RYAN
duduk berteleku di meja yang terletak dalam kafe itu. Sudah tiga hari dia tidak
melihat kelibat Zara. Semalam, dia ada bertemu dengan Zara. Tetapi, Zara
lekas-lekas menjauhinya apabila terlihatkan dirinya. Mungkin Zara semakin
membenci dirinya. Tetapi, itu bukan masalahnya. Masalahnya sekarang Ryan tidak
senang duduk dek kerana dia tidak dapat membuli Zara seperti selalunya. Dia
sendiri tidak tahu mengapa dia tidak senang duduk. Bukankah lebih baik jika dia
langsung tidak berjumpa dengan Zara?
“Ryan,
kau kenapa? Apa hal?”
Suara
Nazril yang garau itu mematikan lamunan Ryan. Dia mengangkat bahu sambil
matanya merenung ke arah Nazril dan Aiman.
“Kenapa
kitorang tengok kau ni macam diam je? Kau ada masalah ke?” soalan Aiman yang
agak mengambil berat akan keadaan dirinya membuatkan Ryan tersengih.
“Tak
adalah. Saja je aku nak termenung. Tak boleh ke?” tanya Ryan kembali.
Aiman
dan Nazril ketawa terbahak-bahak.
“Mana
ada orang sengaja nak mengelamun. Lagi pun sejak bila kau ni suka termenung?”
tanya Aiman lagi.
Ryan
hanya mencebik mendengar gurauan dua sahabatnya itu.
“Eh,
itu!”
Ryan
yang tadinya hanya duduk bersilang kaki berpaling, mencari arah yang
ditunjukkan oleh Nazril. Kelihatan Zara dan Azeem sedang berjalan beriringan
menuju ke arah kafe itu. Ryan mengukir senyum. Dia sendiri tidak tahu senyumnya
itu untuk apa.
“Hai,
Zara!” tegurnya apabila Zara dan Azeem berjalan melalui meja yang didudukinya.
Zara
berjalan terus tanpa menghiraukan teguran daripada insan yang sungguh
dibencinya itu. Zara menarik sebuah kerusi sebelum melabuhkan punggung di
hadapan Azeem. Jarak di antara mejanya dengan meja Ryan tidaklah begitu jauh.
Cuma selang tiga buah meja sahaja.
Ryan
sakit hati apabila Zara seolah-olah tidak nampak akan kewujudannya. Tangan
kanannya menumbuk permukaan meja bulat yang diperbuat daripada kaca tebal itu.
Aiman
dan Nazril yang sedang asyik menulis berhenti. Mata mereka tidak lepas-lepas
menatap wajah bengang Ryan. Apa sudah jadi dengan Ryan? Mungkinkah.. Jadi,
inilah sebabnya mengapa Ryan asyik termenung sejak tadi.
“Ryan..
aku nak tanya sikit boleh?” tanya Nazril serius.
Ryan
hanya menjungkitkan kening.
“Kau..
err.. kau suka Zara ke?”
Ketawa
Ryan pecah apabila otaknya dapat memproses soalan yang keluar daripada mulut
sahabatnya itu. Terasa soalan itu sungguh kelakar di pendengarannya.
“Aku
suka si badut tu? Aku?” tanya Ryan sambil jari telunjuk kanannya menuding muka
sendiri.
Suara
Ryan yang kuat itu mengganggu semua pelajar yang sudah pun memenuhi segenap
ruang dalam kafe. Ketawa Ryan semakin galak apabila matanya dapat menangkap
renungan sinis Zara yang jatuh padanya.
“Kawan-kawan!
Pengumuman!” jerit Ryan tiba-tiba.
Semua
pelajar yang berada di situ segera memandang ke arahnya.
“Korang
nak tahu tak, Hannah Mentadak ni tengah mabuk cinta,” ujar Ryan dengan suara
yang masih kuat.
Zara
yang mendengar langsung tidak mengangkat muka. Apa maksud Ryan?
“Kalau
korang nak tahu.. dia tengah seronok bercinta dengan anak Pengarah Kolej STAR,”
ujar Ryan, masih mencuba untuk menarik perhatian kesemua pelajar sekali lagi.
