HARI
ini merupakan hari pertama Zarif ke kolej selepas sah bergelar pelajar di Kolej
STAR itu. Dengan rasa berat hati yang bertimpa-timpa, Zarif bangun juga pagi
itu untuk ke kuliah. Kuliah pertama hari ini jam sembilan pagi hingga sebelas
pagi. Kuliah kedua pula jam empat hingga enam petang.
Pagi
tadi, bising ibunya, berleter itu dan ini apabila anak bujangnya masih belum
mahu bangun dari tidur. Sengaja Zarif ingin bangun lewat sedikit memandangkan
kuliahnya tidaklah seawal jam lapan pagi. Disebabkan bebelan Puan Sri Aisyah
yang seolah-olah tidak ingin berhenti, Zarif mengaku kalah. Awal-awal lagi dia
sudah bangun, mandi dan makan. Jam lapan setengah pagi tadi barulah dia
bergerak ke kolej memandangkan kolej dan rumahnya tidaklah terlalu jauh.
Zarif
berjalan perlahan di jalan yang menghubungkan dewan-dewan kuliah di tingkat
satu itu. Pening kepalanya mencari Dewan Kejuruteraan Elektrik 4. Zarif
menghampiri seorang pelajar lelaki yang sedang berjalan melepasinya.
“Saya
nak tanya, DKE 4 dekat mana ya?” tanya Zarif sambil menggaru-garu kepalanya.
“Student
baru ke?” tanya pelajar lelaki yang memakai kemeja T berkolar warna hitam itu.
Zarif
hanya mengangguk, mengiakan pertanyaan pelajar itu.
“Kalau
macam tu, ikutlah saya. Saya pun nak ke sana,” ujar pelajar itu.
Zarif
tersengih. Langkah kaki pelajar itu diikutnya.
“Hafiz,”
ujar Hafiz, memperkenalkan dirinya kepada Zarif apabila mereka sudah sampai di
hadapan pintu Dewan Kejuruteraan Elektrik 4 itu.
Zarif
menyambut huluran tangan Hafiz.
“Zarif.”
Hafiz
mengangguk perlahan. Mereka sama-sama masuk ke dalam dewan kuliah yang besar
itu. Zarif menoleh sekeliling sambil matanya menyorot di setiap ruang dalaman
dewan itu. Hafiz yang berada di hadapan mengambil tempat duduk di bahagian
tengah dewan.
Semua
mata-mata di dalam dewan itu meneliti Zarif yang sedang berjalan melepasi
mereka. Ada juga pelajar-pelajar perempuan yang mula mengeluarkan cermin dan
bedak untuk menempek-nempek lagi bedak yang sudah sepuluh inci tebal. Zarif
tidak peduli dengan mereka. Dia mengambil tempat di sebelah Hafiz.
“Dulu
kau belajar dekat mana?” soal Hafiz. Dia sibuk mengeluarkan buku dari dalam beg
sandangnya.
“Jepun,”
balas Zarif sambil tersengih.
Hafiz
menunjukkan riak kagum. Pasti Zarif bukan calang-calang orang. Jika begitu,
bolehlah dia belajar dengan Zarif kelak.
Bilik
yang tadinya sunyi sepi tiba-tiba bingit dek suara bunyi manusia-manusia di
dalam bilik itu yang sedang ketawa terbahak-bahak. Zarif dan Hafiz memandang ke
depan. Kelihatan seorang pelajar perempuan sedang berjalan masuk ke dalam dewan
itu. Sama seperti semalam, pakaiannya masih lagi pelik. Gadis itu mengambil
tempat di barisan ketiga dari depan, duduk sendirian.
“Siapa
dia tu?” tanya Zarif.
“Itu?
Zara Sofea Jamaluddin. Namanya cantik, tapi orangnya tak secantik nama. Kata
oranglah,” jawab Hafiz. Pandangan matanya menyorot pada gadis yang sedang duduk
jauh di hadapan mereka.
“Dia
ambil kuliah ni jugak ke?” tanya Zarif kehairanan.
Hafiz
menggeleng perlahan.
“Entahlah.
Bila aku masuk je kelas ni, dia mesti ada. Aku tak tahulah. Dia tu baru je
semester tiga. Dah masuk kelas ni. Hebat dia tu. Pandai,” ujar Hafiz.
Zarif mengangguk. Soalan yang ingin ditanya lagi mati begitu sahaja apabila seorang pelajar lelaki dari tempat duduk belakang bangun dari tempatnya dan duduk di sebelah Zara. Zara hanya diam berteleku di tempat duduknya. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arah lelaki itu. Mungkin itu teman lelaki Zara Sofea, bisik hatinya. Tidak disangka Zara yang nampak nerd itu sudah punya teman lelaki.
SEPERTI
biasa, Zara akan ke perpustakaan untuk mencari buku-buku sebagai rujukan. Buku-buku
di rumahnya sudah banyak, tetapi masih banyak lagi yang perlu dipelajarinya.
Zara membawa buku-buku yang agak tebal itu ke meja yang masih kosong. Zara
mengambil tempat. Pelajar-pelajar yang tadinya duduk di meja itu terus bangkit
dan meninggalkan meja yang diduduki Zara. Zara hanya mengangkat bahu. Buku-buku
yang ada di depan mata mula diselak satu persatu.
“Hai!”
Zara
mencari siapa yang menegurnya. Kelihatan seorang pemuda berdiri di
hadapannya. Dia seolah-olah kenal dengan manusia ini. Tetapi dia tidak pasti
siapa.
Lelaki
itu tersenyum dan menarik kerusi di hadapan Zara. Dia turut membuka buku,
tetapi bukan buku yang berkaitan dengan pelajaran. Mungkin novel. Di kulit
depan buku yang agak tebal itu, ada beberapa patah perkataan yang ditulis
menggunakan bahasa Jepun. Zara kembali menatap buku di tangannya.
“Awak
dah beli spec baru?”
Soalan
yang meluncur keluar daripada mulut lelaki itu membuatkan Zara ternganga.
Jadi.. dialah orangnya?
Zara
menjeling geram. Dia tidak mahu bertentang mata dengan lelaki yang sedang duduk
menghadapnya sekarang ini. Zara kembali meneliti buku-buku yang diambilnya
sebentar tadi.
“Awak
ni.. tak baik tau layan orang macam ni. Bila orang tanya, jawablah. Kesian
saya, lama tunggu jawapan awak.”
Suara
itu kembali mengganggu deria pendengaran Zara. Apa lagi mamat ni nak?
“Saya
tengah sibuk. Jadi, apa kata kalau awak jangan ganggu saya. Library bukannya
tempat untuk awak temu ramah orang. Library tempat membaca, mengulangkaji,”
balas Zara sinis.
Entah
mengapa, Zara terlalu malas untuk bertentang mata dengan Zarif yang tersenyum
memandangnya.
Zarif
mengukir senyum. Kata Hafiz, Zara merupakan pelajar yang terkenal di kolej itu
memandangkan sikapnya yang pelik dan kera sumbang. Disebabkan itu, ramai
pelajar yang tidak mahu berkawan dengan Zara. Jika ada sesiapa yang berkawan
dengan Zara, pasti mereka akan dikutuk habis-habisan oleh pelajar lain. Bagi
Zarif, gadis yang bernama Zara Sofea ini memang agak pelik. Tetapi, tidak salah
jika dia ingin mencuba menjadi rakan Zara. Dia ingin sekali mendekati gadis
yang sudah dilabel sebagai gadis pelik di kolej itu.
“Saya
nak berkawan dengan awak,” ujar Zarif apabila kata-katanya langsung tidak
disambut oleh Zara.
Zara
yang sedang menulis pada buku notanya kaku buat sesaat. Dia kemudiannya
menyambung kerjanya semula.
“Buat
apa nak kawan dengan saya? Takkanlah awak tak pernah dengar cerita fasal saya?”
soal Zara tanpa memandang ke arah Zarif.
Zarif
masih lagi tersenyum.
“Pernah.
Nama awak Nur Zara Sofea binti Jamaluddin. Awak tak ada kawan, sebab awak
sangat pelik. Nama glamour awak Hannah Mentadak dan Clown. Awak pelajar bijak
yang baru berada di semester ketiga. Awak suka pakai baju pelik-pelik.”
Jawapan
Zarif membuatkan Zara tersenyum sinis. Begitu terukkah dirinya?
“Itu
aje?” tanya Zara lagi.
Zarif
mengangguk.
“Tapi
awak tak pernah dengar ke fasal saya makan jantung orang hidup-hidup? Saya
tangkap orang, lepas tu saya kurung dalam bilik bawah tanah dekat rumah saya.
Lepas tu saya bunuh orang tu,” ujar Zara sambil menjegil-jegilkan biji matanya.
Tangannya digawang-gawangkan ke udara sambil menggayakan seolah-olah dia sedang
mencekik seseorang.
Zarif
terkejut. Dia menelan air liur buat beberapa kali sebelum tersengih.
“Takkanlah.
Betul ke awak buat semua tu?”
Zara
ternganga. Dia kemudiannya menggeleng, disebabkan dia tidak mampu percaya
dengan soalan yang baru sahaja didengarnya. Buku-buku di hadapannya dikemas
semula. Moodnya untuk membaca sudah mati begitu sahaja disebabkan oleh
kehadiran lelaki itu. Muka handsome, tapi tak reti nak bezakan antara yang
betul atau tak, desis hati Zara. Dia kemudiannya bingkas bangun dan
meninggalkan Zarif sendirian.
Zarif
bersandar pada kerusi. Langkah Zara hanya dihantar dengan pandangan matanya
sahaja. Benar kata Hafiz. Bukan mudah untuk mengajak gadis pelik itu berbual.
Mengapa agaknya Zara begitu sombong? Soalan itu terus berlegar-legar dalam
kotak fikiran Zarif.
No comments:
Post a Comment