“LEA, awak tolong
jagakan kaunter. Saya nak ke tandas sekejap. Pastikan awak tak kemana-mana,
ya?” suara Park In Joo yang berada di belakang mematikan lamunan Azzalea.
“Baik, kak!” balas
Azzalea sambil tangannya diangkat seolah-olah memberi tabik hormat kepada In
Joo.
In Joo hanya tersenyum
memandang Azzalea sebelum dia menghilang di sebalik pintu untuk staf di
bahagian belakang kaunter.
Azzalea yang baru
sahaja siap membancuh espresso menghulurkan dua biji cawan kertas kepada dua
pelanggannya yang sedang setia menanti. Agaknya pelanggan ini adalah pasangan
kekasih.
“Lapan ribu Won,”
ujarnya sambil melemparkan senyuman manis buat mereka berdua.
Pelanggan perempuan itu
menyiku lengan teman lelakinya apabila teman lelakinya itu hanya berdiri tegak
memandang Azzalea. Kelam-kabut lelaki itu mengeluarkan dompet untuk membayar
harga kopi yang dibeli.
Berlalu sahaja
pelanggan itu, Azzalea kembali membaca novel yang dibelinya semalam. Novel
tersebut menceritakan tentang sejarah negara matahari terbit itu. Semalam,
sewaktu dia ingin pulang ke rumah, dia sempat singgah di sebuah kedai buku
berhampiran dengan rumahnya. Entah mengapa, dia begitu tertarik dengan novel
itu. Jadi, terpaksalah dia berhabis wang belanja sehariannya demi membeli novel
itu. Azzalea bersandar pada kabinet yang terletak di bahagian dalam kaunter.
“Lea!”
Sergahan itu membuatkan
Azzalea terkejut. Hampir sahaja buku di tangannya terlepas dek kerana terlalu
terkejut. Novel yang dibacanya ditutup, lalu diletakkan ke tepi. Terpaksa dia
mendongak untuk melihat wajah lelaki itu memandangkan tingginya hanya separas
dada lelaki itu.
“Apa dia?” tanyanya
perlahan.
Lelaki yang bernama
Song Ji Seo itu hanya tersengih melihat reaksi Azzalea.
“Ini.. Abang ada
sesuatu untuk Lea,” ujar Ji Seo yang sudah biasa membahasakan dirinya sebagai
‘abang’ atau ‘oppa’ memandangkan Azzalea jauh lebih muda daripadanya.
“Apa dia?” soal Azzalea
kehairanan. Bibirnya menguntum senyum.
Ji Seo menghulurkan
sebuah majalah kepada Azzalea sambil membalas senyuman gadis itu. Tanpa
teragak-agak, Azzalea menyambut majalah itu. Muka surat yang ditanda dibuka
serta-merta. Senyuman yang tadinya sudah manis menjadi semakin lebar.
“Abang belikan majalah
ni untuk saya? Berapa harganya? Biar saya bayar balik,” ujar Azzalea teruja.
Ji Seo mengangkat
tangan kanan dan ibu jari kirinya, menandakan harga majalah itu adalah enam
ribu Won.
“Tapi tak payahlah
bayar. Abang yang belanja,” balas Ji Seo selamba. Lelaki itu kemudiannya
berpaling menghadap pelanggan yang baru sahaja masuk ke dalam kafe itu.
Azzalea mengukir senyum
gembira. Semalam dia ada mencari majalah itu di kedai buku tempat dia membeli
novel yang sedang dibacanya. Tetapi, nasibnya kurang baik memandangkan majalah
itu sudah habis dijual. Biasalah, majalah sebegitu memang diminati oleh para
remaja disebabkan oleh trend dan fesyen semasa yang diterbitkan dalam majalah
itu. Lagi pula apabila yang menjadi muka hadapan majalah itu adalah artis
kegemaran mereka, pasti lebih cepat kehabisan stok.
Azzalea mencuit lengan
baju Ji Seo.
“Terima kasih,” ucapnya
gembira.
Ji Seo hanya mengangguk
dan berlalu untuk menyiapkan kopi yang diminta oleh pelanggannya. Azzalea
menyimpan majalah yang diberikan Ji Seo ke dalam laci yang bertanda dengan
namanya di kaunter itu.
“Ya, Cik. Nak makan
apa?” soal Azzalea apabila ada seorang lagi pelanggan datang menghampiri
kaunter.
“Waffle perisa pisang
satu dengan latte sejuk satu,” balas wanita itu.
