AUTHOR'S WORDS

Assalamualaikum wbt. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Note - These stories are not related to anybody. Kalau ada yang sama, tak disengajakan. Hohoho. 100 percent from my thoughts, my imagination. Copy right reserve goes to me. :) Nama dan watak, fictions. I got the photos from Google before I'm using it as my novels' cover. Thank you and credits to the owners of the pictures. :)

21, a daughter, a little sister. And I have a big dream :')

Selamat membaca~ ;)

Tuesday, February 26, 2013

Cinta Lapan Tingkat

BAB 1

‘ADA kalanya kesepian yang mampu mengajar kita untuk lebih menghargai sesuatu. Namun, kesepian juga yang memisahkan seseorang itu dengan dunia. Tanpa mengetahui apa akhirnya, aku memilih untuk hidup dalam kesepian. Kesepian tidak mungkin mengkhianati seseorang.’ – K.

Komputer ribanya ditutup setelah luahan hatinya sudah disimpan di dalam folder rahsianya. Permukaan komputer riba itu digosok dengan jemarinya yang halus. Matanya melekat pada komputer riba yang sudah lama berkhidmat untuk si pemilik. Sejak zaman dia di universiti lagi dia sudah memiliki komputer itu. Itulah harta yang sangat disayanginya.

Keisha bangun dari duduknya sebelum meletakkan komputer ribanya ke meja. Dia berpeluk tubuh sambil berjalan mendekati beranda. Bola matanya bergerak-gerak, melihat ke arah langit biru yang dihiasi kepulan awan yang memutih.

Dania Keisha.. hidupnya hanya di dalam sebuah apartment itu sahaja. Tiada rakan untuk diajak berbual, tiada keluarga menjadi tempat mengadu mahupun tempat meluahkan perasaan. Dia hidup sendiri di dunia ini. Dia lebih selesa begitu. Rasanya hidup terasing begini lebih selamat dan yang paling penting, dia tidak mengganggu sesiapa pun. Hidupnya adalah untuk dirinya.

Keisha bergerak ke belakang sedikit apabila terasa kakinya seolah-olah digeletek sesuatu. Dia tersenyum apabila Snowball kesayangan sedang menggesel-gesel tubuhnya ke kaki Keisha. Keisha membongkok sebelum mengangkat Snowball ke dalam dakapannya.

“Snow lapar ke?” soalnya apabila kucingnya itu mula mengiau.

Keisha ketawa kecil apabila Snowball menghidu-hidu baju yang dipakainya. Segera dia berjalan masuk ke dalam rumah dan meletakkan Snowball ke lantai. Kemudian, makanan Snowball dituang ke dalam bekas makanan Snowball. Sempat bulu gebu Snowball diusap perlahan.

“Makan banyak-banyak, tahu?”

Keisha kembali ke beranda. Anak matanya berhenti pada sesusuk tubuh yang berada di apartment bertentangan dengan miliknya. Lelaki itu sentiasa kemas dengan kemeja yang dilipat sehingga ke paras siku. Itulah satu-satunya manusia yang dia ingin kenali, Izz Rayyan. Namun dia sedar, impiannya itu tidak ubah seperti pungguk rindukan bulan. Dia tidak akan mampu mendekati Izz Rayyan tidak kira betapa dia ingin mengenali lelaki itu.

Dua tahun. Dua tahun adalah tempoh yang lama bagi Keisha. Dua tahun itu adalah tempoh dia sudah mengenali Izz Rayyan. Selepas terpandangkan Izz Rayyan yang tinggal berhadapan dengan rumahnya, Keisha sudah jatuh hati. Tanpa diduga, Izz adalah doktor haiwan tempat dia selalu menghantar Snowball untuk mendapatkan vaccination. Dan sejak itu, dia sering memerhatikan Izz Rayyan. Tetapi dia tahu Izz Rayyan langsung tidak mengenalinya. Walaupun begitu, bagi Keisha, ini semua merupakan satu kebetulan yang sungguh indah.

Bunyi deringan telefon bimbitnya mematikan lamunan Keisha. Dia masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan telefonnya. Memandangkan Izz Rayyan sudah keluar ke beranda, Keisha berdiri di tepi tingkap sambil mencuri-curi pandang ke arah Izz Rayyan. Dia memerhatikan Izz Rayyan dari sebalik langsir.

“Waalaikumussalam. Ya, Nek.”

“Keisha dah lama tak datang rumah Nenek. Keisha tak sihat ke?” soal seseorang di hujung talian.

Keisha menggaru kepala. Alasan apa lagi yang ingin diberi kepada Dato’ Maryam? Sudah banyak kali dia menolak untuk berjumpa dengan keluarga Dato’ Maryam. Tumpuan Keisha masih lagi terarah pada Izz Rayyan yang sedang berdiri bercekak pinggang. Kacaknya dia.

“Keisha sihat, Nek. Cuma.. Keisha busy. Err.. Keisha kena siapkan buku Keisha dulu, Nek. Company dah tanya dah tu. Sebab dah lama Keisha tak publish apa-apa buku,” balas Keisha, cuba menghindar daripada keluar rumah. Sebenarnya memang benar syarikat penerbitannya sudah bertanya akan karya terbarunya.

