“TENGAH hari ni awak lunch dengan siapa?” tanya Irfan. Dia
duduk di kerusi berhadapan dengan Rania. Rania sibuk menaip kertas-kertas
kerja.
“Hmm.. abang saya datang. Dia
nak ajak saya keluar makan. Dah lama tak keluar makan dengan dia,” balas Rania
sambil matanya masih melekat pada skrin komputer.
“Kalau macam tu, tak apalah.
Jangan lewat keluar. Nanti sakit perut pulak,”
pesan Irfan. Dia bangun dari duduknya.
Rania tersenyum mendengar
pesanan Irfan.
“Ya, Encik. Saya tunggu abang
saya call. Encik makanlah dulu.”
Irfan
mengangguk dan berlalu keluar. Makan tengah hari bersama Azli dan Shamer
agaknya.
Rania
mencapai telefon bimbitnya yang baru sahaja berdering, menandakan ada pesanan
yang masuk.
‘Nia, Abang
dah ada dekat bawah ni. Abang tunggu dekat kafe yang Nia cakap semalam tu.’
Rania lekas-lekas mengemas
mejanya ala kadar sahaja. Dia bangun dan menuju ke pintu lif.
KELIHATAN Ameer sedang duduk di
sebuah meja di Berries Cafe itu. Rania berjalan ke arah Ameer.
“Sorry, Abang. Nia lambat sikit. Lif ramai sangat orang,” sapa
Rania.
Ameer tersenyum mendengar
kata-kata adiknya itu.
“Tak apa. Abang pun baru je
sampai. Abang order tembikai laici Nia. Nia nak makan apa-apa tak?”
Rania pantas menyedut jus
tembikai sejuknya. Terasa nyaman apabila jus itu mengalir melalui tekaknya.
“Tak naklah. Nia nak beli sandwich je. Kenapa Abang nak jumpa
Nia?” soal Rania.
“Hmm.. fasal Danny.”
Dengar sahaja nama Danny
disebut, terus kelat wajah yang tadinya manis.
“Abang tak marahkan Nia. Abang
nak tanya je. Nia ada masalah dengan Danny ke? Masalah apa? Sampai dia tak tahu
Nia dah kerja dekat sini.”
Rania merenung wajah abangnya
dalam-dalam. Dia baru sahaja ingin melupakan soalan yang ditanya Ameer pada
Darlina.
“Habis tu Abang beritahu dia
Nia kerja dekat sini?”
Ameer mengangguk. Rania kecewa
dengan tindakan Ameer. Dia membuang pandang ke sekitar ruang kafe. Kelihatan
seorang lelaki melambai ke arahnya. Spoilkan mood je. Baru nak marah, rungut
Rania dalam hati. Sebuah senyuman terukir tanpa dipaksa.
“Nia..”
Rania kembali memandang ke arah
abangnya.
“Abang tak tahu nak buat macam
mana. Abang kesian tengok Danny. Dah lama dia cari Nia. Abang pun beritahulah
dia hal sebenar.”
“Kenapa Abang tak tanya pada
Danny sendiri apa salah dia? Kenapa tanya Nia? Danny lebih tahu,” balas Rania.
“Abang dah tanya.”
“Apa kata dia?” tanya Rania.
“Dia kata Nia cemburu tengok
dia keluar dengan kawan perempuan dia. Nia terserempak dengan dia dekat mall dengan perempuan tu, kan? Itu just
kawan dia, Nia. Kawan. Dia sendiri yang beritahu Abang,” ujar Ameer.
Rania terkejut dengan cerita
Ameer. Dia kemudiannya tersenyum sumbing sebelum mengangguk.
“Habis tu Abang percayalah
cakap dia?”
“Danny tu kawan Abang. Sejak
kecil lagi Abang dengan Danny berkawan. Nia pun tahu tu. Takkanlah dia nak tipu
Abang,” balas Ameer.
“Abang lebih percayakan kawan
daripada adik Abang sendiri? Dia kawan sejak kecil Abang, tapi Nia adik kandung
Abang. Darah daging Abang. Takkan Abang lebih percayakan dia daripada Nia?”
Ameer terdiam mendengar soalan
adiknya. Soalan yang sama ditujukan oleh Darlina tempoh hari
“Nia.. Abang takkan..”
“Abang kenal Nia. Abang tahu
Nia takkan merajuk sampai macam ni kalau salah Danny sekecil kuman. Kalau dia
keluar dengan perempuan lain pun Nia tak kisah. Seriously Nia tak kisah. Sebab Nia percayakan dia. Tapi sekarang,
salah dia lebih besar daripada apa sekalipun. Terpulang pada Abang nak
percayakan siapa. Dia atau Nia,” potong Rania tanpa menunggu Ameer menghabiskan
kata-katanya. Rania menahan dirinya agar tidak menangis di situ.
“Apa maksud Nia?” soal Ameer.
“Nia nak balik office dulu.
Nanti kirim salam dengan Atuk, Pak Su, Mak Su, Kak Alin.”
Rania menarik tangan abangnya
dan bersalaman dengan Ameer. Langkah laju segera diatur, meninggalkan kafe itu.
Ameer kelu di tempat duduknya. Apa maksud Rania?
IRFAN menolak pintu bilik
Rania. Jam baru sahaja menunjukkan pukul satu empat puluh minit petang. Kelihatan
Rania sedang duduk meneliti fail-fail di hadapannya. Irfan berdiri di hadapan
Rania.
“Eh, Encik! Tak perasan pulak
saya,” ujar Rania.
Irfan meletakkan beg plastik di
atas meja Rania sebelum berlalu ke biliknya. Rania hanya menghantar langkah
Irfan dengan rasa hairan.
Beg plastik pemberian Irfan
dijenguk isinya. Ada salad buah-buahan dan dua bungkus sandwich. Rania
tersenyum sendirian memandang Irfan yang sudah pun duduk di mejanya. Rania
menyuap sandwich tuna ke mulutnya. Agaknya Irfan nampak apa yang berlaku di
kafe tadi.
DARLINA menyusun baju-baju yang
baru siap direkanya. Lega rasanya apabila semua pelanggan sudah mengambil
tempahan. Bulan ini saja sudah lebih dua puluh pasang baju yang direkanya
sendiri mendapat tempahan.
“Hai, Alin!”
Darlina mengetap bibir. Benci
mendengar suara yang memanggil namanya. Meluat!
“Alin, you tak dengar ke I
panggil?” tanya suara itu lagi.
“Nak apa datang sini?
Bising-bising. Orang takut nak datang nanti. Ingat ada zoo pulak kat sini,”
balas Darlina sinis.
Dia berjalan ke arah meja
kerjanya. Pensel dan kertas dicapai lalu rekaan baju dilakarkan walaupun idea
kering apabila berhadapan dengan Liliana si gedik. Malas dia menatap wajah
Liliana yang tersengih macam kerang busuk.
“Zoo you cakap? Punyalah
cantik, you samakan dengan zoo. Teruk betul,” rungut Liliana. Dia mengikut
langkah Darlina hingga ke meja.
“Kau nak apa? Nak tempah apa?
Kalau tak ada sebab, baik kau balik. Idea aku hilang bila tengok muka kau,”
ujar Darlina.
Liliana menjeling geram.
Menyampah dengan layanan Darlina terhadap dirinya.
“You kenapa nak marah-marah I?
Marah sebab boyfriend adik you lari dekat I?”
Darlina berhenti melukis.
Penselnya dihempas ke meja.
“Kau memang tak tahu malu, kan?
Datang sini buat kecoh. Apa kau nak?”
Darlina sudah bangun daripada duduknya.
Dia berjalan mendekati Liliana. Nana dan Fira datang menghampiri majikan mereka
apabila terdengar suara Darlina yang sedikit meninggi. Liliana yang kecut perut
berpura-pura tenang.
“You ni kenapa Alin? I cakap
benda yang betul you nak marah-arah pulak."
“Keluar dari kedai aku!
Keluar!”
Darlina menunjuk ke arah pintu.
Geram dengan Liliana yang tidak tahu malu.
“Kak Alin.. sabarlah,” ujar
Nana, cuba menenangkan Darlina.
“Marahlah adik you tu. Marah I
buat apa? Dia yang tak tahu jaga Danny,” rungut Liliana.
“Kau tak ada maruah ke? Kau tu
perempuan. Kalau ya pun kau dah miang sangat, kahwin! Jangan malukan mak bapak
kau!” marah Darlina.
Liliana mengetap bibir. Matanya
bulat merenung Darlina.
“Apa kata kalau Cik Liliana
keluar dulu? Balik. Kak Alin nak berehat,” usul Fira.