Azzalea tersenyum dan
berlalu menuju ke arah Hwang Young Mi yang menjaga bahagian waffle dan pancake.
“JALAN baik-baik ya,
Lea!” pesanan daripada Hwang Young Mi membuatkan Azzalea ketawa kecil.
“Young Mi.. bus stand
dekat depan tu je,” ujar Azzalea sambil menunjukkan pondok menunggu bas yang
berada lebih kurang sepuluh meter di sebelah kanan tempat mereka berdiri.
“Manalah tahu kalau ada
orang nak culik kau,” usik Young Mi.
Mereka ketawa lagi.
“Kalau ada apa-apa,
call saya,” pesan Choi Ji Hyuk, anak kepada majikan mereka.
Azzalea tersenyum
mendengar kata-kata Ji Hyuk. Seperti biasa, Ji Hyuk adalah orang yang paling
mengambil berat akan dirinya. Dia mengangguk seraya menundukkan sedikit
kepalanya kepada rakan-rakan sekerjanya.
Malam ini Ji Hyuk sudah
berjanji ingin membelanja semua pekerjanya makan dan minum di sebuah restoran
terkenal di Apgujeong. Memandangkan mereka akan minum soju, Azzalea menolak
pelawaan mereka. Biarpun dia tidak bertudung dan tinggal di luar negara, dia
masih tahu membezakan di antara sesuatu yang dibolehkan agama atau tidak.
Azzalea berjalan
sendirian menuju ke arah pondok menunggu bas. Melihatkan tidak ramai orang di
pondok itu, Azzalea mengambil tempat di bahagian hujung. Dia duduk sambil
menyandarkan kepalanya ke dinding pondok itu. Matanya terarah pada jalan raya
yang tidak sesak. Jam sudah menunjukkan pukul sembilan malam. Byeol Coffee
House tempat dia bekerja hanya tutup setelah jam sembilan malam. Mujurlah pukul
sembilan, jika tidak, terpaksalah dia bersengkang mata di tempat kerja, menahan
kantuk.
Sebuah bas berwarna
merah berhenti betul-betul di hadapan pondok itu. Kelihatan beberapa orang
penumpang dari bas itu turun dan mengucapkan terima kasih kepada pemandu.
Begitulah cara kehidupan Azzalea di bumi asing ini. Tidak kira di mana negara
sekalipun, sikap hormat-menghormati dengan orang lain adalah salah satu
kemestian dalam hidup.
Setelah beberapa saat,
bas itu kembali bergerak meneruskan perjalanan. Azzalea menarik nafas panjang.
Biasanya, waktu ini sudah ada bas yang lalu di situ. Azzalea tidak biasa
menaiki bas merah itu biarpun bas itu melalui kawasan rumahnya. Dia biasa
menaiki bas kuning dan hijau sahaja memandangkan sudah tentu ramai orang akan
turun di situ.
Deringan telefon bimbit
membuatkan Azzalea tersentak. Telefon bimbit dikeluarkan dari dalam tas tangan.
‘Lea, balik nanti singgah kedai
kejap. Belikan Akak carrot dengan green onions. Thanks adikku sayang. J’
Azzalea mencebik sambil
bibirnya mengukir senyum. Itulah insan yang digelar keluarga. Azzalea tidak
punya ahli keluarga lain selain daripada Azrina dan abangnya Azmirul. Azrina
adalah kakak kepada Azzalea. Di bumi asing ini, dia tinggal bersama dengan
Azrina.
Pada mulanya, hanya
Azzalea yang mendapat tawaran belajar di Korea. Kakaknya dan abangnya hanya
ingin bekerja di Malaysia memandangkan mereka sudah punya kerja tetap. Azzalea
ada mengajak Azrina menetap di Korea sehingga Azzalea habis belajar. Oleh
kerana bahasa menjadi masalah bagi Azrina, dia menolak untuk mengikut adiknya
ke Korea.
Di Korea, Azzalea
tinggal sendirian, di sebuah rumah bumbung di Seoul. Seperti biasa, akan
pemilik rumah yang akan membina rumah di bumbung dan membolehkan sesiapa sahaja
menyewa. Azzalea cuma ada rakan-rakan di kolej sahaja. Walaupun kos
perbelanjaan belajar di luar negara ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan
Malaysia dan Azrina serta Azmirul ada memberinya wang saku, Azzalea tetap
bekerja separuh masa. Dia tidak suka menyusahkan abang dan kakaknya. Azmirul
sudah berkahwin, sudah pasti banyak keperluan yang harus dibelinya memandangkan
dia sudah punya keluarga sendiri. Azrina pula perlu membayar wang bulanan
kereta dan rumah yang baru dibelinya ketika itu.