“Oh.. Nenek ingat ada apa-apa jadi pada Keisha tadi. Kalau Keisha ada masa, datanglah ke rumah Nenek. Dah lama sangat Keisha tak datang sini. Auntie Lina, Auntie Ima, Sufyan, Uncle Norman semua tanyakan Keisha. Kalau Keisha tak datang sini lepas buku Keisha siap, Nenek yang datang sana,” ujar Dato’ Maryam.

Keisha menggaru-garu kepalanya.

“Okey, Nek. Kalau Keisha dah siapkan buku tu, Keisha janji Keisha datang sana,” putus Keisha.

“Keisha jaga diri baik-baik. Kalau ada apa-apa, cepat-cepat call Nenek, ya?”

“Baik, Nek,” balas Keisha.

Talian sudah dimatikan. Itulah Dato’ Mariam. Seseorang yang sudah menganggapnya sebagai cucu sendiri biarpun tiada talian darah di antara mereka. Budi baik Dato’ Mariam sungguh dia tidak akan lupakan sepanjang hayatnya.

Keisha keluar ke beranda apabila menyedari Izz Rayyan sudah tiada. Keluhan dilepaskan apabila menyedari Izz Rayyan sudah kembali ke klinik. Ya, lampu rumahnya akan dipadamkan setiap kali dia tiada di rumah. Keisha kembali merenung langit. Alangkah indahnya cuaca hari ini, getusnya sendirian.

To be continued..

Okay, ini bukan first chapter. Ini just part of the first chapter for this novel. Hope everyone will like it. To be honest, cerita ni diinspirasikan daripada drama Korea yang baru je menambat hati DL, Flower Boys Next Door. Today is the finale. So, hope you'll like it! ^^

Friday, February 15, 2013

Semua Untukmu 4


Nota kaki beruang DL - Assalamualaikum semua! Selamat sejahtera. Sorry lambat update. Semangat membara dah terbang ke mana entah. Haha. Anyway, hope semua enjoy baca Semua Untukmu ni. Sila bayangkan muka Henry masa baca, so that feeling tu datang. HAHA. Over taww! Thanks for dropping by. Still, need some critics to continue writing. ENJOYYY! :) xx


Credit - as stated in the photo. TY! ^^


BAB 4

USAI menunaikan solat Subuh, Azzalea segera bergerak ke dapur. Dia ingin menyediakan sarapan pagi buat neneknya. Rasanya seperti sudah lama dia tidak memasak di rumah itu. Kasihan Nek Limah, selalu sahaja bangun awal pagi semata-mata ingin menyediakan sarapan buat mereka berdua.

Sewaktu melintasi bilik Nek Limah yang berada berdekatan dengan dapur, Azzalea berhenti seketika. Langsir bilik neneknya dikuak sebelum dia menjengahkan kepalanya ke dalam bilik Nek Limah. Azzalea tersenyum apabila neneknya sedang khusyuk membaca Al Quran di atas sejadah yang terhampar.

Azzalea segera ke dapur dan membuka pintu peti sejuk. Kepalanya digaru-garu perlahan.

“Nak masak apa ni?” soalnya kepada diri sendiri.

Tangannya menguis-nguis beg plastik yang berada di dalam tempat sejukbeku. Azzalea tersengih sendiri. Ada sotong, getus hatinya. Setelah mengeluarkan sotong lalu diletakkan ke dalam bekas, Azzalea menanak nasi lemak terlebih dahulu.


BAU nasi lemak yang harum semerbak memenuhi stiap ruang di dalam bilik Nek Limah. Usai membaca Al Quran, Nek Limah melipat dan menggantung sejadah serta telekung yang digunakan ke kerusi yang berada di dalam biliknya.

“Lea, masak nasi lemak ya?” tegur Nek Limah apabila tiba di dapur.

Azzalea menoleh sebelum mengangguk laju. Dia mendekati neneknya sebelum menarik kerusi di meja makan dan meminta neneknya duduk dan menunggu terlebih dahulu. Azzalea menyenduk nasi lemak ke dalam mangkuk sebelum diletakkan di hadapan neneknya. Api dapur dipadamkan sebelum sambal sotong yang siap dimasak diangkat.

Nasi lemak, sambal sotong, kacang goreng serta timun diisi ke dalam pinggan sebelum dihulurkan kepada Nek Limah.

Nek Limah menyuap nasi lemak air tangan cucunya. Dia tersenyum dan mengangguk.

“Sedap. Pandai Lea masak.”

Pujian Nek Limah membuatkan Azzalea tersenyum lebar. Bangga apabila dipuji sebegitu.

“See the leglah, Opah. Cucu siapa?” balas Azzalea dalam tawanya.

Nek Limah menggelengkan kepalanya. Cucu yang ditatang bagai minyak yang penuh sudah hampir mencecah sembilan belas tahun. Tidak disangka masa berlalu begitu cepat. Pantas meninggalkan mereka. Cucu itu sahajalah yang selalu mengambil berat akan dirinya. Cucu yang sudah dewasa itu masih dianggap seperti kanak-kanak bagi Nek Limah.

“Lea.. tolong bungkuskan sikit nasi lemak ni, bagi pada Nazhan.”

Azzalea yang sedang menyuap nasi terhenti seketika. Kemudian, dia kembali meneruskan suapannya.

