BAB
2
“GOOD
morning, Rapunzel!”
Keisha
yang sedang menyidai pakaian di ampaian segera menoleh. Kelihatan seorang
jejaka sedang berdiri tegak di beranda rumah yang terletak di sebelah kanannya.
Jejaka itu tersenyum lebar.
Keisha
hanya menganggukkan kepala sambil menghadiahkan senyuman kecil buat lelaki itu.
Kemudian, dia segera menyambung kerjanya. Baju T di tangan dikibas-kibas
sebelum disangkut ke penyangkut baju.
Di
sebelah sana pula, Wan Muhammad Hazrill sedang berdiri memerhatikan Rapunzel
pujaan hati. Seorang gadis terkurung di dalam menara itu tidak ubah seperti Rapunzel
fikirnya. Dan sudah pasti sang puteri sedang menunggu putera idaman datang
menyelamatkannya. Dia yakin dia yang bakal menjadi putera idaman Keisha.
“Dah
breakfast?” cuba Wan Hazrill lagi.
Keisha
hanya menganggukkan kepalanya. Langsung tidak melihat ke arah jirannya itu.
Wan
Hazrill tersenyum sendiri. Biarpun bibir Keisha langsung tidak mengukir senyum,
wajah itu tetap nampak manis di matanya.
Pergerakan
Keisha diperhatikan dengan penuh minat. Kalaulah ibunya melihat Keisha, pasti
ibunya menyukai Keisha. Keisha rajin, cantik dan juga pandai melakukan
kerja-kerja rumah. Seperti mana Keisha memerhatikan Izz Rayyan, begitu jugalah
Wan Hazrill memerhatikan Keisha. Kali pertama dia terpandangkan Keisha adalah
tiga tahun yang lalu. Namun, Keisha bukanlah cinta pandang pertamanya. Perasaannya mula berputik terhadap Keisha bermula apabila Keisha membantunya
untuk memasak makanan sempena potluck yang dilakukan di pejabatnya. Nampak
ringkas, namun itulah kali pertama dia mula belajar menyukai Keisha.
“Wan!
Ada orang call!”
Panggilan Koya atau pun nama sebenarnya Ammar Firdaus
membuatkan babak yang baru sahaja bermula dipotong begitu sahaja. Wan Hazrill
mendengus kasar.
“Siapa?” soalnya apabila Ammar Firdaus sudah turut muncul
di beranda itu.
Ammar Firdaus menjungkit bahu.
“Assalamualaikum, Rapunzel. Busynya pagi-pagi ni,” tegur
Ammar Firdaus sambil berjalan mendekati penghadang beranda.
Keisha menjawab salam Ammar Firdaus dengan suara yang
perlahan. Dia kemudiannya mengangguk lagi.
“Hari-hari dok mengangguk. Nak jugak dengar suara tuan
puteri,” usik Ammar Firdaus.
Keisha tertunduk malu.
“Err.. ha’ah. Tak kerja?” soal Keisha.
Ammar Firdaus tersenyum bangga sambil mengangkat dagu ke
arah Wan Hazrill. Menunjuk-nunjuk apabila Keisha menjawab pertanyaannya. Wan
Hazrill pula sudah mengetap gigi. Nasib baiklah si Koya ni kawan aku. Kalau
tidak, dah lama aku debik, kutuknya dalam hati.
“Finally. Dengar jugak suara. Patutlah tak banyak
bercakap, rupanya suara kalah buluh perindu. Taklah. Kan hari ni Sabtu. Macam
mana nak kerja?”
Semakin merah padam wajah Keisha. Setiap kali Ammar
Firdaus bersuara, pasti ada sahaja ayat mengusik yang diselitkan.
“Wan! Ada call!”
“Siapa?” soal Wan Hazrill bengang.
Fokus Wan Hazrill beralih kembali kepada Keisha dan Ammar
Firdaus. Wajah Keisha masih lagi merah padam, akibat penangan gurauan Ammar
Firdaus.
“Wan!"
“Apa?!”
Jeritan Wan Hazrill nyata mematikan senyuman di bibir
Ammar Firdaus. Keisha pula terkejut besar mendengar suara Wan Hazrill.
“Biasalah.. dia jealous saya bercakap dengan awak,” ujar
Ammar Firdaus setelah Wan Hazrill sudah masuk ke dalam rumah.
Keisha hanya tersenyum.
“Err.. saya masuk dulu. Ada lagi kerja nak kena siapkan
dekat dalam,” mohon Keisha setelah hampir seminit dia dan Ammar Firdaus hanya
diam tanpa sebarang ayat.
Ammar Firdaus mengangguk sebelum menghantar langkah
Keisha dengan pandangan matanya sahaja.
AKU pernah
menutup pintu itu
Rapat..
Akankah pintu itu terbuka semula?
Adakah aku sendiri yang akan membukanya?
Andai sahaja aku mudah memberikan kemaafan
Namun, aku bukan siapa-siapa
Hanya seorang manusia..
kerdil dan
tidak sempurna
Menanti agar lembutnya hati menghulur kemaafan.
Telefon bimbit berdering, menandakan ada pesanan yang
masuk. Keisha mencapai Sony Ericsson Arc S miliknya. Tertera nama Cik Azlinda
di skrin. Ibu jarinya menyentuh ikon sampul surat.
‘Salam, Keisha. Saya dah emailkan satu draf untuk awak.
Kali ni awak kena tulis buku kanak-kanak. Hujung bulan due date. Slowly. 30
muka je.’