Semua
mata yang berada di situ menoleh, melihat ke arah dua orang manusia yang sedang
duduk bertentangan. Dari riak wajah Azeem, dia nampaknya tidak suka dengan apa
yang diperkatakan oleh Ryan. Semua pelajar di kolej itu tahu bahawa Azeem
merupakan anak kepada pengarah The STAR College. Zara hanya tunduk sambil
berpura-pura membaca buku walaupun telinganya dapat menangkap setiap butir
bicara Ryan dengan jelas.
Apabila
semua orang mula fokus dengan apa yang diperkatakannya, Ryan bangkit lalu dia
berdiri di atas kerusi sambil bercekak pinggang. Itulah Ryan. Kaki buli di
kolej itu.
“Ryan!
Bukan ke anak Pengarah tu bercinta dengan orang lain. Macam mana dia boleh
bercinta dengan badut?” jeritan salah seorang pelajar lelaki yang berada di
situ mengundang tawa mereka semua.
Zara
menggenggam jari-jemarinya di bawah meja. Azeem diam sambil matanya merenung
wajah kelat Zara.
“Bercinta
kau kata? Takkanlah. Badut dengan anak Pengarah tu dah keluar dating,” ujar
Ryan, semakin rancak mengutuk Zara.
“Apa
lagi? Badut bertepuk sebelah tanganlah kawan!” jerit Aiman yang sedang duduk
bersilang kaki.
Sekali
lagi, kafe itu gamat dengan ketawa daripada pelajar-pelajar lain.
“Zara?”
Suara
Azeem membuatkan Zara semakin tidak senang duduk. Apa yang sedang dilakukan
oleh Ryan sekarang ini? Zara tidak mampu mengangkat muka, membalas renungan
Azeem.
“Zara,
Abang cakap dengan Zara ni. Betul ke apa yang Ryan cakapkan tu?” tanya Azeem
serius.
Zara
melarikan pandangan ke arah lain. Saat ini, dia terasa begitu malu dengan apa
yang sedang berlaku. Apa salahnya dia pada Ryan sehingga Ryan sanggup melakukan
ini semua padanya? Tetapi, dia tidak kisah dengan itu semua. Dia hanya bimbang
akan kehilangan Azeem yang selalu ada dengannya.
“Hey,
badut! Aku ada simpan gambar kau keluar dating dengan Azeem. Nak aku tunjukkan
pada semua orang?” soal Ryan sambil mengukir senyum sinis.
Zara
mengeluarkan buku teks yang dibelinya beberapa bulan lalu. Satu demi satu
helaian diselak. Tiada! Nampaknya Ryan tidak bergurau. Zara bingkas bangun lalu
datang mendekati Ryan.
“Pulangkan
gambar tu! Bagi balik!” marah Zara. Wajahnya merah padam menahan marah dan rasa
malu yang teramat.
Ryan
tersenyum sinis. Sekeping gambar dari dalam kocek seluar jeansnya dikeluarkan
lalu diangkat dengan agak tinggi di udara. Dia turun dari kerusi sambil
memegang lengan Zara.
“Ini
dia gambar yang aku cakap tu! Korang tengoklah ni!” ujar Ryan sambil menunjukkan
gambar itu kepada semua pelajar yang ada di kafe itu.
Aiman
mencapai gambar itu dari tangan Ryan. Zara yang masih belum berpuas hati
mencuba untuk merampas gambar yang menjadi miliknya.
“Eh,
ada something la dekat belakang gambar ni. I love you, Meor Muhammad Azeem
Taufiq Meor Khusyairi. Thanks for everything. Love, Nur Zara Sofea Jamaluddin
a.k.a. Badut!” jerit Aiman. Sengaja ditambah perkataan ‘badut’ itu.
Azeem
bangun dari tempat duduknya lalu segera dia merampas gambar itu dari tangan
Aiman. Gambarnya sedang duduk dengan Zara di sebuah kerusi taman. Mereka berdua
mengenakan baju yang sama! Azeem masih ingat lagi waktu itu. Dia dan Zara
terpaksa membeli baju itu disebabkan mereka baru sahaja pulang dari sebuah
karnival anjuran kolej. Dek kerana baju mereka basah disebabkan hujan lebat
pagi itu, merekaterpaksa membeli baju itu.
Azeem
tidak marah jika gambar itu tersebar. Tetapi, perkataan-perkataan yang tertulis
pada bahagian belakang gambar itu membuatkan dia terasa ingin marah.