“Alaa.. Opah, dekat chalet tu banyak nasi lemak. Biarlah dia makan nasi lemak yang ada dekat sana tu. Kenapa nak bagi dia pulak?”

Nek Limah menggelengkan kepalanya.

“Hari tu dia ada singgah sini. Tanya Opah kalau Opah ada buat nasi lemak lagi. Alang-alang Lea dah buat, Lea hantarlah pada dia. Kesian dia.. Opah tak buat lagi dah nasi lemak ni,” ujar Nek Limah.

Azzalea muncung.

“Tak eloklah kalau tak hantar pada dia. Dia baik pada Opah, pada Lea. Ya? Tolong hantarkan pada dia sikit.”

“Tapi Opah.. Opah buat lain, Lea buat lain. Nasi lemak yang Opah masak is the best in the world. Lea pulak.. baru setahun jagung belajar masak. Nanti kalau Opah buat, baru Lea hantar pada dia, eh? Lagipun seganlah Lea nak bagi dia rasa masakan Lea yang tak seberapa ni,” panjang lebar Azzalea menjelaskan, cuba mengelak daripada menghantar nasi lemak kegemaran Nazhan kepadanya.

“Opah rasa sama je. Sudah, sudah. Kejap lagi, habis makan pergi hantar pada Nazhan,” tegas Nek Limah.
Azzalea menghentakkan kakinya ke lantai. Dia baru sahaja ingin menjauhi Nazhan. Kini, dia pula yang harus mendekati lelaki itu. Ini tidak adil, rungut Azzalea dalam hati.


CAHAYA mentari pagi mengganggu tidur Emir. Dia terpisat-pisat sambil meraba-raba bawah bantal, mencari telefon bimbitnya. Dari tadi telefonnya berdering, namun diabaikan. Tetapi matahari pagi yang menyuluh wajahnya membuatkan dia terjaga serta-merta.

Emir berdehem sebelum menekan butang ‘answer’. Dia tidak boleh menunjukkan bahawa dia baru sahaja bangun dari tidur. Jika Irman tahu dia baru sahaja terjaga dari tidurnya, panjanglah ceramah Irman sebentar lagi.

“Haa.. apa hal?”

“Kau dah bangun ke tu? Kenapa aku call banyak kali kau tak jawab? Macam mana dengan chalet?” soalan bertalu-talu keluar daripada mulut Irman seperti senapang gajah memuntahkan pelurunya.

Emir bangun dari perbaringan sebelum menyandarkan kepalanya pada kepala katil.

“Kau ni kalau tak jadi polis tak sah, kan? Aku tak perasan tadi. So far okeylah. Tak ada problem. Aku dah basuh budak-budak tu semua. Kalau tak ikut arahan aku, siaplah. Aku pecat sorang-sorang.”

Kedengaran pula Irman sedang ketawa di hujung talian.

“Kau jangan bagi arahan yang tak masuk akal pulak. Kau setakat tengok-tengok je chalet tu. Jangan pulak kau pergi tukar sistem apa-apa pulak dekat sana. In case kau ada benda tak puas hati, buat proposal.”

Emir berdecit.

“Takkan dengan bapak sendiri pun nak kena buat proposal?” soal Emir tidak puas hati.

“Apa pun, Papa tu presiden company. Kau jangan buat hal pulak kat sana. Bila kerja dah kurang sikit, aku gerak pergi sana. Nak holiday,” ujar Irman pula.

“Datanglah. At least tak adalah aku macam kera sumbang dekat sini,” balas Emir pula.

Irman ketawa lagi.

“Woi, dahlah. Aku nak mandi dulu!”

Irman yang berada di hujung talian kehairanan.

“Mandi? Kau kata kau dah bangun?”

“Aku dah bangun, tapi belum mandi. Dah, dah. Aku hang off dulu. Bye, bye! Assalamualaikum!”

Laju sahaja Emir menamatkan panggilan tanpa menunggu balasan Irman. Kalau dia bersoal jawab lagi dengan Irman, belum tentu tahun depan dia dapat melepaskan diri daripada abangnya.

Emir menggosok perutnya.

“Laparnya!” getusnya sendirian.

Tanpa menunggu lebih lama, dia bangun dan meninggalkan katil. Tuala disambar dari tempat penyangkut sebelum dia masuk ke dalam bilik air.


AZZALEA berjalan dengan beg kertas di tangan. Sesekali beg kertas itu dihayunkan apabila dia terlupa apa yang berada di dalamnya.

Laluan jalan kaki di BaySide Chalet itu dipenuhi pasir-pasir putih yang bersih. Biasanya memang begitu keadaan chalet serta resort yang dibina berdekatan dengan laut.

Mata Azzalea melilau mencari seraut wajah yang ingin ditemui. Kakinya terus melangkah. Pagi-pagi begini biasanya Nazhan akan berada di kafe.

“Hah!” sergahan itu membuatkan Azzalea mengurut dada.

“Abang Juan!” marah Azzalea.

Juan hanya ketawa besar.

“Lea buat apa pagi-pagi dekat sini? Cari Nazhan ke?” soalnya sambil menyeluk kedua-dua belah tangannya ke dalam poket seluar.

“Ha’ah! Eh.. taklah.. err..” tergagap-gagap Azzalea menjawab soalan Juan.