Maka, Azzalea bekerja
di sebuah kafe yang menjual pelbagai jenis minuman seperti kopi, teh, biskut,
kek dan makanan yang berunsurkan pencuci mulut. Kafe ataupun coffee house itu
sungguh maju dan mereka mempunyai begitu ramai pelanggan. Nama coffee house itu
ialah Byeol Coffe House. Byeol bermaksud bintang. Menurut anak majikannya,
bapanya memilih bintang kerana dia ingin nama Byeol Coffee House dikenali oleh
setiap penduduk Korea dan akan menjadi salah sebuah coffee shop yang terkenal
di Korea Selatan. Dan Azzalea masih lagi bekerja di coffee shop itu
memandangkan dia sudah terbiasa dengan pekerja-pekerja lain. Sepanjang enam
tahun dia bekerja di Byeol Coffee House itu, banyak perubahan yang berlaku.
Azzalea mula bekerja sejak hari pertama lagi Byeol Coffee House dibuka.
Mujurlah visa yang ada padanya membolehkan dia bekerja.
Setahun lepas Azzalea
menetap di Korea, Azrina datang melawatnya. Azrina kagum dengan adiknya yang
mampu berdikari dan bijak menguruskan wang. Wang simpanannya juga ketika itu
sudah hampir lima ratus ribu Won. Apabila ditukarkan ke matawang Ringgit
Malaysia, jumlahnya hampir empat belas ribu ringgit. Apabila ditanya, rupanya Azzalea
ada mengambil tempahan lukisan daripada beberapa orang yang dikenalinya.
Lukisannya yang dianggap antara hasil seni terbaik pernah menjadi salah satu
barangan yang dibida sewaktu ada lelong yang dilakukan di kalangan orang-orang
ternama. Jadi, tidak hairanlah mengapa wang simpanannya mampu mencecah belasan
ribu ringgit.
Setiap hari Azrina
menemani Azzalea keluar berjalan-jalan dan ke tempat kerjanya di Byeol Coffee House.
Azrina tidak tahu berbahasa Korea, jadi Azzalealah yang menjadi penterjemah setiap
kali Azrina ingin berkomunikasi dengan penduduk tempatan. Disebabkan cara hidup
Azzalea yang ringkas serta bijak membawa diri, akhirnya Azrina mengalah. Dia
bersetuju untuk tinggal bersama Azzalea di negara matahari terbit itu. Azrina
meminta memohon pertukaran tempat kerja ke Korea memandangkan syarikatnya itu
ada cawangan di Korea. Abang mereka, Azmirul hanya bersetuju sahaja dengan permintaan
Azrina.
Selepas Azrina mendapat
surat pertukaran ke Korea, dia akhirnya menetap bersama Azzalea. Azrina
menghabiskan masanya belajar bahasa Korea dengan Azzalea. Banyak benda yang
perlu dipelajarinya. Jadi, hampir setahun jugalah Azrina mengambil kelas bahasa
Korea dengan adiknya serta ada kelas yang didaftarkan oleh Azzalea. Sekarang,
Azrina sudah pandai berbahasa Korea.
Azzalea menoleh ke
sebelah kanannya. Nampaknya sudah ada bas berwarna hijau yang bergerak
mendekati pondok perhentian bas itu. Azzalea membuka beg sandangnya lalu
sekeping kad T-money dikeluarkan. Ya, itulah nama kad yang sering digunakannya
untuk membayar tambang bas. Kad itu boleh juga digunakan untuk membeli barang
di kedai-kedai. Fungsinya lebih kurang sama dengan kad TouchnGo yang digunakan
di Malaysia dan kad debit. Azzalea bangun apabila bas itu betul-betul berhenti
di depannya.
“ASSALAMUALAIKUM!”
Salam adiknya itu
dijawab dengan wajah gembira.
“Adik! Mana carrots
dengan bawang hijau Akak?” soal Azrina. Pantas dia berkejar mendapatkan
adiknya. Lagaknya tidak ubah seperti kanak-kanak yang mahukan gula-gula.
“Kakak ni.. Lea baru je
sampai rumah. Akak dah tanya fasal carrots Akak. Tak tanya pun Lea penat ke,
letih ke,” rungut Azzalea.