“Apa
semua ni Zara? Apa ni?” marah Azeem. Gambar yang berada di tangan dilemparkan
ke lantai.
“Kenapa
ni awak?”
Entah
dari mana pula datangnya Sabrina. Gambar yang sudah pun berada di lantai
dicapai. Satu demi satu bait perkataan dibaca oleh Sabrina. Bulat matanya
menikam wajah Zara. Gambar yang berada di tangannya direnyukkan.
Pangg! Tanpa sebarang signal, sebuah tamparan hinggap di pipi mulus Zara. Zara terasa ingin menangis. Pipinya
yang mula terasa pijar dilekap dengan tapak tangan.
Sabrina
terus berlalu meninggalkan mereka semua. Dia berlari meninggalkan kafe yang
sudah sunyi sepi itu. Sunyi bagaikan dilanggar garuda.
“Abang
tak sangka Zara macam ni. Abang tak pernah sukakan Zara. Zara ingat Abang layan
Zara elok-elok sebab Abang sukakan Zara?”
Zara
yang tunduk mengangkat wajah. Inilah kali pertama dalam hidupnya dia dapat
melihat wajah marah Azeem. Wajah Azeem merah padam.
“Zara..
Zara..”
“Sudahlah!
Tak guna kau nak cuba jernihkan keadaan, Hannah Mentadak! Kau tu memang teruk.
Ada hati nak bercinta,” sampuk Ryan.
Berdesing
telinga Zara mendengar hinaan daripada Ryan. Pegangan tangan Ryan yang kejap
menggenggam lengannya direntap kasar.
“Betul
cakap Ryan tu, Zara. Cerminlah diri tu dulu sebelum sukakan seseorang. Zara
tengok. Kalau Abang keluar dengan Zara, Abang rasa orang takkan gelakkan Abang
ke? Abang malu kalau Zara jadi girlfriend Abang! Abang malu! Tengoklah apa yang
Zara pakai. Zara tak ubah macam badut!” ujar Azeem sinis.
Akhirnya,
mengalir jua air mata yang ditahannya sejak tadi. Dia tidak kisah jika orang
yang menghinanya adalah Ryan, Aiman ataupun sesiapa sahaja. Tetapi kali ini,
Azeem yang menghinanya.
Azeem
berlalu dan ingin mencapai beg galasnya di meja yang didudukinya tadi.
“Zara
ingat, dalam dunia ni masih ada manusia yang boleh terima kehadiran manusia
pelik macam Zara. Zara ingatkan orang tu Abang! Ya, memang Zara sukakan Abang.
Tapi itu dulu! Sebelum Abang beritahu dekat semua pelajar dekat kolej ni yang
Abang sukakan Sabrina. Zara pun manusia. Zara ada perasaan. Setiap kali orang
hina Zara, Abang yang selalu bagi Zara semangat. Zara tak tahu rupanya Abang
pun sama! Kalau Abang malu berkawan dengan Zara, Zara sepuluh kali malu sebab
Zara kenal dengan Abang! Zara dah tak perlukan orang macam Abang dalam dunia ni
lagi! Kalau malu dengan Zara, jangan datang dekat dengan Zara lagi!” bentak
Zara bengang. Nafasnya sudah tidak teratur dek kerana rasa sedih yang
membuak-buak.
Azeem
mematikan langkah. Mendengar bentakan Zara, dunianya bagaikan terhenti
berputar. Tubuhnya kaku. Bibirnya seakan terkunci rapat. Kali ini, dia bakal kehilangan
gadis yang dianggapnya sebagai adik itu. Zara yang pelik, Zara yang garang dan
Zara yang pendiam.
Zara
segera mencapai beg galasnya sebelum dia berhenti di hadapan Ryan. Ryan
seboleh-bolehnya berlagak tenang. Zara membongkok lalu gambar itu diambilnya
semula. Gambar yang sudah renyuk itu dibuka perlahan-lahan. Gambar itu
disiat-siat di hadapan muka Ryan. Azeem hanya jadi pemerhati. Dengan rasa marah
dan sedih yang bercampur-baur dicampakkan ke muka Ryan. Ryan mengetap gigi.
“Hey!”
Sergahan
Ryan langsung tidak dihiraukan.
