AUTHOR'S WORDS

Assalamualaikum wbt. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Note - These stories are not related to anybody. Kalau ada yang sama, tak disengajakan. Hohoho. 100 percent from my thoughts, my imagination. Copy right reserve goes to me. :) Nama dan watak, fictions. I got the photos from Google before I'm using it as my novels' cover. Thank you and credits to the owners of the pictures. :)

21, a daughter, a little sister. And I have a big dream :')

Selamat membaca~ ;)

Sunday, July 15, 2012

Tapi Bukan Aku 11


“AWAK ni lapar sangat ke? Ni pinggan kedua dah ni. Saya punya nasi ni, awak tak nak?”

Suara lelaki yang menyoal itu membuatkan Rania menghentikan suapan. 

Lelaki itu duduk bersandar sambil bola matanya merenung Rania yang sedang sibuk menyuap chicken chop ke dalam mulutnya. Rania mengetap gigi. Pantas ditenangkan hatinya. Irfan memang selalu begini. Ada sahaja ayatnya yang membuatkan Rania geram.

“Yalah.. Encik tahu tak saya belum makan lagi hari ni? Pagi tadi, saya bangun lambat. Saya sampai office pun pukul sembilan setengah. Macam mana nak makan? Lepas tu tengah hari saya kena siapkan kertas kerja sebelum jumpa dengan Mister Tan tadi. Tak sempat nak makan,” jawab Rania. Dia kembali menyambung suapan yang tergendala tadi.

Irfan tersenyum mendengar jawapan gadis itu. Ingatkan pendiam, rupanya banyak cakap. Ada saja jawapan yang diberikan apabila ditanya. Apa pun, dia harus mengikut kehendak Rania. Appointment pertama Rania sudah membuahkan hasil. Senang baginya untuk memujuk Mister Tan, pemilik syarikat yang memasarkan peralatan memasak jenama sendiri untuk melabur dalam projek Home Shopping untuk dikeluarkan ke luar negara. Rania bijak dan pandai berkata-kata. Jadi mudahlah untuk mereka mendapatkan wang pelaburan daripada para pelabur.

“Dah, Encik. Jom balik,” ajak Rania setelah jus tembikainya disedut hingga habis.

Mata Irfan tertancap pada wajah Rania. Ketawanya meledak tiba-tiba. Pakai baju punyalah feminin, sekali ada sos melekat di dagu. Jatuh saham! Irfan menghulurkan napkin kepada Rania sambil menunjuk-nunjuk dagunya sendiri pada Rania.

Rania meraba-raba dagunya. Geramnya! Segera napkin di tangan Irfan diambil lalu dilapkan ke dagunya.

“Dah habis gelak? Saya nak balik,” ujar Rania, mematikan tawa Irfan.

Irfan tunjuk muka tak puas hati. Rania mengangkat kening tanda kemenangan. Akhirnya mereka bangun dan keluar dari restoran mewah itu setelah Irfan membayar bil yang dicatatkan.

“Awak tunggu sini. Saya nak ambil kereta. Jangan lari pulak.”

Rania mencebik apabila Irfan terus berjalan meninggalkannya. Rania berdiri tegak, memandang sekeliling. Tiba-tiba pandangannya jatuh pada seraut wajah yang sangat dirinduinya. Lelaki itu nampak kacak seperti biasa. Kemeja merah dipadankan dengan sehelai seluar hitam. Nampaknya Danny hidup gembira, desis hati Rania.

Kelihatan Danny duduk dengan dua orang lelaki dan seorang perempuan di sebuah meja, di bahagian luar restoran. Mungkin dia juga ada perbincangan dengan pelanggan syarikatnya. Wajahnya nampak ceria dan tidaklah semendung wajah Rania saat ini. Hatinya kata rindu, namu satu pun panggilan Danny tidak dijawab. Biarlah. Lama-lama nanti, Danny pasti akan lupakan dirinya.

Rania tersentak apabila sebuah kereta yang berhenti betul-betul di sebelahnya membunyikan hon.

“Awak nak duduk dekat sini je ke? Tak nak masuk?”

Rania akur. Pintu kereta putih itu dibukanya, lalu dia meloloskan diri ke dalam kereta. BMW 325i Coupe itu terus meluncur membelah jalan raya.


DANNY memanjangkan leher, mengintai-intai wajah gadis yang berdiri di sebelah sebuah kereta jenis BMW. Gadis itu masuk ke dalam kereta tanpa sempat Danny melihat wajah gadis itu. Akhirnya, kereta itu bergerak meninggalkan kawasan restoran itu.

“Kenapa ni, Encik Danniel?” tanya Encik Chua, pelanggannya.

“Oh, tak ada apa-apa. Cuma saya ingatkan kawan saya tadi,” balas Danny sambil tersenyum. “Silalah,” pelawanya lagi.

Danny menyuapkan sepotong puding trifle ke mulutnya. Makanan kegemaran Rania. Ya, dia yakin, gadis tadi adalah Rania. Tetapi, siapakah pemilik kereta tadi? Danny malas mahu berfikir yang bukan-bukan tentang Rania. Akhinya dia makan bersama pelanggan syarikat bapanya dengan bermacam jenis persoalan.


