AUTHOR'S WORDS

Assalamualaikum wbt. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Note - These stories are not related to anybody. Kalau ada yang sama, tak disengajakan. Hohoho. 100 percent from my thoughts, my imagination. Copy right reserve goes to me. :) Nama dan watak, fictions. I got the photos from Google before I'm using it as my novels' cover. Thank you and credits to the owners of the pictures. :)

21, a daughter, a little sister. And I have a big dream :')

Selamat membaca~ ;)

Wednesday, August 15, 2012

Tapi Bukan Aku 16


“IRFAN! Amboi.. jarang dah dapat berborak dengan kau,” sapa Azli. Dia dan Shamer duduk di hadapan Irfan.

“Yalah. Jarang sangat,” sampuk Shamer.

Irfan yang hanya bersandar pada kerusinya hanya tersenyum mendengar rungutan dua sahabatnya itu.

“Bila aku busy, korang free. Bila korang free, aku busy. Kerja ni takkan habis. Makin bertambah adalah,” balasnya.

“Tahu tak apa. Weekend ni kau ada hal tak? Kalau tak ada, aku dengan Azli nak balik kampung aku. Jomlah sekali. Boleh tengok rumah kau sekali,” ujar Shamer.

Rumah Shamer terletak di Gerik, Perak. Kampung Irfan juga berada di Perak, tetapi cuma daerahnya sahaja berbeza. Rumah datuk dan nenek Irfan terletak di Kuala Kangsar. Manakala Azli pula berasal dari Selangor.

“Aku tak tahu lagilah. Dengar macam best. Tapi aku tak boleh janji. Takut ada apa-apa hal dengan papa aku.”

“Kalau macam tu tak apalah. Lain kali pun tak apa,” jawab Shamer.
Irfan mengangguk.

“Dahlah. Jom lunch. Aku dah lapar dah ni,” celah Azli. Perutnya digosok-gosok dengan tapak tangan.

Irfan dan Shamer tergelak. Segera Irfan menutup fail yang berada di hadapannya. Dia ikut bangun apabila Azli dan Shamer sudah berdiri.

“Eh, tunggu sekejap,” ujar Irfan sebelum berlalu meninggalkan Azli dan Shamer.


KETUKAN di mejanya membuatkan jari-jemari Rania yang sedang ligat berlari di papan kekunci komputer terhenti serta-merta.

“Ada apa, Encik?” tanya Rania, mendongakkan kepala.

Segera Irfan melarikan pandangan apabila anak mata Rania menikam wajahnya.

“Saya nak pergi lunch. Jomlah,” ajak Irfan.

Rania menoleh ke sebelah kirinya. Kelihatan Azli dan Shamer mengangkat tangan ke arahnya. Sapaan itu dibalas dengan senyuman. Rania mengerling jam di pergelangan tangannya. Sudah jam satu setengah petang!

“Eh, tak sedar pulak saya. Tak apa ke kalau keluar dengan Azli dan Shamer sekali?”

Azli? Shamer? Kemanakah perkataan Encik yang biasa disebutnya menghilang? Irfan menjeling. Dia keluar daripada bilik Rania melalui pintu depan. Azli dan Shamer ikut keluar melalui pintu bilik Irfan.

Rania menjeling Irfan yang membelakanginya. Bukannya nak jawab soalan orang. Segera diacah-acah penumbuknya pada Irfan. Irfan berpaling. Rania berpura-pura menggaru kepala.

“Cepatlah!” gesa Irfan. Pintu bilik Rania dikuak.

Rania mengangguk. Cepat-cepat tas tangannya dicapai. Bimbang Irfan bertukar menjadi singa. Langkah mereka bertiga diikutnya dari belakang.

“Nak makan dekat mana?” tanya Shamer semasa mereka sudah sampai di hadapan pintu lif. Butang bertanda anak panah ke bawah ditekan.

“Makan dekat-dekat sini ajalah. Nanti lambat pulak balik. Nak solat lagi,” balas Irfan.

Rania tersenyum mendengar jawapan Irfan. Pintu lif terbuka. Pantas mereka masuk ke dalam lif. Tiba-tiba sahaja terasa lapar.

Sampai sahaja di ground floor, keempat-empat mereka berjalan ke pintu keluar. Rania berjalan perlahan sedikit apabila tiga jejaka itu sibuk berbual itu dan ini. Malas dia mahu mendengar perbualan yang tidak ada kena-mengena dengan dirinya.

