AUTHOR'S WORDS

Assalamualaikum wbt. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Note - These stories are not related to anybody. Kalau ada yang sama, tak disengajakan. Hohoho. 100 percent from my thoughts, my imagination. Copy right reserve goes to me. :) Nama dan watak, fictions. I got the photos from Google before I'm using it as my novels' cover. Thank you and credits to the owners of the pictures. :)

21, a daughter, a little sister. And I have a big dream :')

Selamat membaca~ ;)

Friday, July 6, 2012

Di Sampingmu [17]


“HAN! How are you?”

“Sihat, alhamdulillah. You?” tanya Adam Farhan kembali. Wajah putih kemerahan itu ditenungnya dalam-dalam.

Dahulu, Diana tidak seperti sekarang. Kalau dulu, dia suka berpakaian seperti lelaki, malah lagaknya juga tidak kurang hebat, persis lelaki sejati. Di saat Adam Farhan jatuh sewaktu mereka turun dari mendaki Gunung Kinabalu, Dianalah yang mengendongnya sehingga ke kaki gunung. Diana yang merawat lukanya, Diana yang mengajarnya memanjat pokok dan boleh dikatakan tanpa Diana, dia tidak tahu melakukan apa-apa. Pendek kata, Dianalah tempat dia bergantung.

Kini, Diana mengenakan skirt dan lebih feminin berbanding dulu. Tiada lagi topi yang menghiasi kepalanya. Sudah berganti dengan rambut panjang yang disanggul kemas. Selipar jepun pula sudah digantikan dengan kasut tumit tinggi.

“Hey! Apa yang you tengok tu? Tak berkedip mata,” tegur Diana. Tangannya dilayang-layangkan di depan muka Adam Farhan.

“Oh..sorry,” Adam Farhan meraut wajah. “Tak ada apa-apa. I try recall our pasts. Lama betul tak jumpa.”

Diana tersenyum. Ingatkah lagi dia sewaktu dia meluahkan perasaannya yang pernah ditolak Diana dahulu?

“So, how’s your life? Macam mana dengan wife?”

Dengar sahaja perkataan isteri, terus bibirnya mengukir senyum. Adam Farhan membuang pandang ke luar tingkap kaca pejabatnya.

“I’m happy with her. Walaupun dia still young, dia pandai jaga I. Dia tak banyak karenah. Bila I mintak dia belajar buat Korean cuisines, dia ikut je. Belajar dengan mama I. Alhamdulillah, dia dah pandai buat tu semua,” jawab Adam Farhan jujur.

Diana mula berasa kurang senang. Kalaulah dulu dia tidak pergi meninggalkan 
Adam Farhan, sudah pasti dia yang merasakan kebahagiaan itu. Baru sahaja. Diana ingin membuka mulut untuk bertanya lebih banyak mengenai lelaki itu, pintu pejabat Adam Farhan dibuka dari luar.

“Sorry Han, Diana. Aku baru balik dari meeting. Tu yang lambat tu,” tegur Saiful.

Saiful duduk di sofa yang masih kosong. Fail-fail ditangan diletakkan ke meja.

“Can we start right now?”

Adam Farhan membuka fail yang diterima. Perbincangan dimulakan.


ADELIA QAISARA ligat menekan-nekan papan kekunci komputer. Dia ingin menyiapkan tugasan yang diminta oleh supervisor sebentar tadi. Bibirnya tidak henti-henti menyanyi, sedangkan tiada suara yang terkeluar dari kerongkongnya. Lagu My Angel nyanyian kumpulan duo Fly To The Sky terngiang-ngiang di telinga. Setiap kali dia mengulangkaji pelajaran atau pun menyiapkan assignment, dia pasti akan mendengar lagu. Hanya dengan cara itu dia lebih senang ingat akan segala yang dipelajari. Dia sudah siap dengan kerjanya. Kertas-kertas yang mencetak hasil kerjanya keluar perlahan-lahan dari mesin pencetak. Adelia Qaisara tersenyum gembira. Sebentar lagi, dia akan menulis tentang apa yang dipelajarinya hari itu ke dalam buku laporan hariannya.

“Adelia Qaisara!”

Terjengul wajah Encik Hafiz, ketua bahagiannya.

“Ya, encik.”

Adelia Qaisara mengangkat wajah.

“Awak hantar coding dengan programming yang awak buat tadi pada big boss, Encik Adam. Lepas tu, tolong hantar fail ni sekali. Ini laporan practical students untuk last week. Awak tolong hantarkan, ya?” ujar Encik Hafiz.

“Okey, encik,” balas Adelia Qaisara.

Fail yang ditinggalkan di atas mejanya diambil. Kertas-kertas yang siap dicetak dimasukkan ke dalam fail. Dia mendakap fail itu ke dada dan bergerak ke lif. Pejabat Adam Farhan dan pegawai atasan terletak di tingkat atas. Adelia Qaisara ditempatkan di tingkat dua puluh satu, manakala pejabat Adam Farhan terletak di tingkat dua puluh tiga.

Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Adelia Qaisara memboloskan diri masuk ke dalam lif. Manusia-manusia yang berada di dalam lif itu memandang ke arah Adelia Qaisara. Seperti biasa, pekerja-pekerja perempuan memandangnya sinis. Pekerja-pekerja lelaki pula tidak habis-habis ingin menatap wajah Adelia Qaisara. Adelia Qaisara tidak mahu mengambil pusing akan kehadiran mereka. Baginya, dia ada di syarikat itu bukan kerana ingin mendampingi suaminya, sebaliknya ingin menjalankan tugasnya sebagai seorang pelajar yang harus melakukan latihan industri.

Terbuka sahaja pintu lif, Adelia Qaisara menapak keluar.

“Cik, Encik Adam ada? Saya nak hantar report,” tegur Adelia Qaisara sopan, setelah menghampiri meja setiausaha Adam Farhan. Tertulis nama Zahira pada plak nama yang diletakkan di atas mejanya.

“Encik Adam ada dekat dalam. Tapi dia ada discussion dengan client. Hmm.. cik masuk jelah. Letak je fail tu dekat meja Encik Adam. Lepas tu, cik keluarlah,” balas gadis yang nampak lebih tua daripada Adelia Qaisara.

Setelah mengucapkan terima kasih, Adelia Qaisara berjalan ke arah bilik Adam Farhan yang berdindingkan kaca dan ditutup dengan bidai. Adelia Qaisara kaku. Dari celah-celah bidai yang sedikit terbuka, dia ternampak Saiful, Adam Farhan dan seorang wanita cantik sedang berbual-bual. Sesekali, wanita itu melirik manja ke arah Adam Farhan. Tangannya juga menampar-nampar bahu Adam Farhan. Jarak antara tempat duduk mereka, jangan cakaplah. Semut pun tak mampu menyelit tengah-tengah tu. Adam Farhan pula nampak seronok apabila perempuan itu menampar bahunya.

Adelia Qaisara menghela nafas. Cemburukah dia? Tidak pernah Adam Farhan bergurau dengannya seperti itu. Jauh di sudut hati, dia mula rasa terasing. Digagahkan juga kakinya melangkah. Kasut tumit tingginya seolah-olah tidak bergerak sewaktu dia menghayun langkah. Pintu bilik Adam Farhan diketuk. Tiada respons. Jelas kelihatan Adam Farhan masih sibuk dengan perbincangannya. Adelia Qaisara melangkah masuk.

“Han, worker you. Nak hantar fail kot,” Diana menepuk bahu Adam Farhan setelah dia terpandangkan Adelia Qaisara yang mematung di muka pintu.

Han? Worker? Adelia Qaisara menelan air liur. Terasa pahit dan kesat air liurnya. Dia berharap agar Adam Farhan yang membelakanginya menoleh ke arahnya.

“Letaklah fail atas meja tu,” balas Adam Farhan tanpa melihat ke arah Adelia Qaisara.

Adelia Qaisara masih lagi kaku. Fail ditangan digenggam erat. Mencari sedikit kekuatan. Kenapa dengan Adam ni? Tak pandang aku langsung, getus hati Adelia Qaisara.

“Can’t you hear what just your boss said? Just leave the file on the table. Got it?” Diana mengerutkan dahi. Pekerja itu masih belum bergerak dari tempatnya.

Kenapa Abang Saiful dengan Adam Farhan langsung tidak berpaling menghadap aku?

“You.. kenapa dengan pekerja you ni? Is she deaf?”

Pekak pulak. Terguris hatinya mendengarkan kata-kata itu. Belum pernah dia menerima kata-kata begitu. Selama ini, walaupun Syakilla begitu benci padanya, Syakilla tidak pernah berkata sesuatu seperti itu.

“Zahira, just leave the file there. Nanti saya tengok,” sampuk Adam Farhan.

“Maaf cik. Kami ada discussion. Can leave us alone? We don’t need you here,”  Diana mula meninggikan suara. Apa kenalah budak ni? Keras macam patung.

Adelia Qaisara berpusing. Sewaktu ingin meletakkan fail yang berisi laporan dan hasil kerjanya, secara tidak sengaja dia terlanggar frame gambar yang berada di meja itu. Fail itu tidak jadi diletakkan ke meja suaminya. Cepat-cepat Adelia Qaisara mengutip serpihan kaca yang bersepah di lantai.

“Hey!” jerit Adam Farhan. “What are you doing? Did you just broke..”

Adam Farhan terkaku apabila terlihatkan gadis yang baru sahaja dimarahinya itu adalah isterinya sendiri.

Dek kerana terkejut dengan sergahan Adam Farhan, sekeping kaca tertusuk ke tapak tangan Adelia Qaisara. Dia menyeringai kesakitan. Gambar perkahwinan mereka diletakkan ke atas meja itu kembali. Masih ada serpihan kaca yang tertinggal di lantai.