“Mulai
hari ni, kau jangan berani tunjukkan muka kau depan aku! Kalau aku nampak lagi
muka kau, aku takkan teragak-agak untuk malukan kau semula!” ugut Zara.
Ryan
nyata terkejut mendengar ugutan Zara. Ah, sudah! Dia yang memulakan ini semua,
jadi tidak hairanlah mengapa Zara bertekad akan membalas dendam. Sungguh. Dia
agak takut mendengar ugutan Zara.
Zara
terus berlalu meninggalkan kafe itu. Dia langsung tidak peduli akan
pelajar-pelajar di situ yang sedang mengutuknya. Zara malu. Malu dengan semua
pelajar di situ. Tetapi dia terpaksa menebalkan muka. Dia terpaksa berlagak
tenang.
ZARIF
yang hanya menjadi pemerhati sejak tadi segera menghayun langkah. Dia tahu apa
yang sedang menunggunya. Tetapi dia tidak takut. Biarlah apa kata Zara. Biarlah
Zara memaki hamunnya. Dia sanggup. Dia hanya ingin mendekati Zara. Semuanya
gara-gara cerita yang disampaikan kepadanya tentang sikap Zara. Siapa tahu
kalau-kalau gadis itu luarannya sahaja begitu, tetapi dalamannya tidak seperti
itu.
“Zara!”
laungnya pada gadis yang berada beberapa meter di hadapannya.
Zara
berpura-pura tidak mendengar, dan hanya berjalan terus hingga ke pagar
utama kolej itu.
“Zara!”
Zara merengus apabila lengannya yang bertutup dengan
baju kurung kain kapas itu direntap oleh Zarif. Zarif yang sedar Zara sedang
marah padanya lekas-lekas melepaskan pegangannya.
“Awak nak apa, hah?” marah Zara.
Kali ini, Zarif hanya mampu menelan air liur.
Mengapa gadis ini begitu dingin? Bukan dia yang menaikkan darah Zara sebentar
tadi.
“Sorry. Saya cuma nak tanya, awak okey ke?”
Zara berpaling merenung ke arah wajah kacak Zarif.
“Awak baru kenal saya, baru sekali je awak tegur
saya, awak dah pandai nak sibuk hal saya? Awak siapa?” herdik Zara. Semakin
panas pula hatinya apabila Zarif cuba mencampuri urusannya.
“Saya nampak orang dekat kafe tadi malukan awak.
Jadi, saya datang sebab saya nak tolong awak. Bukannya sebab saya nak sibuk!
Tak ada sesiapa pun pedulikan awak tadi, walaupun orang yang awak
sayang-sayangkan tu. Awak sepatutnya bersyukur bila ada orang datang dan cuba
pujuk awak. Bukannya herdik-herdik saya macam ni,” tegur Zarif. Riak wajahnya
sedikit tegang.
Ya, mungkin dia baru sahaja mengenali Zara. Bukan.
Baru ingin mengenali Zara. Patutlah tiada siapa yang pedulikan Zara. Rupanya
sikap sombong Zara itu benar-benar keterlaluan. Dia sepatutnya menghargai
apabila ada orang datang untuk berkawan dengannya. Ini tidak. Diherdik dan
dimarahinya pula. Zara, Zara..
“Saya peduli apa? Saya boleh hiduplah walaupun awak
campak saya ke hutan Amazon sekalipun,” balas Zara. Air matanya semakin
mengering dilap dengan tapak tangan. Pipinya masih terasa pedih akibat penangan
Sabrina.
Zarif menggelengkan kepala.
“Baiklah. Saya takkan campur lagi urusan awak. Awak
memang sombong! Bongkak! Awak hiduplah dalam dunia pelik awak tu,” marah Zarif.
Zarif terus berjalan masuk semula ke dalam kawasan
kolej. Sakit hatinya apabila kebaikannya tidak disambut baik oleh Zara. Mulai
hari ini, dia sudah tidak mahu bertegur sapa dengan gadis itu. Biarkan!
“ZARA.. kenapa dengan pipi tu? Bukan man merah lagi
Papa tengok,” tegur Encik Jamaluddin.
Zara yang sedang duduk melekapkan tapak tangan ke
pipinya sejak tadi menurunkan tangan.