Cis! Soalan perangkap!

Sekali lagi Juan ketawa.

“Abang nampak dia dekat kafe tadi. Cubalah tengok. Ada lagi kot.”

Azzalea tersipu-sipu.

“Err.. Abang Juan dah habis shift ke?” tanya Azzalea apabila mendapati Juan sudah menukar uniformnya ke pakaian biasa.

Juan mengangguk laju.

Biasanya uniform-uniform pekerja di BaySide Chalet itu akan ditinggalkan di dalam loker masing-masing. Mereka tidak dibenarkan membawa uniform pulang ke rumah. Jika berlaku sesuatu, pihak chalet yang akan menanggung akibatnya. Bimbang pula jika pekerja-pekerja di chalet itu menyalahgunakan pakaian itu. Sekiranya uniform mereka belum dicuci, mereka boleh mencuci pakaian mereka itu di bilik dobi bersebelahan dengan bilik menempatkan loker-loker pekerja.

“Lea boleh cari Nazhan sendiri, kan? Abang mengantuk gila ni.. nak balik dulu.”

Azzalea tersenyum seraya mengangguk.

“Boleh. Abang baliklah dulu.”

Juan turut mengangguk sebelum berlalu meninggalkan Azzalea sendirian. Malas rasanya ingin memberitahu Azzalea bahawa Nazhan sedang duduk bersama seorang gadis tadi. Dia terus berjalan meninggalkan Azzalea. Sempat dia menjeling Azzalea dengan ekor matanya sebelum gadis itu turut meninggalkan tempat itu.

Azzalea masuk ke dalam ruang BaySide C Cafe itu sambil matanya cuba mencari Nazhan. Anak matanya menyorot satu demi satu pelanggan yang berada di dalam kafe itu, zoom in dan zoom out mencari wajah Nazhan.

Dia tersenyum akhirnya sebelum menangkap wajah Nazhan di salah sebuah meja yang berada agak jauh daripada tempatnya berdiri. Baru sahaja dia ingin meneruskan langkah, anak matanya terpandangkan seorang wanita yang berada bersama dengan Nazhan. Mereka sedang sibuk berbual sambil mengisi perut.

Azzalea merenung beg kertas yang berisi nasi lemak buatannya sebelum membandingkan makanan yang ada di kafe itu dengan nasi lemaknya. Apalah sangat nasi lemaknya jika dibandingkan dengan sosej, baguette, burger, chicken chop dan makanan lain yang dijadikan sarapan di kafe itu. Hampir luruh jantung Azzalea apabila wanita yang berada berhadapan dengan Nazhan menyuapkan makanan ke mulut Nazhan.

Memandangkan ramai pekerja BaySide Chalet yang mengenalinya, Azzalea segera berpaling dan meninggalkan kafe itu. Dia tidak mahu kehadirannya disedari sesiapa.

“Tak, tak. Itu maybe saudara dia,” ujar Azzalea kepada dirinya. Pipinya ditampar perlahan.

Azzalea menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali. Kakinya melangkah mendekati laut yang terbentang luas. Azzalea berhenti apabila tinggal beberapa langkah daripada menyentuh ombak yang menghempas pantai. Nampaknya pagi-pagi lagi sudah ramai pengunjung yang makan serta duduk di kawasan pantai itu.
Azzalea mengeluh sebelum mendongak memandang langit, memikirkan siapa dia di sisi Nazhan.


LANGKAH demi langkah dihayun melepasi kawasan pantai. Tiba-tiba langkahnya terhenti. Dia berdiri tegak sebelum menoleh ke sebelah kirinya. Kelihatan ada seorang gadis sedang tegak mendongak langit.

“Macam kenal je..”

Emir tidak jadi menuju ke kafe, sebaliknya mendekati gadis yang sedang berdiri sendirian itu.

“Hoi, pencuri boxer!”

Azzalea mengurut dada. Kenapalah semua orang asyik menyergahnya hari ini? Dia mencebik. Perasan! Siapa nak curi boxer dia. Dahlah corak pelik-pelik! Ee.. gelinya!

“Kau buat apa dekat sini?”

Azzalea tidak menjawab, sebaliknya hanya berjalan meninggalkan Emir sendirian. Malas melayan orang meroyan macam si mangkuk Emir.

“Hoi, pencuri boxer! Telinga ada, tapi aku cakap pun tak dengar!” bebel Emir kepada Azzalea.

Azzalea berhenti melangkah apabila ada beberapa orang pengunjung di pantai itu merenung ke arahnya. Ada juga yang tersenyum-senyum sendiri. Pasti mereka menuduhnya sebagai seorang yang gatal. Pervert. Pervert? Tidak! Azzalea memejamkan matanya sebelum menggigit bibir. Dia berpaling ke belakang.

“Nama aku bukan pencuri boxerlah! Aku ada nama! Nama aku Azzalea! Apa masalah kau nak panggil aku pencuri boxer? Boxer corak bukan-bukan, ada hati tuduh aku curi. Hari kau pakai corak apa? Heart shape ke smiley?”

Suara Azzalea yang lebih kuat daripada bunyi laut membuatkan Emir pula yang malu apabila pengunjung-pengunjung di situ berbisik-bisik di antara satu sama lain. Botol mineral yang dipegangnya digenggam kuat. Kemudian tangannya digawang-gawangkan ke udara seolah-olah meminta mereka supaya tidak mempercayai kata-kata Azzalea. Senyumnya nampak kekok benar di pandangan mereka semua.