“I tak takutlah dengan you,
Alin. You jangan nak kaitkan Mommy dan Daddy I! Kenapa you tak salahkan adik
you? Kalau dia baik sangat, Danny takkan cari I!” jerit Liliana.
“Jangan nak buruk-burukkan adik
aku pulak,” sinis sahaja Darlina bersuara.
Liliana mengangkat tangan. Baru
sahaja penamparnya ingin hinggap di pipi Darlina, tangan seorang lelaki
terlebih dahulu menangkap tangan Liliana.
“Don’t you dare to make any
trouble with my fiancee!”
“Ezral..”
Pegangan tangan Liliana
dilepaskan. Ezral berjalan menghampiri Darlina.
“Are you okay, Alin?”
Darlina hanya mengangguk
perlahan. Liliana mencapai tas tangannya yang sudah berada di lantai. Pantas
kakinya dihayun mmeninggalkan butik Darlina. Kakinya dihentak-hentak pada
permukaan lantai.
“Okey ke?” tanya Ezral.
Darlina mengangguk, mengiakan.
Hatinya sahaja yang tidak dalam keadaan baik. Darlina mengukir senyum terpaksa
demi menjaga hati Ezral. Dia tidak mahu Ezral susah hati kerana masalah yang
dihadapinya.
“KAK BELLA, boleh tak masuk
bilik saya sekejap?”
“In a minute,” balas Nabila.
Hari ini Tengku Azhar tidak
datang ke pejabat memandangkan hari ini ada kerja luar bersama dengan Dato’
Mukhlis, Tan Sri Fadhil dan Datuk Malik. Mereka harus ke kilang syarikat yang
terletak di Shah Alam.
Beberapa minit kemudian,
kedengaran pintu bilik Rania diketuk dari luar.
“Masuk!” panggil Rania.
Nabila masuk ke dalam bilik
Rania.
“Kenapa Cik Rania nak jumpa dengan
saya?” soal Nabila.
“Akak duduklah. Janganlah
panggil cik. Panggil aje Nia.”
Nabila tersenyum mendengar pelawaan
Rania. Dia duduk di hadapan Rania. Rania yang sibuk mengira jumlah pelaburan
dari luar negara berhenti. Dia menumpukan perhatian pada Nabila.
“Eh, kenapa dengan bibir Kak
Bella ni? Lebam,” tanya Rania kehairanan.
Bahagian bawah bibir sebelah
kanan Nabila membiru. Bagaikan baru dipukul seseorang.
“Tak ada apalah. Akak
terlanggar pintu bilik Dato’ malam semalam. Akak balik lewat.”
Rania mengangguk.
“Kak Bella, nanti Akak tolong
check fail ni sebelum hantar ke Dato’. Saya takut ada missing letters or typing
error.”
Rania menghulurkan fail plastik
nipis lutsinar kepada Nabila. Nabila hanya menyambut fail di tangan Rania dengan
sebuah senyuman.
“Hari Ahad ni Kak Bella
kemana-mana tak?”
“Ahad? Tak. Kenapa?”
“Macam ni.. Mak Su Nia nak buat
kenduri kesyukuran sebab kandungan dia dah sampai lima bulan. So, nak buat
kenduri doa selamat,” ujar Rania.
Nabila mengangguk. Dia
berkira-kira sendiri.
“Tapi Akak tak tahu dekat mana
rumah Nia,” balas Nabila.
Rania tersenyum mendengar
kata-kata Nabila.
“Akak boleh tidur rumah Nia.
Bolehlah kenal-kenal dengan family Nia. Akak dah banyak tolong Nia dekat office
ni. Lagipun Akak tak kemana-mana, kan?” soal Rania lagi. Dia sudah banyak
termakan budi Nabila. Nabila banyak membantunya. Kini, biarlah dia yang
membalas budi Nabila.
“Kalau macam tu, okeylah. Akak
pun tak ada buat apa-apa dekat rumah,” jawab Nabila.
Rania tersenyum kegembiraan.
“If so, Jumaat ni Akak tidurlah
rumah sewa Nia. Sabtu baru pergi rumah family Nia. Or Akak nak Nia jemput Akak
hari Sabtu?”
Nabila berfikir sejenak.
“Akak tak kisah. Tapi boleh
jugak kalau Akak tidur rumah Nia Jumaat ni. Tak adalah Nia kena jemput Akak.
Lagipun housemates Akak semua balik kampung,” ujar Nabila jujur.
Rania tersenyum gembira apabila
pelawaannya diterima oleh Nabila.