Melihatkan Rania yang tertinggal di belakang, Irfan menyuruh Azli dan Shamer berjalan dahulu. Mereka berjalan beriringan hingga ke gerai yang berada berhampiran dengan pejabat mereka. Rania tidak biasa makan di gerai. Dia berasa sedikit kekok. Mereka mengambil tempat di bahagian dalam gerai. Di bahagian hujung gerai. Mujurlah gerai itu besar. Waktu begini, tidak begitu ramai orang. Biasanya, hampir pukul dua, pekerja-pekerja di pejabat-pejabat di kawasan itu akan pulang ke pejabat. Ada yang hanya membungkus makanan dan makan di pejabat. Maklumlah, waktu rehat hanya satu jam setengah.

Azli dan Shamer terlebih dahulu mengambil makanan di bahagian nasi campur. Rania hanya jadi pemerhati. Seorang pelayan lelaki yang berbaju kelabu dan seluar jeans lusuh datang menghampiri meja mereka.

“Nak minum apa?” sebuah buku kecil dikeluarkan dari apron hijau lusuhnya.

“Satu sirap limau ais, dua limau ais. Awak?” tanya Irfan pada Rania.

Rania menggaru kepala.

“Err.. limau ais jugaklah,” balas Rania.

Pelayan itu mencatat pesanan mereka dan berlalu pergi. Rania tidak biasa makan di gerai-gerai seperti itu memandangkan keluarganya hanya makan di restoran-restoran sahaja. Danny juga selalu membawanya makan di restoran-restoran terkenal sahaja. Berlainan dengan Irfan. Dia hanya makan di gerai dan tidak memilih. Mungkin kerana sudah lama dia hidup seperti orang biasa. Sebab itulah dia tidak terlalu memilih.

“Awak ni kenapa?” tanya Irfan. Rupanya dari tadi dia sudah memerhatikan Rania.

“Tak ada apa-apalah,” bohong Rania.

Irfan hanya mengangkat bahu. Biarlah dia.

“Dah. Turn korang pulak.”

Azli meletakkan pinggannya ke meja. Dia duduk di sebelah Rania.

“Dah order air ke?” tanya Shamer yang baru sahaja selesai membasuh tangan.

“Dah. Jangan risau,” balas Irfan, tersengih.

Bau dari asam pedas di pinggan Azli benar-benar menggoda tekak Rania. Gulai lemak ayam di dalam pinggan Shamer pula nampak sungguh menyelerakan.

Irfan bangun dari kerusi. Rania hanya mengekori langkah Irfan. Irfan meminta dua pinggan nasi. Dia mencedok ayam masak merah ke dalam pinggannya.

“Kenapa awak ni? Pilihlah cepat. Nanti habis waktu rehat,” tegur Irfan setelah memasukkan beberapa jenis lauk lain ke dalam pinggannya.

Akhirnya Rania memilih makanan yang sama dengan Irfan. Makanan di rumah Rania juga begitu. Masakan kampung. Cuma dia tidak biasa makan makanan begitu di luar. Mereka kembali duduk di meja tadi dan makan dengan penuh berselera.


RANIA mengerling jam di dinding. Perutnya terasa lapar tiba-tiba. Sudah jam sembilan malam, namun dia masih belum makan. Perutnya benar-benar terasa lapar dan minta diisi.

Rania bangun dari duduknya dan berjalan ke dapur. Dia tidak tahu apa yang ada di dalam rumahnya, memandangkan dia tidak memasak. Pintu peti sejuk dibuka. Satu plastik nugget ayam, kentang dan bebola sayur dikeluarkan daripada peti sejuk. Mujurlah Darlina dan Zarina ada datang membawa makanan segera dan makanan kering buatnya.

Rania menggoreng nugget, kentang dan bebola sayur. Hampir setengah jam, barulah makanan bergoreng itu siap. Rania duduk makan di ruang tamu sambil melayan rancangan yang disiarkan di televisyen.

Deringan telefon bimbitnya mengganggu fokus Rania. Telefon bimbit dicapai.

“Hello, assalamualaikum,” sapanya tanpa melihat nama yang tertera di skrin.

“Waalaikumussalam, Nia.”

Suapannya terhenti.

“Ya,” balas Rania sepatah.

“You sihat?”

“Yes.”

“Buat apa tu?” tanya lelaki itu.

“Makan.”

Danny mengeluh. Hanya sepatah-sepatah sahaja perkataan yang keluar dari bibir gadis itu.

“I belum makan ni. Kalau I tahu you belum makan, dah lama I ajak you makan. You nak tak temankan I keluar makan?” giat Danny. Dia masih belum berputus asa.

“Tak payah kot. I dah kenyang makan ni aja. You ajaklah orang lain. Lily ke, or other girls. Lagipun dah lewat malam ni,” balas Rania acuh tak acuh.

Kedengaran Danny ketawa di hujung talian.

“Did I make a joke?” soal Rania sinis.

“No, no. From how do you talk, I think you’re just jealous.”

Cemburu? Rania ketawa dalam hati. Dah tak ada gunanya cemburu. Nasi sudah menjadi bubur.

“If you tak ada hal penting nak cakap dengan I, I nak sambung makan,” ujar Rania.

Segera butang end call ditekan. Bibirnya mengomel tentang sesuatu yang dia sendiri tidak tahu.

Bayangan sewaktu makan tengah hari tadi mula menyapa. Ya, bayangan kali pertama dia makan di gerai. Makanan di gerai itu tidaklah begitu teruk. Memang kena dengan tekaknya.

“Hai.. macam mana ni? Lauk pun sama,” sakat Azli apabila mereka duduk kembali di tempat mereka.

Irfan hanya ketawa mendengar usikan Azli.

Itulah kali pertama dia melihat Irfan ketawa seperti itu. Selama ini, hanya senyuman sahaja yang meniti di bibir itu. Berbeza apabila dia bersama dengan dua sahabatnya itu. Rania tersenyum sendiri. Irfan, Irfan..

Rania menampar pipinya. Kenapa ingat dekat Irfan pulak ni? Sepatutnya ingat dekat Danny! Rasa geram kembali mendongkol di dalam dada. Orang seperti Danny memang tidak layak menerima maaf. Sekiranya dia memaafkan Danny, adakah lelaki itu akan insaf? Rania mengetap bibir.


DARLINA berbaring, menghadap dinding. Dia rindu akan Ezral. Sudah sebulan Ezral ke England, menguruskan urusan syarikat. Dia merupakan seorang Pengurus Projek di salah sebuah firma arkitek di ibu negara. Disebabkan dia hanya pekerja makan gaji, terpaksalah dia terkejar-kejar ke sana kemari apabila diminta. Mungkin selepas dia dan Darlina berkahwin, dia hanya akan bekerja di dalam negara.

Entah mengapa, tangisan adiknya dua bulan yang lalu menyapa kotak fikirannya. Kasihan Rania. Dia sungguh sayangkan Danny. Darlina akui, ada kalanya dia menyampah akan sikap Danny yang terlalu memilih, tetapi dia sanggup melakukan apa saja untuk adiknya yang seorang itu. Tidak pernah sekalipun dia menghalang Rania daripada berhubungan dengan Danny.

Darlina mengeluh. Andainya saat ini dia punya seseorang yang baik untuk diperkenalkan kepada Rania, sudah lama dia memperkenalkan mereka berdua. Rania cantik, bahkan lebih cantik daripada Darlina. Rania lembut dan matang dalam berfikir biarpun adakalanya dia bersikap kebudak-budakan. Rania adalah tempat dia bercerita tentang perasaannya selain daripada Zarina.

Darlina memejamkan mata. Dalam hati, dia berdoa agar adiknya dipertemukan jodoh dengan seorang lelaki yang baik. Yang pastinya, bukan Danny. Danny dan Liliana. Masing-masing plastik, rungut Darlina dalam hati.

“Alin!”

Ketukan di pintu biliknya membuatkan Darlina tersentak. Dia bingkas bangun dan berjalan ke pintu. Tombol pintu dipulas. Kelihatan Ameer sedang berdiri di hadapannya.

“Ada apa, Abang?” soal Darlina.

“Ikut Abang kejap. Abang ada hal nak tanya dengan Alin,” jawab Ameer. Wajahnya serius.

Darlina menutup pintu bilik. Dia mengekori langkah Ameer ke tingkat bawah. Kelihatan Zarina dan Eizlan sedang duduk di meja makan sambil berbual-bual. Ada tawa yang berselang-seli dalam bicara mereka. Ameer duduk di salah sebuah kerusi di meja itu. Darlina hanya menurut. Zarina dan Eizlan senyap apabila melihat riak serius di wajah Ameer.

“Kak Sal, tolong bawakkan air ya,” pinta Eizlan.

Beberapa saat kemudian, Salmah iaitu pembantu rumah mereka datang dengan menatang teh panas. Dia meninggalkan mereka setelah dulang diletakkan ke meja.

“Abang nak tanya dengan Alin. Alin kena jawab dengan jujur,” ujar Ameer, memulakan bicara.

Darlina memandang wajah Ameer, Zarina dan Eizlan silih berganti. Dia mengangguk perlahan. Pasti ada sesuatu yang serius.

“Alin tahu kenapa Nia keluar dari rumah ni?” soal Ameer tenang.

Dah agak dah. Apalah Danny dah cakap dengan Abang Ameer agaknya? Darlina mula berteka-teki dalam hati.

“Sebab Nia nak kerja dengan orang lainlah. Dia nak cari pengalaman,” bohong Darlina. Dia seboleh-bolehnya berlagak selamba.

“Tapi Abang tak rasa macam tu. Sebab lain, kan? Alin rapat dengan Nia. Takkanlah Alin tak tahu?” duga Ameer.

“Betullah. Itu yang Nia cakap pada Alin. Takkanlah Alin nak bohong pulak,” balasnya lagi.

“Abang tak nak pusing-pusing, Abang go straight to the point. Abang nampak Nia keluar dengan lelaki.”

Bulat biji mata Darlina mendengar kata-kata Ameer. Tak mungkinlah.

“Abang, entah-entah itu boss Nia. Ataupun rakan sekerja dia. Kita tak tahu,” marah Darlina. Rahsia Rania harus disimpan sebaik mungkin.

“Itu yang Abang nampaklah. Pergi kerja lelaki tu ambil, siap pergi mall lagi. Takkanlah kawan sekerja. Boss? Tak mungkin,” bahas Ameer.

Darlina menarik nafas panjang. Sabar Alin, sabar.

“Kenapa Abang nak sangsi dengan adik Abang sendiri? Siapa yang racun fikiran Abang? Danny?”

Ameer diam. Dia tidak membenci Rania. Sebaliknya Danny yang datang berjumpa dengannya.

“Kalau betul Abang percayakan Nia, Abang tak patut tanya Alin macam ni. Nia tu adik kita. Dah empat tahun Abang dekat Amsterdam. Alin yang tinggal sebumbung dengan Nia. Alin yang ada dengan dia. Abang, sejauh manapun jarak kita, hubungan kekeluargaan takkan terputus. Sejak dulu lagi Abang tak sukakan Nia. Kenapa? Alin ingat, Abang dah berubah. Sebelum Abang pergi ke Amsterdam, Abang kata Abang takkan bezakan kasih sayang Abang pada Alin dan Nia. Kalaulah Nia tahu..”

Bicara Darlina terhenti apabila terlihatkan Tuan Haji Ihsan sedang berdiri memandang mereka. Tuan Haji Ihsan berjalan perlahan, mendekati anak menantu dan cucunya. Dia duduk di hadapan Darlina.

“Kenapa bercakap fasal Nia ni?” tanya Tuan Haji Ihsan.

Mereka berempat senyap. Zarina dan Eizlan hanya senyap seperti tadi. Lebih senang menjadi pemerhati.

“Tak ada apa-apalah, Atuk,” balas Darlina. Bimbang hati datuknya akan terluka apabila cerita buruk tentang Rania sampai ke telinga Tuan Haji Ihsan.
Tuan Haji Ihsan sedih mendengar kata-kata Ameer yang menuduh Rania tanpa usul periksa. Dia kenal benar dengan cucunya yang seorang itu. Rania adalah cucu kesayangannya. Yang menjaga dia apabila dia dimasukkan ke hospital, yang menjaga makan minumnya satu masa dulu.

“Ina, Ayah ingat nak buat kenduri kesyukuran untuk Ina. Bila Ina nak buat?” soal Tuan Haji Ihsan, cuba menukar topik.

“Bila-bila pun tak apa, Ayah. Dah lima bulan lebih dah ni,” balas Zarina, tersenyum.

Sebenarnya Tuan Haji Ihsan sedikit terasa hati dengan Ameer. Sebagai abang, dia tidak harus berfikiran buruk tentang adiknya sendiri.

“Kalau macam tu, dua minggu lagi, boleh? Hari Ahad,” usul Tuan Haji Ihsan.

“Okey jugak tu Ayah. Kami tak kisah bila-bila pun,” jawab Eizlan.

Tuan Haji Ihsan mengangguk.

“Jangan lupa suruh Nia balik. Suruh dia ajak kawan-kawan dia sekali,” ujar Tuan Haji Ihsan.

Tuan Haji Ihsan bangun dan menuju ke biliknya. Darlina mengeluh perlahan. Dia juga bangun daripada kerusinya dan meninggalkan meja itu dengan rasa geram. Ni mesti Danny punya fasal! Darlina merungut dalam hati. Jahat sungguh lelaki itu. Dia yang membuat onar, Rania yang dijadikan mangsa. Dasar lelaki pengecut!

1 comment:

Anonymous said...

ahhh akhirnya ad gek entry..hehe..thanks writer..
ish tolong la danny tu..nyampah la..
aii irfan jeles ke nia ta pggil azli n symer encik..hehe..jgn la jeles beb..
2-2 da ad elektrik mengalir da tu..tunggu na explode je tu..haha..
hope irfan n nia will b together..suke tgok diorg berdua..hehe..
thank u so much update entry..seyes refresh page u hari ni ad 4 entry..trus jerit sakan..haha..

~adda~