“Tak ada apalah, Papa. Zara terlanggar pintu bilik
air dekat kolej tadi. Lantai licin. Sedar-sedar, Zara dah terlanggar pintu,”
bohong Zara.
“Merah sangat Papa tengok tu,” sambung bapanya.
Dia selalu risau akan keadaan Zara. Semuanya kerana
Zara yang suka berpakaian pelik di luar rumah. Sudah pasti anaknya itu selalu
menjadi bahan ketawa. Pernah suatu ketika Zara pulang ke rumah dengan pakaian
yang kotor dilumuri lumpur dan becak akibat dibuli oleh rakan sekelasnya
sewaktu di sekolah menengah. Encik Jamaluddin marah benar dengan budak-budak
yang membuli Zara. Tetapi puas dipujuk Zara dan Puan Saidah agar tidak
mengendahkan itu semua. Semuanya berpunca dek kerana pakaian dan gaya Zara yang
pelik.
“Zara!”
Zara menoleh ke belakang. Kelihatan Rasya sedang
berdiri di belakang sofa yang didudukinya. Sebiji telur rebus yang masih
suam-suam disuakan pada adiknya. Zara hanya mencapai huluran kakaknya, lalu
telur itu digolek-golekkan ke pipi kirinya.
“Itulah. Lain kali jalan hati-hati,” pesan Puan
Saidah sambil duduk di sebelah kiri Zara. Bahu Zara dipicit-picit perlahan.
“Yalah, Mama. Nanti Zara hati-hati. Janganlah
risau,” ujar Zara, cuba menenangkan hati ibu dan bapanya.
Rasya hanya menjadi pendengar. Dia sudah tahu akan
hal sebenar yang berlaku. Tetapi tidak mungkin dia akan menceritakan hal itu
kepada kedua orang tua mereka. Zara tidak mahu ibu dan bapanya jatuh sakit
disebabkan apa yang berlaku pada Zara.
“Zara tu asyik ‘ya, ya’ bila bercakap. Buatnya
tidak,” kata Puan Saidah. Rambut lurus Zara yang berwarna perang itu diusap
penuh kasih sayang.
“Kali ni, Zara janji. Zara akan lebih berhati-hati,”
ujar Zara sambil mengangkat tangan kanannya.
“Jangan pakai pelik-pelik lagi dah, Zara. Papa
hairan dengan Zara. Apa salahnya Zara pakai macam ni ke kolej? Zara tak kisah
ke orang mengata Zara?” tanya Encik Jamaluddin.
Zara menggaru-garu kepalanya. Apa lagi yang hendak
dijawab pada bapanya kali ini? Sudah jenuh dia memberitahu Encik Jamaluddin
bahawa dia sengaja berpakaian seperti itu untuk menumpukan sepenuh perhatian
dalam pelajaran. Alasannya agak pelik, tetapi itulah hakikatnya. Dia tahu,
pasti dia akan menjadi kegilaan di kolej sekiranya dia berpakaian seperti biasa
memandangkan dia mempunyai darah campuran. Biasalah, tiada seorang pun pelajar
di kolej itu yang sebumbung dengannya.
“Papa, kalau Papa nak tengok Zara jadi macam biasa,
terlepas dari sumpahan, Papa kenalah carikan Zara ni cinta sejati. Barulah dia
boleh keluar dari kepompong,” gurau Rasya. Dia mengambil tempat di atas lantai.
Tangannya memeluk lutut.
Sumpahan? Zara tersenyum. Itulah perkataan yang
sering digunapakai oleh Rasya apabila soal berpakaian menjadi topik perbualan
mereka anak-beranak.
“Cinta sejati?” tanya Puan Saidah.
“Mana adalah Mama. Akak ingat Zara ni dalam cerita
The Beauty And The Beast ke?” soal Zara. Sebiji bantal selamat mendarat di
belakang badan kakaknya.
“Betul, Ma. Semalam Zara ada cakap dengan Sya. Dia
nak tunggu prince charming dia datang and terima dia seadaanya. Masa tu,
barulah si katak hodoh menjadi puteri yang cantik.”
Kata-kata Rasya disambut dengan hilaian tawa
daripada Zara. Encik Jamaluddin dan Puan Saidah hanya tersenyum melihat
keakraban dua beradik itu. Kalaulah Durrani ada, pasti lebih gamat.