Keisha merenung kalendar yang tergantung di dinding. Hari
ini baru sahaja 8 Mac 2012. Masih panjang lagi masa untuk dia menyiapkan buku
itu. Mujurlah buku itu hanya memerlukan tiga puluh muka surat sahaja.
Tetikus digerakkan dengan tangan kanan. Cursor dibawa ke
peti masuk emailnya. Email daripada syarikat penerbitannya diklik. Draf yang
dihantar dibaca sepintas lalu. Dia harus menulis semula cerita-cerita dongeng
dahulu kala. Mudahlah sedikit kerjanya.
‘Waalaikumussalam, Cik. Saya dah baca draf tu. Saya just
perlu olahkan ayat-ayat je, kan?’
Butang send disentuh dengan ibu jari. Keisha sabar
menanti balasan Cik Azlinda sambil mencari koleksi kisah-kisah dongeng yang
disimpannya. Memandangkan dia adalah seorang editor dan juga penulis, dia harus
menyimpan buku-buku seperti itu. Manalah tahu kalau tiba-tiba sahaja dia
diminta menulis semula karya-karya itu semua, seperti sekarang.
Sebuah kotak besar ditarik dari tepi meja komputernya.
Buku-buku yang mengandungi kisah-kisah dongeng kanak-kanak tersusun elok.
Terbatuk sedikit Keisha apabila habuk-habuk dari dalam kotak itu berterbangan
keluar. Dia sebuah buku yang agak tebal. Dibukanya buku itu. Isi kandungan buku
itu lengkap dengan pelbagai jenis kisah dongeng. Namun ada sesuatu yang menarik
perhatian Keisha. Tiada langsung gambar di mana-mana muka surat dalam buku itu.
Keisha mencapai sebatang pen dan kertas. Dia mencatat
sesuatu. Kanak-kanak mudah bosan sekiranya mereka perlu membaca. Demi menarik
minat kanak-kanak membaca buku, gambar-gambar perlu disertakan. Pasti mereka
akan seronok membaca nanti. Itu baru satu point. Dia menyelak lagi helaian demi
helaian buku itu. Point demi point di catatkan, bagi menambahkan elemen-elemen
yang mampu menarik minat kanak-kanak untuk membacanya.
Setelah selesai menulis apa yang
perlu, buku tebal yang berada di tangan ditutup. Rapat. Dia kemudiannya bangkit
sebelum bergerak ke arah beranda. Rumah Izz Rayyan yang kosong dipandang sepi. Rumah
itu gelap seperti biasa. Tugas Izz Rayyan sebagai doktor sering membawanya
keluar dari rumah. Adakalanya berhari-hari Izz Rayyan akan tidur di klinik.
Keisha menarik nafas panjang lalu mendekati barisan pokok
bunga yang ditanam di dalam pasu. Satu keluhan kecil terbit dari bibirnya. Dia duduk
mencangkung sambil tangannya gatal ingin menyentuh kelopak bunga yang
berwarna-warni. Buat beberapa saat, dia hanyut dalam angannya sendiri.
“WOI, Kim!”
Harith Hakim yang sedang berjalan sambil menarik bagasi
mematikan langkah. Kaca mata hitam ditanggalkan, lalu disangkut ke ke baju. Keningnya
diangkat.
“Tunggulah Que kalau ya pun,” ujar Amirul Zaffuan.
Harith Hakim mengangguk. Hampir terlupa pula dia dengan
sahabat baik mereka itu, Faliq Izham.
Kemudian, mereka berdua mencari kerusi
yang masih kosong berdekatan dengan tempat mereka berdiri tadi. Buat seketika,
kedua-dua jejaka itu sibuk berbalas pesanan kepada keluarga dan juga
teman-teman rapat. Kepulangan mereka ke tanah air sungguh dinantikan. Namun,
mereka sengaja pulang pada hari ini, lebih awal daripada jangkaan.
“Que ni.. tak habis-habis kena tahan,” bebel Harith
Hakim.
“Biasa, bro! Bukan kau tak kenal budak tu. Cara dia
pandang orang pun dah lain macam. Memang kenalah!” balas Amirul Zaffuan.
Harith Hakim menganggukkan kepala. Mengiakan kata-kata
sahabatnya itu. Nak buat macam mana, memang itu sikap sebenar Faliq Izham. Renungannya
tajam, seolah-olah menjemput orang lain menumbuknya. Suaranya apabila bercakap
sentiasa sinis, manakala sikapnya dingin. Sedingin ketulan ais. Namun, hanya
Harith Hakim serta Amirul Zaffuan sahaja yang mengenali sikap sebenar Faliq
Izham. Selain Harith Hakim dan Amirul Zaffuan, layanan yang baik hanya
diberikan kepada neneknya serta bapanya sahaja. Baginya, dia hanya punyai bapa
dan neneknya sahaja di dunia ini.
“Miyul! Kim! Jom!”
Pandangan Harith Hakim dan Amirul Zaffuan jatuh pada
Faliq Izham yang sedang berdiri di hadapan mereka. Seperti biasa, tubuhnya
dibaluti dengan pakaian berwarna hitam dari hujung kaki ke hujung kepala. Kaca mata
Ray Ban hitam melekat elok di batang hidung.
Akhirnya, ketiga-tiga jejakai itu bergerak meninggalkan
lapangan terbang itu. Masing-masing melangkah dengan harapan agar kepulangan
mereka ke tanah air ini bakal melengkapkan kekurangan yang selama ini
dirasakan. Agar kepulangan mereka kali ini akan membawa seribu makna, terutamanya
buat Faliq Fahmi.
No comments:
Post a Comment