“Hey, berhenti!” panggil Emir apabila Azzalea sudah mula berjalan meninggalkannya. Dia turut mengatur langkah mengejar Azzalea.

Tidak semena-mena, Azzalea tersadung pada akar pokok sebelum tersembam ke pasir. Matanya pedih apabila ada pasir yang masuk ke dalam matanya. Matanya digosok-gosok dengan hujung jari.

“Hoi, hoi! Janganlah gosok. Lagi sakitlah mata kau tu. Pandang sini,” ujar Emir sambil melutut di hadapan Azzalea.

Azzalea membuka matanya sedikit.

“Pedihlah!”

“Bukak mata besar-besar. Aku tiup!” arah Emir.

Azzalea mencuba membuka matanya, namun gagal.

“Tak boleh.”

Dalam terpaksa, Emir menggunakan ibu jari dan jari telunjuknya untuk membuka kelopak mata Azzalea. Sudah merah mata Azzalea akibat digosok-gosok sebentar tadi.

Emir mendekatkan mulutnya ke arah mata Azzalea. Satu. Dua. Biji mata Azzalea ditiup Emir. Azzalea dapat merasakan sakit di matanya sedikit berkurangan. Namun.. ada sesuatu yang tidak kena. Segera Azzalea mengesat matanya.

“Air liur!” jerit Azzalea sebelum berlari mendekati ombak.

Emir ketawa besar apabila melihat gelagat Azzalea yang kelam kabut ke arah laut. Sungguh dia tidak sengaja air liurnya turut keluar sewaktu dia meniup mata Azzalea.

“Woi! Jangan! Air tu..”

Belum sempat Emir menghabiskan kata-kata, Azzalea sudah terduduk di atas pasir. Basah sebahagian seluarnya apabila ombak menghempas pantai.

“Kau ni.. menyusahkan betul. Aku baru nak cakap air tu masin, pedih kalau kena mata. Meh sini!”

Emir membuka botol air mineral yang masih belum diminum sebelum dituangkan ke atas tapak tangannya. Perlahan-lahan, tapak tangannya didekatkan ke mata Azzalea sebelum gadis itu merampas botol air itu. Wajahnya dibasuh menggunakan air mineral sehingga habis airnya.

Azzalea berasa lega apabila matanya sudah tidak sepedih tadi.

“Nothing turns out well every time I met you!” marah Azzalea sebelum bangun dari duduknya.
Emir bercekak pinggang di hadapan Azzalea.

Azzalea langsung tidak menghiraukan Emir yang berada di hadapannya. Beg kertas serta botol mineral yang kosong diberikan kepada Emir.

“Anyway, thanks for helping me just now,” ujarnya sebelum berlalu meninggalkan Emir.

Emir mengerutkan dahi. Beg kertas yang diberikan oleh Azzalea dijenguk isinya. Bibir Emir mula merekah dengan senyuman apabila bau sambal sotong menusuk hidungnya.


“AN, aku nampak Lea tadi dekat sini. Kau dah jumpa dia?” soal Juan sewaktu dia ingin masuk ke dalam bilik tempat menempatkan loker.

Apabila tiba di tempat meletak motosikal, barulah Juan perasan kunci motosikalnya tiada. Terpaksalah dia berpatah balik ke lokernya.

“Lea ada dekat sini? Tak ada pun dia jumpa aku.”

Juan menjungkit bahu.

“Tadi aku ada jumpa dia dekat depan 203. Tak tahulah dia dah kemana. Sebab tadi dia cakap dia nak jumpa kau.”

“Eh, aku pergi cari dia dululah!” ujar Nazhan.

Juan hanya mengangguk sambil menggaru kepalanya, hairan dengan Azzalea. Pelik.


NAZHAN berjalan menyusuri pantai yang sudah agak sesak itu. Langkahnya mati apabila Emir kelihatan sedang melutut di hadapan Azzalea. Siap Emir memegang pipinya lagi. Selama ini bukankah Azzalea tidak suka apabila ada orang menyentuhnya?

Kemudian, dia dapat melihat Azzalea berlari ke pantai sebelum melabuhkan duduk  di pasir. Emir pula kelihatan tergesa-gesa mendekati Azzalea. Nampaknya kedua-dua mereka sangat senang hati, fikir Nazhan.
Tidak mahu makan hati dengan adegan yang baru disaksikan, Nazhan berpatah balik tanpa menoleh ke belakang. Entah mengapa hatinya terasa sakit melihat Azzalea sedang bersuka ria dengan Emir.


“LEA, dah balik? Dah bagi nasi lemak tadi pada Nazhan?”

Azzalea menggeleng sebelum duduk di sisi neneknya.

“Dia dah makan, Opah. Makan dengan orang lain,” perlahan sahaja Azzalea menjawab soalan neneknya.

Nek Limah terdiam seketika sebelum mengusap kepala cucunya.

Azzalea tersenyum apabila kasih sayang Nek Limah berjaya menenangkan perasaannya. 

Thursday, February 7, 2013

Hadirnya Cinta Terindah 20


BAB 20

“LEPASKAN aku!” jerit Zara apabila tubuhnya ditarik dua orang lelaki ke tepi jalan.

Kedua-dua lelaki yang bertopeng itu hanya ketawa berdekah-dekah. Seorang berbadan gempal manakala seorang lagi berbadan sasa.

“Jeritlah lagi! Takkan ada yang dengar!” ujar lelaki yang berbadan gempal itu.

Ya, dia benar. Pada waktu pagi begini, tidak ramai orang melalui kawasan ini. Selama ini, Zara menggunakan jalan pintas ini namun tidak pernah diganggu sesiapa. Zara meronta-ronta ingin melepaskan diri daripada pegangan kejap dua lelaki tersebut.

Lelaki yang berbadan sasa itu mendekatkan wajahnya pada Zara sebelum jarinya yang kasar mengelus-ngelus pipi Zara.

“Kau cantik. Betul kata boss aku. Patutlah ramai orang nak,” ujarnya sambil jari-jemarinya menari di pipi Zara.

Zara menjerit sekali lagi sebelum tubuhnya ditolak ke tanah. Dia dapat merasakan tubuhnya sedikit sengal apabila belakang badannya mendarat di permukaan tanah yang tidak rata. Lopak-lopak air di tanah membuatkan baju putih yang dipakainya basah lencun dan kotor.

“Lepaskan aku! Lepaskan!” jerit Zara sekali lagi. Air matanya mengalir jua. Rasa takut mula menguasai diri.

Jeritan Zara yang kuat membuatkan lelaki yang bertubuh sasa itu menekup mulut Zara dengan tangan kirinya.

“Diam!” marahnya.

Lelaki yang berbadan gempal itu pula mengeluarkan sebilah pisau lipat dari kocek seluarnya. Rakannya melepaskan tangannya daripada terus menekup mulut Zara. Dia berdiri dengan Zara berada di antara kedua-dua belah kakinya. Baru sahaja dia ingin membuka tali pinggangnya, Zara terlebih dahulu menendang bahagian alat sulit lelaki itu. Dia sudah tidak punya cara lain. Hanya itu sahaja caranya untuk dia melepaskan diri.

“Hoi!” jerit rakan lelaki itu apabila Zara sudah bangun dari tempat dia ditolak sebelum membuka langkah seribu.

“Kau berdiri dekat sini buat apa? Kejarlah!” jerit lelaki yang berbadan sasa tersebut, menahan sakit.

Rakannya yang gempal itu mula mengejar Zara. Zara berlari sepantas mungkin untuk keluar daripada semak itu. Keluar sahaja Zara dari semak itu, dia segera berlari sepantas mungkin.

“Tolong!” jeritnya dengan air mata yang berlinangan.

Zara berhenti apabila lelaki yang berbadan sasa tadi sudah berada di hadapannya. Zara mengundur sebelum tubuhnya melanggar rakan kepada penjenayah tersebut. Zara kaku apabila tangannya seolah-olah ditoreh sesuatu. Darah merah yang pekat mengalir daripda lengannya. Bau darah membuatkan Zara mula berasa pening.

“Larilah lagi! Lari!” jerit lelaki gempal itu sebelum sekali lagi tubuh Zara ditolak.

“Tolong lepaskan saya,” rayu Zara.

Kawasan yang biasanya ramai orang itu begitu sunyi sepi. Selalunya ramai orang yang lalu-lalang di situ.

“Sayanglah kalau kami lepaskan kau. Kau cantik. Rugilah kalau tak dapat ‘makan’.”

Kedua-dua mereka datang mendekati Zara. Zara mengesot ke belakang.

“Tolong! Tolong! Tolong!”

“Zara? Zara! Kenapa ni?”

Zara membuka mata sebelum dapat menangkap bayang wajah Rasya berada di hadapannya.

“Akak!” jerit Zara sebelum mendakap tubuh kakaknya.

Rasya dapat merasakan Zara menggigil. Peluh sudah pun merenik di dahi adiknya.

“Kenapa ni?” soal Rasya apabila pelukan sudah dileraikan.

Zara menggeleng laju.

“Nightmare,” balasnya pendek.

Rasya mengerut dahi.

“Itulah. Next time baca doa sebelum tidur,” ujar Rasya sebelum bergerak semula ke work stationnya yang berada di salah satu bucu bilik tidur mereka.

Zara memegang dadanya. Jantungnya berdegup kencang. Lengan baju diselak ke paras siku. Garisan sepanjang lebih kurang lapan sentimeter ditenung sebelum disentuh dengan hujung jari. Setitis air mata jatuh membasahi pipinya.

Lengan bajunya segera diturunkan sebelum dia bergerak ke bilik air. Dia ingin mengambil wudhu’ dan menunaikan solat sunat tahajjud. Semoga hatinya tenang semula.


PAGI itu, selesai bersarapan, Zara duduk di taman mini rumahnya. Fikiran menerawang jauh ke mana. Mengapa mimpi ngeri itu kembali menerjah? Di saat dia sudah mula melupakan semua itu. Mengapa?