SESEKALI Irfan mencuri pandang ke arah Rania yang berada di sebelahnya. Baru sahaja tiga hari bekerjasama dengan Rania, dia sudah berasa selesa dengan gadis itu. Selesa untuk bekerja. Tiada pula perasaan yang pelik-pelik timbul. Cuma selesa dengan gadis itu. Dia sendiri pun tidak tahu mengapa. Biasanya, sukar untuk dia bekerjasama dengan sesiapa, termasuklah sewaktu di awal permulaan persahabatannya dengan Azli dan Shamer. Tetapi berbeza pula dengan Rania. Dia senang dengan gadis itu, seperti sudah bertahun lama kenal dengan gadis itu.

Wajah Rania yang ceria sudah berubah muram. Tidak lagi seperti tadi. Pandangan matanya juga ditebarkan keluar dari tingkap kereta Irfan. Irfan sebenarnya hairan akan perubahan sikap Rania, tetapi sengaja tidak disuarakan. Dari tadi, hanya kesunyian yang menemani perjalanan mereka. 

Irfan mengerling jam di dashboard. Sudah pukul empat suku petang.

“Saya hantar awak balik. Rumah awak dekat mana?” soal Irfan.

Rania menoleh ke kanan, melihat ke arah Irfan yang sedang memandu.

“Tapi, kereta saya ada dekat office. Esok saya nak naik apa kalau Encik hantar saya balik?” soal Rania kembali.

Bercakap pun. Ingatkan suara dia dah kena curi dengan itik.

“Biasanya awak keluar pergi kerja pukul berapa? Sampai office pukul berapa?”

Rania menggosok-gosok dagunya. Berfikir sejenak.

“Biasanya, saya keluar naik kereta pukul tujuh setengah. Sampai office pukul lapan or lapan suku. Depends pada keadaan jalanlah. Kenapa Encik tanya?”

“Tunjuk jalan rumah awak.”

“Encik drive terus. Nanti ada traffic light kat depan ni, Encik turn left. Ada apartment dekat sebelah kanan jalan. Situlah rumah saya,” jawab Rania.

Irfan hanya mengikut sahaja. Nampaknya, rumah Rania dan rumahnya ada di jalan yang sama. Cuma bezanya, rumah Irfan lebih jauh. Lebih kurang lima kilometer daripada rumah gadis itu.

“Esok naik bas. Sini mesti banyak bas,” ujar lelaki itu apabila mereka sampai di depan pagar apartment itu.

Rania membulatkan mata. Naik bas? Tidak pernah sekalipun dalam hidupnya dia menaiki bas. Kalau aku tahu tadi, baik suruh dia hantar ke office, guman Rania dalam hati. Tali pinggang keledar ditanggalkan.

“Kalau tak pun, naik teksi aje. Dekat depan ni banyak teksi. Awak keluarlah macam awak biasa keluar pergi office,” usul Irfan.

Rania menelan air liur. Geram pun ada rasanya sekarang. Dia keluar dari kereta, lalu kereta itu terus meluncur melepasinya. Rania mengangkat tangannya seolah-olah ingin memukul Irfan. Rania berjalan masuk ke kawasan apartment dengan hati yang mendongkol geram.


IRFAN yang berada di dalam kereta ketawa geli hati. Tidak sabar rasanya ingin pulang ke rumah. Ingin tidur.

Tiba-tiba, bayangan wajah Tengku Azhar menjelma di minda. Apabila teringatkan pelawaan bapanya, hati Irfan dilanda seribu rasa. Jika tidak pulang ke rumah, pasti ibunya berkecil hati. Dia tahu dosanya ingkar pada ibu bapa. Dia tidak mahu digelar sebagai anak derhaka. Tetapi, kata-kata ibunya dua belas tahun yang lalu masih berbekas di hatinya.

“Kau pergi! Anak tak guna. Aku tak ada anak lain selain Fariz. Aku malu ada anak macam kau!” jerkah Datin Azyan.

Irfan yang baru ketika itu berusia empat belas tahun meraung kesakitan apabila batang penyapu mengenai tubuhnya buat kesekian kalinya.

“Sudahlah, Yan. Mati nanti Irfan ni,” halang Tengku Azhar.

“Abang tahu tak, dia malukan Yan depan kawan-kawan Yan. Mereka kata Yan tak pandai besarkan anak sampai anak Yan bergaduh dengan orang, masuk penjara. Sepatutnya dulu Yan tak lahirkan dia!”

“Yan!” tempelak Tengku Azhar. Walaupun dia marah dengan Irfan, namun tidak pernah sekalipun dia menyesali akan kehadiran Irfan ke dunia ini.

Berdesing telinga Irfan mendengar kata-kata ibunya. Fariz yang berada di belakang ibunya tertawa suka melihat tubuh abangnya yang sudah lebam-lebam dan luka. Air mata Irfan mengalir juga. Dia tidak kisah jika dipukul. Kesakitan akibat pukulan itu langsung tidak membuatkan dia ingin menangis. 