“Encik Adam, ini fail laporan pelajar praktikal. Kerja yang Encik mintak saya siapkan pun ada dalam fail ni,” ujar Adelia Qaisara, menahan sebak yang semakin mencucuk tangkai hatinya.

Dia bangun dan meletakkan fail itu ke meja. Kakinya laju sahaja dihayunkan menuju ke luar pintu.

“Adelia!” panggil Saiful.

Adelia Qaisara langsung tidak menghiraukan panggilan Saiful. Biarpun tapak tangannya pedih, biarpun kaca masih belum dikeluarkan, Adelia Qaisara tetap meneruskan langkah. Air matanya mengalir juga di saat dia masuk ke dalam lif. Mujurlah tiada sesiapa yang berada di dalam lif itu. Adelia Qaisara sempat mengambil beg tangannya sebelum meninggalkan bangunan tiga puluh tingkat itu.


“HAN! Itulah kau,” marah Saiful. Matanya terarah pada Adam Farhan yang berjalan ke mejanya.

“Kenapa?” soal Diana, kehairanan.

“Aku tak tahu itu dia. Aku tak tahu. Aku ingatkan Zahira,” balas Adam Farhan, tanpa menghiraukan pertanyaan Diana.

Dia membongkok, mengutip serpihan kaca yang masih berbaki. Dibuangnya ke dalam tong sampah. Gambar perkahwinannya dua bulan lalu ditatap. Ada titisan-titisan merah yang masih basah melekat pada permukaan gambar itu. Adam Farhan meneliti fail yang diberikan oleh Adelia Qaisara tadi. Di fail itu juga ada kesan-kesan cecair warna merah. Adam Farhan memusingkan kerusinya ke belakang. Dalam tong sampah itu juga ada kesan yang sama. Darah!

Adam Farhan mencari-cari telefon bimbitnya. Nombor telefon Adelia Qaisara didail. Tiada jawapan. Adam Farhan cuba menghubungi isterinya sekali lagi. Masih belum bersambut.

“Saiful, aku pergi cari dia dulu.”

“Eh, bawak beg kau sekali, Han. Dah nak dekat time balik ni,” ujar Saiful.

Adam Farhan cepat-cepat mencapai briefcasenya. Dia berlari keluar dari pejabatnya.

“Kenapa?” tanya Diana.

“She is his wife,” balas Saiful sinis. Kalau bukan kerana Diana, pasti ini semua tidak terjadi.


“SAKITNYA!” jerit Adelia Qaisara. Air matanya masih lagi mengalir. Dia masih mencuba mengeluarkan serpihan kaca yang melekat pada tapak tangan kanannya. Sakit kerana luka tidak sebisa sakit kerana menerima tengkingan Adam Farhan. Kalau tak sengaja pun, tengoklah dulu siapa yang dia marah, sungut Adelia Qaisara dalam hati. Tisu yang berada di antara gigi atas dan gigi bawahnya digigit semakin kuat. Satu, dua, tiga!

“Aduhhhhhhh!” jerit Adelia Qaisara apabila kaca itu berjaya dikeluarkan. Peluh di dahi semakin galak merembes. Air matanya juga turut mengalir. Darah yang banyak mengalir membuatkan Adelia Qaisara mual. Paip sinki di bilik airnya dibuka. Tapak tangannya dibasuh dengan air bersih. Giginya diketap kuat apabila air paip itu menyentuh lukanya yang semakin pedih. Kepalanya berdenyut-denyut, pandangannya gelap tiba-tiba.


ADAM FARHAN mencampakkan briefcasenya ke sofa. Dia turut menghempaskan tubuh ke sofa itu. Rambutnya yang kemas bersikat sudah pun berserabai. Tali lehernya dilonggarkan.

“Where are you, Adelia?” bisiknya.

Sudah seharian dia mencari Adelia Qaisara, namun masih belum berjumpa. Jam di dinding sudah menunjukkan jam sembilan dua puluh minit malam. Adam Farhan bangun dan melurut rambutnya ke belakang. Dia bangun, bergerak ke bilik, ingin mandi.

Adam Farhan masuk ke dalam bilik. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi air yang sedang mengalir. Adelia ke tu?

Adam Farhan berlari masuk ke bilik air.

“Ya Allah! Adelia!!” jerit Adam Farhan di muka pintu bilik air.

Jelas dia terperanjat. Isterinya terbaring di lantai bilik air. Tangannya kirinya dan lantai di sekitarnya sudah dipenuhi darah. Cepat-cepat Adam Farhan mencempung tubuh isterinya, lalu dibawa keluar dari bilik air. Sehelai tuala yang tersangkut di rak penyangkut tuala diambil lalu dibalut pada tangan isterinya. Adelia Qaisara ditinggalkan sebentar di katil. Adam Farhan masuk kembali ke bilik air untuk mencuci darah yang masih tertinggal. Keluar sahaja dari bilik air, Adam Farhan mengeluarkan sehelai selendang dari dalam almari.

1 comment: