“QAISARA, siaplah.
Mak nak ke teratak ni. Kawan Abah dengan Mak nak datang hari ni,” tegur Puan Sri Fatimah.
“Siapa, Mak?” tanya
Adelia Qaisara kembali. Majalah di tangan diletakkan ke meja.
“Kawan Abah
dulu-dulu. Lama dah tak jumpa mereka sekeluarga,” jawab ibunya. Tudung yang
tersarung di kepala dibetul-betulkan.
Adelia Qaisara
menyisir-nyisir rambutnya yang sejengkal kurang daripada pinggang itu dengan
jarinya.
“Abah mana?” tanya
Adelia. Dia masih leka dengan rambutnya yang hitam berkilat.
“Lahh.. abah pergi
meeting hari ni. Pelupa betul anak Mak ni,” ujar Puan Sri Fatimah dalam
senyuman. “Pergi siap! Nanti Abah jumpa kat sana. Mak nak call Pak Hassan.
Mintak dia jemput.”
“Eh, Mak ni!
Biarlah Sara yang drive. Lama betul tak drive,” Adelia Qaisara mematikan
langkah.
“Yelah, yelah.
Cepat siap.”
Adelia Qaisara
berlari menaiki anak tangga. Dia masuk ke bilik. Sehelai kemeja diambil dari
dalam almari. Begitu juga dengan sehelai seluar dan selendang. Dia melangkah ke
bilik air.
Setelah bersiap ala kadar, Adelia Qaisara turun ke tingkat bawah. Tali begnya diperbetulkan. Biar panjang mencecah pinggang. Biasalah, trend katanya.
“Jom, Mak!” kunci
kereta Mecedes SUV miliknya diambil dari tempat simpanan kunci. Enjin
kereta
dihidupkan.
“HAN! Jomlah. Mak dengan adik dah siap ni. Jom, jom,” Datin Hafizah menarik lengan anak sulungnya.
Dalam rasa malas,
digagahkan juga kakinya mengikut ibunya. Pada mulanya, dia tidak mahu mengikut
ibu dan adiknya. Mendengarkan teratak itu milik Tan Sri Salleh dan Puan Sri
Fatimah, akhirnya dia akur. Sewaktu kecil, dia sekeluarga sering berkunjung ke
rumah Tan Sri Salleh. Sudah lama dia tidak bertemu dengan kawan baik bapanya
itu.
Enjin kereta BMW M3
E92 Coupe berwarnah biru Interlagos yang sudah sedia dipanaskan mula bergerak
meninggalkan kawasan banglo dua tingkat itu.
“Tak sabar rasanya
nak jumpa keluarga Kak Imah. Apalah khabar diorang,” Datin Hafizah mula
bersuara, setelah beberapa minit kereta anaknya menyusur jalan raya yang tidak
begitu sesak.
“Mak Cik Imah ada
anak. Kan Mama?” sambut Dhia Syaqirah dari tempat duduk belakang.
“Ada. Nama dia,
Adelia Qaisara. Bukan anak kandung Mak Cik Imah pun. Cuma anak saudara Pak Cik
Salleh je. Ibu dengan ayah dia meninggal dalam kemalangan,” jawab Datin
Hafizah.
“Sedap nama dia.
Cantik tak?” tanya Dhia lagi. Dia nampak berminat ingin tahu mengenai
Adelia Qaisara.
“Lawalah agaknya.
Mama pun tak pernah tengok. Ni yang nak tengok ni. Kalau lawa, baik budi, nak
jugak Mama buat menantu,” dikerlingnya Adam Farhan yang senyap memandu.
“Alahh.. Mama ni. Kahwin,
kahwin, kahwin. Han muda lagilah Mama,” Adam Farhan kelihatan tidak berpuas
hati.
“Muda apanya? Mama
dengan Ayah dapat Han masa sebaya dengan Han, tau tak? Tak habis-habis bagi
alasan muda. Kita bukan makin muda, Han. Makin tua. Mama nak menimang cucu
sebelum Mama tutup mata. Nak harap Dhia, dia baru habis SPM,” bebel ibunya.
“Mama, janganlah
cakap macam tu. Belum ada yang berkenanlah, Ma. Kalau ada, dah lama Han mintak
Mama hantar rombongan. Tengah mencarilah ni. Lagi pun, zaman dulu-dulu bolehlah
kahwin awal,” sahut Adam Farhan. Ibunya tidak habis-habis membangkitkan soal
kahwin. Naik sesak dadanya.
“Bagus kahwin awal.
Apa salahnya kalau kahwin awal? Sebab itulah Mama nak carikan. Mama kenal dengan
family Mak Cik Imah. Mama tahu, anak dia mesti baik,” tokok ibunya.
“Itu emak dia. Anak
dia? Mama sendiri pun tak kenal dia. Tak pernah jumpa. Macam mana Mama boleh
tahu?” keluh Adam
Farhan.
“Instinct seorang
ibu tu kuat, Han. Mama nak yang terbaik untuk Han. Dulu pun, lepas Mama kahwin
dengan Papa Han baru Mama sambung belajar. Kalau Han nak Mama tunggu Diana,
pinang dia, tak tahulah bila. Tak lalu Mama nak tunggu. Dah dekat enam tahun. Entah-entah dia dah ada boyfriend. Manalah tahu.”
Adam Farhan mengeluh
buat kesekian kalinya.
KERETANYA
diparkirkan di kawasan letak kereta yang masih kosong. Menurut ibunya, hari ini
tidak akan ada ramai orang. Yang ada hanya keluarga Adelia Qaisara,
keluarganya, pekerja-pekerja Teratak An-Nur. Mereka keluar dari kereta. Dari
jauh lagi sudah kelihatan Dato’ Hisyam bersama dengan Puan Sri Fatimah dan Tan
Sri Salleh. Mereka bertiga berjalan ke arah kerusi yang diduduki Dato’ Hisyam
dan pasangan suami isteri itu.
“Assalamualaikum.
Kak Imah!” sapa Datin Hafizah lalu mendakap tubuh Puan Sri Fatimah.
“Waalaikumussalam,”
jawab Puan Sri Fatimah. “Lamanya tak jumpa Fiza. Sihat?” tanyanya senang. Dipeluknya
tubuh Datin Hafizah erat.
“Sihat,
alhamdulillah. Rindunya Fiza dengan akak. Haa.. ini anak-anak Fiza. Adam Farhan
dengan Dhia Syaqirah. Panggil je Han dengan Dhia,” Datin Hafizah memperkenalkan
mereka berdua kepada rakan baiknya itu.
“Dah besar dah
anak-anak Fiza. Sekejap je masa berlalu. Masa dulu, sempat tengok Han je. Lepas
tu langsung tak jumpa,” ujar Puan Sri Fatimah sambil tersenyum.
“Ha’ah, kak. Lama
kita tak jumpa. Haa.. mana anak dara akak? Teringin betul nak jumpa dengan dia.
Nak tengok. Boleh jugak buat bakal menantu nanti,” usik Datin Hafizah.
“Mama..” tegur Adam
Farhan, kurang senang.
“Dia ada kat dalam.
Tengah buat air,” balas Puan Sri Fatimah. Dia tersenyum-senyum. “Eh, duduklah,”
pelawanya lagi.
Baru sahaja mereka
melabuhkan punggung, seorang gadis datang menatang sebuah dulang berisi cawan
dan jag.
“Ini ke anak akak?”
tanya Datin Hafizah gembira. Tangannya memegang jari-jemari gadis itu. Gadis
itu tidak bertudung, hanya mengenakan sehelai kemeja tanpa kolar dan baju itu
menunjukkan lekuk-lekuk ditubuhnya. Sebahagian dadanya terdedah sewaktu dia menuangkan
air ke dalam gelas. Adam Farhan menjeling ke arah lain.
“Eh.. bukan. Ana,
panggil Kak Sara keluar,” kata Puan Sri Fatimah. Gadis itu mengangguk dan
berlalu. “Itu anak pekerja akak. Anak akak ada kat dalam lagi,” tambah Puan Sri
Fatimah tergelak.
“Excited sangat
saya nak berjumpa dengan anak akak,” sahut Datin Hafizah gembira.
“Mak! Sara buat kek
je. Tak tahulah tetamu suka ke tak,” sapa satu suara di saat mereka sedang
duduk berbual sambil meneguk minuman.
Bagaikan terkena
pukauan, masing-masing terdiam. Termasuklah Adam Farhan. Seorang gadis yang
hanya mengenakan kemeja dan selendang menarik perhatian mereka. Dia memotong
kek buatannya dan meletakkan potongan kek-kek itu ke dalam pinggan. Kulitnya
putih bersih. Cuma ada sebiji jerawat yang tumbuh di bahagian kiri dagunya.
Orangnya tidak terlalu tinggi. Bibirnya yang berwarna merah jambu sentiasa
mengukir senyum ikhlas.
“Mak cik, saya
Adelia Qaisara,” katanya setelah selesai memotong kek buatannya sendiri. Dia
bersalaman dengan ahli keluarga Adam Farhan.
“Ini anak Akak?
Amboi.. cantik betul. Bertuah Akak. Kek ni Qaisara sendiri yang buat?”
Adelia Qaisara
tersipu-sipu. Segan dengan pujian yang diterima, dia mengangguk perlahan.
“Cantik. Pandai
masak pulak tu. Anak Fiza ni, masak pun tak tahu,” adu Datin Hafizah.
“Takdelah Datin. Saya
pun tengah belajar masak. Anak Datin muda lagi. Boleh belajar lagi. Saya
belajar dengan emak saya,” jawabnya sopan.
“Panggil Mak Cik
je. Tak payah berdatin-datin.”
Adelia Qaisara
tersenyum. Semua mereka masuk ke dalam rumah tersebut, kecuali anak-anak mereka.
Adelia Qaisara terlebih dahulu mengajak Dhia ke kawasan belakang Teratak
An-Nur. Di bahagian belakang rumah itu ada sebuah gazebo yang menempatkan
kucing-kucing jalanan. Setelah dijaga dengan rapi, kucing-kucing tersebut
nampak bersih dan gemuk-gemuk semuanya.
“Comelnya! Akak tak
jual ke?” tanya Dhia. Dia asyik dengan kucing-kucing yang pelbagai rupa itu
dan warna itu.
“Apalah Dhia ni. Ada
ke tanya macam tu,” entah sejak bila Adam Farhan sudah berada di situ, mereka
langsung tidak sedar.
“Akak tak juallah.
Kalau ada orang nak, akak bagi je,” jawab Adelia Qaisara.
“Kalau saya nak,
boleh tak kalau awak bagi kat saya?” tiba-tiba sahaja Adam Farhan bertanya begitu.
“Ambil je. Sara pun
tak selalu ada kat sini. Tak ada orang nak jaga. Kesian diorang,” ujarnya
sambil meriba seekor kucing baka Scottish Fold berwarna hitam dan putih.
Adam Farhan mencari wajah gadis itu. Dari tadi dia asyik bermain dengan kucing yang sederhana besar itu.
“Kalau saya nak
yang ada dekat tangan awak tu boleh?” tanyanya.
Adelia Qaisara terdiam. Terkejut dengan permintaan jejaka kacukan Korea itu. Fasih betul dia berbahasa Melayu. Agak-agak dia boleh cakap bahasa Korea tak? Adelia Qaisara meneka dalam hati.
“Yang ni? Yang ni
favorite saya. Dari dia kecil saya dah bela dia.”
“Akak kata akak tak
ada kat sini, kan? Akak pinjamkanlah pada Dhia. Nanti Dhia bagi balik bila akak
dah balik sini. Nia pun geram tengok dia. Gemuk semacam je,” sampuk Dhia. Dia
turut membelai bulu kucing itu.
“Betul Dhia nak jaga
dia?” tanya Adelia Qaisara.
Dhia mengangguk
penuh harapan.
“Okey, okey. Sebab Dhia kata nak jaga dia, Akak bagi. Jaga elok-elok, okey? Dhia pernah bela
kucing?” soalnya lagi.
“Tak pernah,” jawab
gadis itu, sambil memuncungkan bibirnya.
Adelia Qaisara tergelak.
“Senang je. Dhia
bagi dia makan, mandikan dia, main dengan dia, nanti baru dia sayang Dhia. Kalau
tak tahu, nanti Dhia call akak.”
Dhia pantas
mengangguk. Dia tersengih-sengih. Kucing comel itu bertukar tangan. Adam Farhan hanya menjadi pemerhati. Senyum dan suara gadis
itu seolah-olah milik seseorang yang dikenalinya. Tapi, siapa? Tiba-tiba,
deringan telefon bimbit mematikan lamunannya.
“Yeobuseyo,” sapa Adam Farhan sebaik sahaja dia menjawab panggilan itu. Orang
itu menghubungi dari Korea, dan sudah pasti dia menjawab dalam bahasa Korea.
Dia meneruskan perbualan dalam bahasa Korea dengan pemanggil itu. Adelia
Qaisara yang tidak memahami sepatah pun maksudnya kembali menghadap Dhia.
No comments:
Post a Comment