Beg plastik berwarna
putih dihulurkan kepada kakak tersayang. Azzalea duduk di salah sebuah sofa di
ruang tamu setelah kakaknya mengambil bungkusan itu.
“Yalah, yalah. Macam
mana kerja Lea hari ni?”
Azzalea menggaru
kepalanya yang tidak gatal.
“Banyak kerjalah, Kak.
Dah nak muntah Lea hadap system broke down dekat Busan tadi,” balas Azzalea.
Beg sandangnya dicampakkan ke tepi.
Azrina tersenyum. Dia
tahu, pasti adiknya penat memandangkan kerjanya lebih banyak memerlukan akal
fikiran.
“Lea pergi Busan?” soal
Azrina dalam tidak percaya.
“Yalah.. Lea pergi
Busan tadi. Lea kena betulkan masalah sistem. Tekanan betul. Berjam-jam Lea
cari punca, rupanya ada worker yang pasang salah pasang kabel. Lea ingatkan
masalah dengan programming,” jawab Azzalea sambil tersenyum.
Walaupun dia sering
kepenatan, dia tetap suka akan kerjanya. Dia senang dengan apa yang
dilakukannya sekarang.
“Lea pergi dengan siapa
tadi?”
“Le pergi dengan Wooyoung.
Kesian Wooyoung. Penat je dia drive dari sini ke Busan. Rupanya masalah tu
kecik je.”
Azrina tersengih. Dia
berjalan ke dapur dan meneruskan kerjanya yang terbengkalai tadi. Terbengkalai
akibat dia terlupa membeli lobak merah dan bawang hijau.
“Akak masak apa?” tanya
Azzalea sambil matanya menurut langkah Azrina yang sedang sibuk di dapur. Dia
yang tadinya baru ingin menonton televisyen terganggung dek kerana bunyi bising
yang dihasilkan oleh Azrina. Sibuk memotong sayur-sayuran.
“Akak masak tteobokki,”
jelas Azrina.
Azzalea tersenyum
gembira. Tadi niatnya ingin singgah sebentar di kedai tepi jalan yang menjual
kuih beras yang dimasakkan dalam sos perasa manis dan pedas, tetapi disebabka
Azrina yang ingin memasak di rumah, dibatalkan sahaja niatnya.
“Lea mandi dululah,
ya!”
“Okey. Nanti naik
rooftop! Makan dekat atas.”
Azzalea mengangkat
tangan kanannya sambil ibu jari dan jari telunjuk membentuk huruf ‘O’. Beg
galasnya dicapai lalu dia segera masuk ke dalam bilik yang dihuninya sendirian.
Suis lampu dihidupkan.
Azzalea menghempaskan
tubuh ke katil. Buat beberapa saat, segala sengal-sengal yang dirasai terbang
melayang. Azzalea memejamkan mata. Tiba-tiba dia bingkas bangun apabila di
teringatkan sesuatu. Lekas-lekas beg sandangnya dibuka, lalu sebuah majalah
dikeluarkan. Majalah yang diberikan oleh Ji Seo petang tadi.
Setiap muka surat
majalah itu dibuka. Akhirnya muka surat yang dicari suda dijumpai. Azzalea
mengeluarkan sebuah album gambar yang bersaiz A3 dari dalam laci meja tidurnya.
Gunting dan gam juga dicapai. Azzalea memotong gambar lelaki yang sedang
bergambar dalam majalah itu lalu satu persatu gambar itu dilekatkan pada
permukaan album yang masih kosong. Dengan menggunakan marker hitam, Azzalea
menulis beberapa patah perkataan di bawah gambar itu. ‘High Cut, June 2011
edition.’
Azzalea tersenyum lalu
album itu disimpan kembali ke dalam laci mejanya. Lelaki itu adalah lelaki
pujaannya. Semua orang yang mengenali Azzalea pasti tahu akan hakikat itu.
Dalam berjuta lautan manusia bernama lelaki, hanya lelaki itu sahaja yang
mencuri hatinya. Dia merupakan salah seorang anggota daripada salah sebuah
kumpulan yang berjaya mencipta nama di persada antarabangsa. Kumpulan yang
terkenal dengan nama Bad Boy itu sungguh popular di kalangan semua peringkat
umur. Biarpun Azzalea tahu dia dan lelaki itu tidak akan mampu bersama di alam
realiti, biarlah dia yang mengagumi lelaki itu. Bukan memuja, hanya mengagumi.
No comments:
Post a Comment