Parut yang berada di lengannya ditenung. Andai dia mampu membuang parut itu, akankah mimpi ngeri itu hilang serta-merta? Rasa marah menguasai hatinya. Tapak tangan kirinya menggosok parut itu sekuat mungkin, seolah-olah dia cuba memadamkannya. Namun dia tahu semua itu tidak mampu terjadi, melainkan dia melakukan pembedahan. Tetapi.. dia tidak mahu melakukan apa-apa pembedahan. Dia ingin bayangan itu berlalu dengan sendirinya, apabila tiba masanya.

Selama ini, langsung tiada siapa yang mengetahui akan hal itu. Termasuklah keluarganya. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu mengenainya. Cuma.. ada seseorang sahaja yang mengetahuinya. Zara merenung permukaan meja yang diperbuat daripada marmar itu. Sihatkah dia?


IMRAN berjalan menuruni anak tangga sebelum duduk di ruang tamu. Kelihatan ibu bapanya serta Julia berada di luar, sibuk berbual-bual. Imran menyandarkan kepalanya ke sofa sebelum menekan butan ‘on’ pada badan alat kawalan jauh televisyen. Dia meraup wajah sambil melihat ke arah jam yang berada di dinding. Jam sebelas setengah pagi. Semalam dia hanya sampai di rumah dalam jam lima setengah. Setelah menunaikan solat Subuh, barulah dia dapat melelapkan mata.

Tiada langsung siaran yang menarik minatnya. Dia menggeliat sebelum merebahkan tubuhnya, berbaring di sofa itu. Hari ini dia harus datang ke hospital jam sembilan malam nanti. Mujurlah ramai lagi doktor-doktor yang akan datang. Memandangkan pekerja di bahagian ortopedik tidak seramai pekerja di bahagian kanser, shif kerja mereka tidak tetap.  Namun, dia sukakan kerjanya sebagai salah seorang doktor pakar dan bedah ortopedik. Dia belum pernah merungut apabila dia terpaksa berada di hospital dalam jangka masa yang lain.

“Im?”

Imran mengurut dada. Terkejut apabila namanya dipanggil.

“Terkejut Im, Mama. Bila masa Mama masuk ni?” soalnya sebelum duduk seperti tadi.

“Baru je kejap ni. Im bukak TV, tapi TV yang tengok Im,” balas Datin Marlia.

Imran tersengih.

“Im masuk kerja pukul berapa?”

“Pukul sepuluh, Ma. Balik tak tahu lagi pukul berapa. Takut tak ada orang nak buat round up,” balasnya.

Sebagai seorang bekas pakar bedah neurologi, Datin Marlia benar-benar memahami akan tugas Imran. Dia dan juga suaminya, Dato’ Musa sama-sama pakar bedah neurologi. Dan kerjaya itulah yang menemukan mereka berdua. Menjadi seorang doktor, Imran harus bersedia dengan emergency call daripada hospital. Jika dia harus datang pada seawal jam dua atau tiga pagi, dia harus berada di sana. Ramai pesakit yang bertarung nyawa hanya untuk meneruskan kehidupan. Rasa mengantuk dan penat tidak setanding dengan kesakitan yang dihadapi pesakit.

“Tak apalah. Sekarang pun Mama tengok Im dah boleh coupe sikit-sikit dengan kerja Im. Sibuk macam mana pun, Im kena jaga solat,” pesan Datin Marlia.

Imran mengangguk sambil tersenyum kecil.

“Mama nak masak dulu,” ujar Datin Marlia sebelum bangun dan bergerak ke dapur.

Imran berbaring semula. iPad di atas meja kopi dicapai sebelum dia meneroka seluruh sudut yang berada di dalamnya.


RYAN termenung di dalam keretanya. Sudah lebih setengah jam dia duduk di dalam keretanya sambil termenung. Kanak-kanak sedang sibuk bermain papan gelongsor, buaian dan bermacam lagi permainan yang berada di taman itu.

Zara.. membayangkan sahaja wajah si pemilik nama Zara Sofea itu, ada senyuman yang menghiasi bibirnya. Walaupun cara pemakaian Zara berubah seratus peratus, namun Zara tetap Zara yang dulu. Dingin dan sejuk seperti ketulan ais di Antartika. Duduk berdekatan dengannya sahaja sudah terasa aura dingin itu.

Ryan membuka pintu kereta sebelum berjalan ke arah taman permainan yang berada di seberang jalan. Kelihatan ada tiga orang cikgu perempuan di tadika itu sedang asyik melayan kanak-kanak. Ryan datang mendekati.

“Oh, Encik Ryan! Baru sampai?” soal salah seorang daripada guru tadika yang bertudung hijau.

Ryan tersenyum.

“Baru je sampai. Hakim belum balik lagi, kan?” soal Ryan sambil memanjangkan leher mencari kelibat anak kecil yang bernama Luqman Hakim itu.

“Sekejap, ya. Saya cari,” ujar wanita itu.

Ryan hanya berdiri sambil bercekak pinggang. Kelihatan kanak-kanak di situ sedang ketawa ceria sambil bermain bermacam jenis permainan. Beginilah keadaan Tadika Ihsan apabila petang menjelma. Kanak-kanak di tadika itu akan dibawa keluar dari tadika dan bermain di taman permainan sementara menunggu ibu bapa pulang dari kerja untuk mengambil anak-anak mereka.

Senyum Ryan mekar apabila kelihatan seorang kanak-kanak berkulit putih kemerahan berlari-lari mendapatkannya. Beg yang dipegang gurunya bertukar tangan.

“Akim balik dulu, cikgu!” ujar kanak-kanak itu riang dalam pelatnya sambil bersalam dan mencium tangan gurunya.

“Saya balik dulu, cikgu,” ujar Ryan meminta diri.

Wanita itu hanya tersenyum sambil menganggukkan kepalanya.

Ryan berjalan sambil memimpin tangan Hakim. Hakim berjalan dengan gembiranya sambil melompat-lompat kecil. Gembira apabila Ryan yang menjemputnya pulang dari tadika.

“Jangan lompat, Hakim. Jatuh nanti,” ujar Ryan apabila beberapa kali Hakim menyepak batu-batu di kakinya. Bimbang pula si comel terjatuh.

Hakim melepaskan pegangannya sambil meluruskan kedua-dua belah tangannya kepada Ryan. Ketawa Ryan meletus melihat tingkah laku Hakim. Pipi Hakim dicubit perlahan.

“Oh.. anak Papa nak Papa dukung, eh?” soal Ryan.

Hakim mengangguk laju.

Sekali lagi tawa Ryan pecah. Dengan berhati-hati, tubuh kecil Hakim diangkat.

“Papa, jalan macam ultraman! Nak naik ultraman!” ujar Hakim teruja.

“Takkanlah Papa nak buat dekat sini. Malulah Papa.”

Hakim sudah menarik muncung itik. Ryan ketawa besar sebelum meluruskan tangan kanannya ke hadapan sambil berlari mendekati kereta. Hakim ketawa suka apabila dapat menaiki ‘ultraman’ yang dimahukan. Segan pula Ryan apabila kelihatan dua orang gadis yang berada di dalam tadika sedang ketawa melihatnya. Demi anaknya yang seorang itu, dia sanggup melakukan apa sahaja! Asalkan anaknya gembira.

Adakalanya sukar menjadi seorang bapa bagi Ryan. Dia harus menguruskan keperluan anaknya sebelum ke tempat kerja. Mujurlah dia tinggal bersama keluarga. Ringanlah sedikit bebannya. Namun, ada kelebihannya menjadi seorang bapa di usia muda begini. Lebih senang untuk dia meluangkan masa dengan Hakim memandangkan dia juga masih muda. Dia boleh bermain dan bergurau dengan Hakim. Anaknya itu baru sahaja berusia empat tahun, namun Hakim sungguh bijak.

Akhirnya, BMW X8nya mula bergerak meninggalkan kawasan tadika dengan Hakim yang asyik bergerak ke tempat duduk depan dan belakang.


“BAIK Zara kerja dengan Uncle Zain. Bukannya apa. Since Uncle Zain tu uncle kita, lagi senang Zara nak dapat cuti. Tengoklah last year. Zara cuti dua hari je,” ujar Rasya, memberikan pendapatnya.

Zara menggaru kepala yang tidak gatal.

“Takkanlah Zara nak berhenti? Zara baru kerja dua tahun. Nak jugak cari pengalaman,” balas Zara.

“Betullah cakap Sya tu, Zara. Cubalah dulu. Who knows lagi best kerja dengan Uncle Zain?” sampuk Durrani.

Berat hati rasanya untuk Zara meninggalkan Electro Holdings. Rasanya seperti baru semalam dia menjejakkan kaki di syarikat itu.

“Biar Zara fikir dulu, ya?” putus Zara.

Memang hatinya berbelah bahagi saat ini. Dia ingin meneruskan kerjayanya di Electro Holdings, namun mungkin lebih senang untuk dia bekerja dengan Uncle Zain. Uncle Zain kenal keluarganya dengan rapat memandangkan dia merupakan abang kepada bapa mereka.

“Dah, dah. Sekarang jom makan dulu,” ajak Encik Jamaluddin apabila anak-anak gadisnya sudah selesai menghidang makan malam untuk mereka sekeluarga.



Masa tengah taip pasal Dania Marissa, DL bayang dak comel ni Icha. Heheh. Nama dia Yoon Da Young, featuring dalam MBLAQ Hello Baby, 2012. Comel, kan? Mixed. Korean - Vietnamese :D




And automatically Leo Recipon DL bayangkan as Luqman Hakim. Haha. Just, poof! Terus bayangkan. Leo pun dari MBLAQ Hello Baby. Best sangat! :) French - Korean :D


Nota tapak kaki beruang DL - Ta-dahhh! HAHA. So, ini chapter last HCT dekat blog ni. Doakan DL dapat teruskan cerita ni dalam bentuk cetakan. DL tak nak jadi spoiler. Just.. chapter ni banyak buat orang tertanya-tanya. Apa jadi kat Zara sebenarnya? Siapa Luqman Hakim? Agak-agak, Zara nak kerja tak dengan Uncle Zain? Kahwin ke Zarif dengan Aqilah? Ending HCT, Zara dengan siapa? Untuk tahu semua tu, DL akan buat yang terbaik so that HCT ni akan ada sebaris dengan novel novel lain dekat rak buku, in every book stores. InsyaAllah. DL akan share sikit sikit teaser aa akan jadi pada Zara, Imran, Zarif, Aqilah and Ryan pada anda semua from time to time. InsyaAllah. I'm waiting for yo comments, everyone!