Tetapi, apabila ayat itu yang keluar dari mulut ibunya, dia berasa sedih. Benar-benar sedih. Apa dosa Irfan, Ma?

Irfan mengeluh perlahan. Masih ada lagi parut di perutnya sewaktu dia dipukul dengan rotan oleh ibunya. Dengan tidak sengaja, rotan itu terbelah dua lalu bahagian tepi rotan itu menghiris sebahagian perutya. Mujurlah tidak sedalam mana. Cuma parutnya masih kekal ke hari ini. Parut sepanjang sepuluh sentimeter itu sentiasa mengingatkan dirinya tentang kebencian ibunya. 

Kesedihan yang berbekas di hatinya sama seperti parut yang melekat pada perutnya.

Irfan meneruskan pemanduan sehingga dia tiba di kondominiumnya. Langkah kaki segera dihayun agar cepat tiba di rumah.


“YA, Atuk. Sabtu ni Nia balik. Tapi mungkinlah tengah hari. Nia kerjalah hari Sabtu. Separuh hari,” jawab Rania ceria.

“Yalah, yalah. Nanti Atuk suruh Mak Su Nia masak sedap-sedap untuk Nia. Bising semua orang. Baru seminggu tinggalkan rumah, semua dah rindu pada Nia,” ujar datuknya.

“Nia pun rindu rumah. Tak sabar nak balik.”

“Jangan tak balik pulak. Nanti jenuh orang menunggu. Atuk nak ke masjid ni. Nia tu jangan lupa solat, ya. Solat tu nombor satu,” pesan Tuan Haji Ihsan.

Rania tersenyum. Talian diputuskan setelah salamnya dijawab oleh Tuan Haji Ihsan. Lega rasanya dapat mendengar suara datuknya itu. Segala keletihan yang dirasainya terbang melayang apabila terdengar suara Tuan Haji Ihsan. Ya, Atuk. Nia tak lupa pesan Atuk. Tapikan Atuk, sekarang Nia tengah holiday, balas Rania dalam hati.

Hatinya gembira saat ini, memikirkan datuk tersayang. Tiba-tiba dia teringatkan pesan Irfan tadi. Naik bas? Naik teksi? Rania mengeluh geram. Mahu saja dicili-cili mulut lelaki itu. Sesuka hati menyuruh Rania melakukan itu ini, walhal itu bukanlah ada kaitan dengan kerja. Terasa mahu saja diambil keretanya sekarang juga. Tetapi hari sudah senja. Nak naik apa pulak? Rania mengetap gigi. Geram dengan Irfan.


IRFAN memberhentikan kereta betul-betul di hadapan pagar biru itu. Pengawal keselamatan yang berada di pondok pengawal mengangkat tangan ke arahnya. Dia juga turut melakukan hal yang sama kepada pengawal keselamatan itu. Jam sudah menunjukkan pukul tujuh suku pagi.

Tak apalah, katanya lebih kurang tujuh setengah pagi, getus Irfas. Perutnya sudah lapar. Pelbagai lagu sedang didendangkan dari dalam perutnya. Keroncong, zapin, balada dan rock bercampur-campur.

Lebih kurang sepuluh minit menunggu, kelibat seorang gadis berbaju kurung ungu kosong berjalan sendirian. Irfan menghidupkan enjin apabila terlihatkan Rania berjalan menghampiri pagar. Rania berjalan keluar dari pagar lalu kakinya melangkah menuju ke arah sebuah pondok menunggu bas. Irfan tersenyum. Mendengar kata juga gadis itu. Keretanya mula bergerak perlahan menuju ke arah pondok itu.

Keretanya diberhentikan sekali lagi. Tetapi kali ini betul-betul di hadapan pondok menunggu bas itu. Semua mata yang berada di situ memandang ke arahnya. Irfan buat-buat tidak peduli. Cermin kereta di sebelah tempat duduk pemandu diturunkan.

“Rania Insyirah, get in,” Irfan bersuara, memanggil nama Rania.

Rania menunduk, mencari wajah si pemandu. Oh! Tengku Hariz Irfan rupanya. 
Punyalah rajin dia panggil aku Rania Insyirah, gerutu Rania. Mereka yang berada di pondok perhentian bas mengalih pandangan kepada Rania pula.

“Cepatlah. Kejap lagi bas berhenti,” panggil Irfan lagi.

Rania cepat-cepat berlari mendapatkan kereta Irfan apabila matanya terpandangkan sebuah bas Rapid KL yang berada lebih kurang tiga puluh meter daripada pondok menungggu bas itu.

“Awak dah makan?” tanya Irfan setelah keretanya sudah kembali meluncur di atas jalan raya yang sudah mula dipenuhi dengan kereta-kereta dan pengangkutan awam.

“Belum lagi,” jawab Rania pendek.

“Saya pun belum makan. Kita pergi breakfast dulu before kita ke office,” ujar Irfan, tanpa meminta pendapat Rania.

Rania mengeluh. Kalau itu katanya, terpaksalah Rania akur. 

No comments: