir lima tahun dia membantu Nek Limah menghantar serta
mengambil pakaian mahupun tuala-tuala dan cadar katil milik Chalet BaySide.
Azzalea memang seorang gadis yang baik dan disenangi oleh semua orang.
“Nazhan ada dekat room service. In case Lea nak jumpa dia,” sampuk Idlan
pula.
Azzalea dapat merasakan darah merah menyerbu naik ke mukanya. Ada-ada saja
Idlan!
“Kau ni, Lan.. malu Lea!” tegur Shahir apabila menyedari Azzalea sudah
tunduk merenung ke tanah. Malu agaknya apabila diusik begitu.
Idlan, Shahir, Azam, Juan dan juga Yusri masing-masing ketawa apabila bibir
Azzalea sudah pun membentuk muncung itik.
“Dahlah. Lea naik dulu. Mana ada Lea nak jumpa Abang Nazhan,” balas
Azzalea, masih muncung.
Azzalea kembali duduk pada seat basikalnya sebelum mengayuh pedal. Malas dia
mahu melayan lima sekawan itu. Mereka sangat terkenal dengan sikap mereka yang
suka mengusik Azzalea. Namun, mereka berlima jugalah yang menambah rencah dalam
resipi kehidupan Azzalea.
Kelima-lima mereka sudah bersahabat sejak sekolah rendah lagi. Mereka
masing-masing berusia dua puluh lima tahun. Azam dan Shahir adalah adik-beradik
kembar. Nama sebenar mereka ialah Khairil Azam dan Khairul Shahir yang merupakan
anak kepada seorang nelayan. Ibu mereka pula membuka kedai menjahit pakaian di
pekan. Ahmad Yusri Ad-Din yang lebih selesa di panggil Yusri pula adalah anak
kepada salah seorang tenaga pengajar di salah sebuah sekolah menengah di situ.
Manakala Idlan Khusyairi pula membesar tanpa seorang bapa di sisi. Ibunya
mempunyai kedai roti sendiri. Dan juga Juan. Nama sebenarnya bukanlah Juan,
sebaliknya Zahiril Annuar. Dia dikenali sebagai Juan dek kerana wajahnya yang
kacak membuatkan dia menjadi kegilaan para gadis, terutamanya pekerja BaySide
Chalet dan juga gadis-gadis yang menginap di situ. Dan disebabkan itu, dia
digelar Don Juan yang dalam kamus urban bermaksud ‘ladies’ killer’. Ya, kerana
ketampanannya yang mampu mencairkan hati setiap gadis. Sikapnya pula apabila
berdepan dengan perempuan, sama seperti ‘pijak semut pun tak mati’. A sweet
talker? Ya, dialah orangnya. Sama seperti Yusri, bapanya merupakan seorang
guru.
Sekacak manapun si Don Juan, Azzalea langsung tidak cair apabila melihatnya.
Semua gara-gara hati sudah dimiliki oleh Nazhan Hakim. Siapa pula Nazhan Hakim?
Azzalea menurunkan tongkat basikalnya dan menyandarkan basikalnya ke
sebatang pokok yang tinggi. Dia kemudiannya mencapai bungkusan kain yang
sebesar satu pemeluk itu. Semasa dia membawa bungkusan tadi, rupanya tidak ubah
seperti benggali karpet. Nasib badanlah. Namun dia tidak pernah segan dengan
kerjanya. Asalkan sumber dia mencari makanan itu datangnya dari rezeki yang
halal, cukuplah.
“Hoi, Lea! Kau baru sampai? Kau tahu tak, Mumu cari kau tadi? Katanya kau
lambat. Dia nak suruh budak-budak service tukar cadar baru,” sapa Athirah.
Biarpun adakalanya mulut Athirah tiada insurans, dia masih seorang gadis yang
baik.
Azzalea mengangkat bahu. Mumu memang suka mencari fasal! Siapa Mumu? Siapa
lagi kalau bukan Pengurus Bahagian Servis Bilik, Mardiana. Nama Mumu itu lahir
dari sikap Mardiana yang suka membebel ataupun nama penuhnya Mulut Murai.
Mereka hanya berani memanggil Mardiana sebagai Mumu di belakangnya sahaja.
Kalau dia dengar orang memanggilnya dengan nama Mumu, sah kena lempar ke laut.
Mumu memang garang!
“Aku baru lepas basuh satu guni tadi, kau tahu tak?” balas Azzalea sambil
bercekak pinggang.
Bungkusan cadar dan tuala yang tadinya dipegang diletakkan ke lantai. Hujung
kakinya menolak-nolak bungkusan itu.
“Eh, kau ni.. nanti Mumu nampak nanti, dia marah,” tegur Athirah apabila
melihat Azzalea menyepak-nyepak bungkusan itu.
“Tak takut,” balas Azzalea sambil menjelirkan lidah.
Baru sahaja mereka berdua ingin masuk ke dalam bilik menempatkan cadar,
tuala, sarung bantal milik chalet, Mardiana sudah pun berdiri di belakang
mereka dengan bercekak pinggang. Matanya tajam merenung Azzalea dan Athirah.
“Apa awak buat tu, Azzalea?!”
Sergahan Mardiana itu membuatkan Azzalea mengurut dada.
“Cik Mumu! Eh.. silap! Cik Mardiana,” ujar Azzalea tergagap-gagap apabila
matanya menangkap bayang Mardiana.
Mardiana masih lagi bercekak pinggang. Matanya mencerlung menikam wajah
Azzalea. Mumu? Baru sahaja dia ingin melangkah ke arah dua orang gadis itu,
langkahnya terhenti apabila terpandangkan Nazhan yang sudah pun berdiri di
sebelah Azzalea.
“Assalamualaikum,” sapa Nazhan.
Azzalea mula merasakan hatinya sudah kembali berbunga seperti tadi. Salam
Nazhan dijawab perlahan. Bibir mungilnya sudah mengukir senyum. Alangkah
indahnya dunia apabila Nazhan berada di depan mata. Sudahlah kacak, baik hati
lagi! Oh, Abang Nazhan, pujaan hatiku! Jantung, janganlah cair dekat sini. Azzalea kembali ke alam nyata
apabila Athirah menyiku lengannya.
“Hah? Apa dia?” soalnya pantas.
“Abang Nazhan tanya, dah makan ke?”
Azzalea segera menganggukkan kepala. Eh, bukan! Dia menggeleng pula.
Beginilah keadaannya apabila jejaka pujaan sudah berada di depan mata. Jika
tidak dikawal, mungkin juga hidung Azzalea sudah berdarah. Azzalea, Azzalea.
Nazhan mengukir senyum sebelum dia berjalan beriringan dengan Azzalea ke
kafe yang tidak jauh dari bilik servis itu.
DL's note - finally, Semua Untukmu dah keluar dekat blog DL! So, macam mana? Hahaha. A bit boring? Harharhar.. there's a long and far journey tau! Hope semua will be happy masa baca SU ni. Hihik. Jangan lupa tinggalkan komen! I have to go, TBA & HCT tengah menunggu next chapter. Till we meet again, take care! Sayang semua XOXO ^^ Salam.
***DL jumpa gambar ni masa meng-google, and DL suka. Hehe. Cantik, kennn? ^^ Credit to the original owner. :')
No comments:
Post a Comment